Sabtu, November 22, 2008

Penganut Islam di Malaysia tak boleh tukar agama, kata bekas hakim

PUTRAJAYA: Konsep kebebasan beragama tidak terpakai bagi umat Islam di negara ini, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi hari ini.

Datuk Faiza Tamby Chik berkata berdasarkan undang-undang di negara ini, tidak mudah bagi seorang penganut Islam untuk keluar daripada agama itu.

Sambil mengambil contoh kes murtad Lina Joy, Faiza berkata dalam penghakimannya, mahkamah tinggi memutuskan bahawa mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan terus kekal sebagai penganut Islam hingga akhir hayatnya.

“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ’Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan’ pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa (ISCOM 2008) yang berakhir hari ini.

Seminar dua hari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut disertai ilmuan dari universiti Sydney, Syria dan Filipina.

Kini, Faiza berkhidmat sebagai fellow di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Bekas hakim itu berkata mahkamah berkenaan juga memutuskan bahawa sekiranya seseorang bukan Melayu memeluk Islam dan kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada agama itu, dia perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri berkenaan, yang akan membuat keputusan tentang rancangannya itu

Isnin, November 10, 2008

Usah campur hak umat Islam: Jakim

"Tindakan kononnya atas dasar hak asisi"

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan pelaksanaan syariat Islam di negara ini, khususnya mempertikaikan kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa sebagai panduan kepada umat Islam bagi menyelamatkan generasi muda melakukan perkara dilarang agama.

“Kita minta pihak yang tidak berkenaan tidak mencampuri hak orang Islam dalam menganuti agama Islam, apatah lagi mempertikai pihak berkuasa agama negara ini dalam menegakkan syiar Islam.

“Tindakan segelintir mereka mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menuduh fatwa yang dikeluarkan sebagai tidak adil dan menindas juga melanggar hak asasi manusia kerana mempertikaikan hak orang Islam beragama,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan portal berita Jumaat lalu, mengenai tindakan NGO bukan Islam; Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini, yang mengeluarkan mengharamkan perlakuan ‘pengkid' atau wanita yang menyamai lelaki.

Portal berita itu turut menyiarkan temubual eksklusif dengan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mempertikaikan fatwa itu dan menyifatkannya tindakan lelaki yang mahu mengongkong kebebasan wanita negara ini di samping menjadikan negara dipandang serong serta ditertawakan negara luar.

Minggu lalu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dilaporkan berkata, tindakan pelbagai pihak lantang mencemuh serta memperlekehkan fatwa sebagai usaha menjatuhkan wibawa Majlis Fatwa walaupun Mahkamah Persekutuan sudah membuat penghakiman institusi fatwa sah di sisi Perlembagaan.

Wan Mohamad berkata, apa yang penting fatwa yang dikeluarkan itu mengambil kira kepentingan majoriti masyarakat Islam negara ini dan bukan mempertahankan kepentingan peribadi sesetengah golongan.

“Kita nasihatkan bukan Islam khususnya yang membantah fatwa merujuk tokoh agama masing-masing mengenai isu ‘pengkid’ atau isu lain dan tidak memperlekehkan ketetapan dibuat badan agama yang tidak dianuti mereka,” katanya.

Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Lagi ulasan : http://darahmerdeka.wordpress.com/2008/11/08/protes-turunkan-harga-diri/#more-351

Sabtu, November 08, 2008

Gay lebih ramai sebarkan HIV

Kesedaran perlu ditingkatkan elak wanita, kanak-kanak jadi mangsa

LELAKI yang mengamalkan seks sesama jenis didapati lebih cenderung menyebarkan HIV berbanding pengguna dadah suntikan (IDU). Sejak 2003 hingga 2006, carta dikeluarkan Pendaftar Rawatan HIV/Aids Kebangsaan (NHATR) menunjukkan penyebaran HIV semakin meningkat di kalangan golongan yang turut dikenali sebagai heteroseksual ini.

Jika sebelum ini golongan IDU adalah paling ramai positif HIV, carta berkenaan membuktikan terdapat aliran baru penyebaran HIV di negara ini apabila jumlah mereka semakin menurun sejak empat tahun lalu. Perbezaan ketara dapat dilihat pada 2003 apabila 85 peratus mereka yang positif HIV adalah heteroseksual berbanding tujuh peratus saja akibat IDU. Walaupun carta berkenaan menunjukkan penurunan pada 2004 hingga 2006, golongan heteroseksual masih tinggi berbanding IDU diikuti golongan gay, ibu kepada anak, pemindahan darah dan lain-lain sebab tidak diketahui.

Ketua dan Perunding Kanan Unit Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee, berkata perubahan ini agak membimbangkan kerana lebih banyak penyebaran baru akan berlaku khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak. Katanya jumlah ini akan terus meningkat seandainya tiada usaha untuk menyedarkan golongan berkenaan.

“Jangkitan HIV melalui seks akan terus meningkat berbanding IDU. Ini disebabkan terdapatnya kesedaran di kalangan IDU untuk tidak berkongsi jarum kerana bimbang dijangkiti HIV. Langkah yang sama perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menggunakan kondom serta pencegahan seperti perubahan sikap dengan menjauhkan diri daripada aktiviti kurang sihat berkenaan. Penggunaan kondom pula didapati amat berkesan dan berjaya mencegah penyebaran HIV di Thailand,” katanya.

Perangkaan 2007 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan, 80,938 orang diuji positif HIV sejak 1986 dan 10,334 meninggal dunia akibat Aids. Secara purata, 12 orang diuji positif HIV manakala tiga orang meninggal dunia setiap hari pada 2007. Pada 2007, 4,549 kes HIV baru dilaporkan manakala 1,179 meninggal dunia disebabkan Aids.

“Apa yang membimbangkan, terdapat jangkitan di kalangan wanita dan gadis menerusi hubungan heteroseksual. Pada 1998, hanya enam peratus daripada kes baru HIV yang dilaporkan adalah dikalangan wanita dan gadis. Pada 2007, kes baru yang dilaporkan dikalangan wanita meningkat kepada 16 peratus. Justeru, program kesedaran perlu disasarkan kepada golongan wanita,” katanya.

Dr Lee yang ditemui pada Bengkel Latihan HIV/Aids Media anjuran Salt Media Consultancy Sdn Bhd baru-baru ini, turut menggalakkan pasangan yang ingin berkahwin membuat ujian saringan HIV/Aids bagi membantu mereka membuat persediaan daripada segi mental dan fizikal. Ujian berkenaan amat berkesan bagi mencegah HIV/Aids tersebar khususnya kepada wanita dan bayi yang bakal dilahirkan.

“Ujian berkenaan amat penting bagi memastikan pasangan bebas daripada HIV/Aids. Ia bukan bermakna menghalang mereka berkahwin tetapi membantu mereka mengambil langkah persediaan. Pasangan ini boleh diberikan kaunseling mengenai bagaimana untuk meneruskan hajat untuk hidup sebagai suami isteri apabila salah seorang daripada mereka didapati positif HIV,” katanya.

Katanya walaupun HIV/Aids dapat dirawat dengan terapi ubat yang semakin canggih serta memanjangkan hayat pesakit, kehidupan mereka amat menyedihkan khususnya akibat stigma masyarakat serta kesan sampingan ubat yang dimakan. Mereka yang hidup dengan HIV berdepan risiko penyakit jantung akibat kesan sampingan ubat.

“Kos rawatan juga yang tinggi antara RM 100 hingga 300 sebulan untuk tahap pertama bukan saja membebankan mereka yang positif HIV tetapi juga ekonomi negara. Tahap kedua memerlukan perbelanjaan sehingga RM 1,200 sebulan. Mereka perlu menelan pil sehingga 17 biji sehari,” katanya.

Info:

Setiap minit, seorang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dijangkiti HIV

Setiap hari, lebih 6,000 belia berumur 15 hingga 24 tahun dijangkiti HIV

Setiap hari, 1,440 kanak-kanak meninggal dunia disebabkan Aids.

Setiap hari, 1,370 kanak-kanak kehilangan salah seorang atau kedua ibu bapa mereka disebabkan Aids.

Tidak semua ibu yang positif HIV akan menjangkiti HIV kepada bayi mereka. Daripada 100 ibu hanya 20 hingga 30 peratus bayi disahkan positif HIV.

Berita Harian Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my


"Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka, Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-terbalik dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar." (al-Hijr: 71-74)



Nabi Muhammad bersabda, maksudnya: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Luth. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Luth." (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim)


Khamis, November 06, 2008

Info: Tembakau


Tembakau
Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar

Tembakau atau Nicotia fabacum merupakan sejenis tumbuhan yang berbatang lembut dan tidak berkayu. Ia mudah tumbuh di kawasan yang beriklim tropika. Terdapat beberapa spesies dalam genus ini, antaranya ialah N. attenuata, N. glauca, N. longiflora, N. rustica dan N. trigophylla. Walau bagaimanapun N. tabacum merupakan spesies yang lebih dikenali kerana daunnya menjadi bahan utama produk tembakau terutamanya rokok dan cerut.

Nicotiana tabacum dan Nicotiana rustica berasal dari kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tumbuhan ini ditanam oleh kaum asli di sana yang menggunakan daunnya dalam berbagai acara keugamaan mereka sama ada dengan cara menghisap ataupun mengunyahnya.

Pada kurun keenambelas, N. rustica dibawa dari Amerika Utara ke Eropah untuk diperkenalkan sebagai sejenis ubat baru dengan cara kegunaan yang tersendiri iaitu dengan menghisap. Namun setelah didapati N. tabacum lebih sesuai untuk tujuan ini, tumbuhan tersebut dipilih sebagai spesies utama untuk ditanam secara besar-besaran bagi tujuan pemasaran. Ekstrak kedua-dua tumbuhan ini pernah digunakan untuk membunuh parasit. Nikotin iaitu bahan utama dalam tumbuhan ini pernah juga digunakan sebagai bahan pembunuh serengga.

Bahan toksik

Nikotin dan bahan yang menyerupai nikotin adalah sebatian utama dalam spesies Nikotiana. Daun tembakau mengandungi antara 3 hingga 4 peratus nikotin. Nicotana glauca pula dilaporkan mengandungi lebih kurang 0.2 peratus anabasin, iaitu sejenis alkaloid yang menyerupai nikotin. Beberapa kes keracunan N. glauca telah dilaporkan, akibat daripada pengambilan daunnya yang berlebihan. Ada diantaranya yang membawa maut.

Nikotin larut dalam air dan lemak. Ia boleh diserap secara terus dan cepat melalui kulit sama ada dalam bentuknya yang tulen atau daripada daun tembakau. Seperti yang diketahui umum, terdapat beberapa keluaran tembakau dirawat dengan bahan-bahan tertentu untuk meningkatkan daya penyerapannya. Tembakau yang digunakan dalam rokok telah dirawat bagi memudahkan nikotin yang berada dalam asap rokok itu merentasi lapisan-lapisan sel di dalam paru-paru.

Nikotin dalam tembakau bertindak sebagai perangsang dan bertanggungjawap menyebabkan ketagihan.

Gejala keracunan nikotin

Tanda dan gejala pendedahan terhadap nikotin boleh berlaku dengan cepat iaitu antara 15 minit hingga satu jam. Selain daripada mereka yang mengambil nikotin secara terus sama ada secara merokok ataupun mengunyah, mereka yang terlibat dalam pengambilan atau penuaian daun tembakau mungkin terdedah kepada bahaya nikotin ini. Mereka mungkin mengalami gejala-gejala seperti muntah-muntah, lemah-badan dan rasa mengantuk. Ini disebabkan oleh penyerapan nikotin melalui kulit. Turut dilaporkan ialah kerengsaan kulit yang berlaku apabila terdedah kepada daun tembakau.

Keadaan yang dikenali sebagai "Green tobacco sickness ini telah dilaporkan berlaku di kalangan pemunggut daun tembakau yang berusia muda dan tidak merokok. Nikotin dianggap menjadi punca kepada keadaan ini apabila didapati kabus yang menyeliputi para pekerja semasa proses pengumpulan dibuat mempunyai kandungan nikotin yang tinggi iaitu sebanyak 9 mg per 100ml. Para pekerja ini juga mempunyai kandungan kotinin (metabolit utama nikotin) yang tinggi.

Selain daripada kulit, nikotin boleh diserap melalui paru-paru dan usus malah ia lebih cepat diserap melalui rongga-rongga hidung. Selapas dihidu atau dihisap, nikotin dalam asap tembakau akan terus memasuki saluran darah. Nikotin yang dikunyah diserap dengan kadar yang agak perlahan berbanding yang dihidu. Apabila berada di dalam saluran darah, bahan tersebut akan bertindak terhadap sistem saraf sehingga ia diuraikan oleh hati dan dikeluarkan melalui air kencing.

Kesan nikotin terhadap seseorang bergantung kepada individu, dos dan sejarah penggunaannya di masa lampau. Pada individu yang tidak merokok, dos yang kecil boleh menyebabkan degupan jantung menjadi perlahan, rasa loya dan muntah-muntah. Berbanding dengan perokok, mereka akan mengalami pengecilan saluran darah dan merangsang sistem saraf pusat.

Diperingkat awal keracunan nikotin, ia boleh menyebabkan rangsangan sementara yang diikuti oleh tremor dan sawan. Selain daripada itu otot-otot akan menjadi lemah dan koma boleh terjadi sekiranya seseorang terdedah kepada kepekatan nikotin yang tinggi. Kegagalan sistem pernafasan adalah punca utama kematian haiwan yang mengalami keracunan disebabkan oleh anabasin sejenis alkaloid yang menyerupai nikotin.

Nikotin dan ketagihan

Pada awal tahun enam puluhan, para penyelidik telah mula menemui kaitan beberapa peningkatan jenis penyakit akibat tabiat merokok. Walaupun kandungan tar, karbon monoksida dan bebarapa bahan lain yang terdapat dalam rokok sering dikaitkan dengan penyakit barah dan sakit jantung di kalangan perokok, nikotin adalah bahan utama yang telah dikenalpasti yang menyebabkan ketagihan.


Mengenali Kloramfenikol

Penemuan ubat-ubatan jenis kloramfenikol dalam daging ayam yagn dilaporkan baru-baru ini telah menimbulkan banyak reaksi daripada berbagai pihak. Dalam hal ini, ada baiknya jika maklumat-maklumat yang lebih terperinci tentang ubat-ubatan tersebut diketahui umum supaya satu penilaian yang lebih objektif dapat dilakukan oleh para pengguna.

Kesan sampingan

Namun demikian, sepertimana semua ubat, kloramfenikol mempunyai kesan-kesan sampingannya tersendiri seperti rasa gatal-gatal ataupun ruam pada kulit, merasa kebas di bahagian kaki dan tangan, penglihatan mungkin terjejas dan rasa sakit pada bahagian mulut, lidah dan juga kerongkong. Pengguna ubat ini juga boleh merasa amat letih dan ini mungkin ada kaitannya dengan kesan ubat tesebut kepada sel-sel darah, yakni salah satu daripada kesan sampingan yang amat ketara bagi penggunaan ubat tersebut.

Memandangkan ini, kloramfenikol, khususnya secara suntikan dan juga sebagai ubat makan jarang diberi melainkan dalam jangkitan yang mengancam nyawa seperti meningitis ataupun apabila tiada ubat lain berkesan untuk mengatasi jangkitan berkenaan. Penggunaannya juga menghendaki beberapa bentuk pemantauan rapi kepada sel-sel darah dan juga ujian penglihatan sekirannya ubat ini digunakan dalam jangkamasa yang berlarutan. Dalam hal pesakit mengalami gangguan buah pinggang ataupun hati mahupun penyakit berkaitan dengan sel-sel darah, penggunaan ubat koramfenikol mesti mendapat perhatian khas sebelum ianya digunakan. Kloramfenikol juga boleh menjejaskan tindakan ubat-ubatan lain seperti ubat kencing manis, ubat sawan ataupun ubat TB apabila digunakan serentak. Ia juga boleh merencatkan kesan-kesan antibiotik lain seperti penisilin dan juga eritromisin.

Kesan kloramfenikol sebagai ubat sapu ataupun ubat titis kepada ibu yang mengandung mahupun kepada ibu yang menyusukan anak tidak menunjukkan apa-apa kesan yang memudaratkan. Namun kloramfenikol dikatakan boleh meningkatkan risiko bayi sekiranya ubat diberikan secara suntikan ataupun melalui mulut kepada ibu yang mengandung atau pun yang menyusukan. Oleh yang demikian, penggunaannya dalam keadaan seumpama ini sebaik-baiknya dielakkan.

Salahguna

Selain daripada kegunaan perubatan, kloramfenikol tidak seharusnya digunakan untuk tujuan lain. Ini adalah kerana penggunaan kloramfenikol sewenang-wenangnya bukan sahaja akan menyebabkan risiko yang tinggi, tetapi lebih penting juga ia boleh mengakibatkan rintangan ubat ini kepada kuman yang berkenaan. Maksudnya, kloramfenikol apabila diperlukan tidak akan lagi menjadi ubat yang berkesan untuk tujuan rawatan jangkitan tersebut. Jadual 2 dalam Peratusan-Peratusan Makan Tahun 1985 tidak membenarkan kloramfenikol digunakan dalam sebarang makanan.


Dioksin juga dibebaskan semasa merokok

Terdapat bukti yang jelas bahawa dioksin boleh dibebaskan apabila seseorang itu merokok. Ini memandangkan bahawa dalam rokok terdapat bahan-bahan kimia yang apabila dibakar dengan suhu yang begitu tinggi melalui tabiat merokok boleh menghasilkan dioksin. Walaupun jumlah dioksin yang dihasilkan mungkin kecil, tetapi oleh kerana bahan ini sudah terkumpul di dalam badan apabila dihidu ataupun dimakan akan lambat laun menghasilkan keracunan dan menjejaskan kesihatan mereka yang menghidunya. Namun begitu, jika satu perbandingan di buat di antara ciri dioksin dan ciri tembakau, cukup banyak persamaan yang dapat diperhatikan daripada segi aspek kesihatan dan keracunan terutamanya. Jadual berikut di bawah menekankan sebahagian daripada persamaan ini.

Sebagai kesimpulan, rokok sepatutnya tidak lagi mendapat tempat di dalam masyarakat kita sepertimana juga racun-racun dioksin dan bahan-bahan lain yang berkaitan. Sekiranya rakyat dapat disedarkan tentang hakikat ini, maka usaha untuk membasmi tabiat merokok di kalangan masyarakat kita akan menjadi lebih mudah.


Ringkasan Bahaya Tembakau

Mengandungi anggaran 4000 jenis racun, sebahagiannya amat toksik seperti sianid, arsenik, racun-racun makhluk perosak. Dioksin juga boleh dihasilkan melalui penggunaan tembakau.

Mengandungi lebih daripada 10 bahan yang boleh menghasilkan kanser terutama sekali daripada jenis benzopiren yang terdapat di dalam tar rokok.

Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat mengkelaskan asap tembakau sebagai karsinogen Kelas A bersama-sama dengan bahan bahaya seperti asbestos, benzen dan gas radon.

Satu hasil pertanian yang sengaja ditanam untuk tujuan membuat rokok. Berbagai bahan kimia juga sengaja ditambah kepada bahan ini untuk tujuan citarasa, pengawetan mahupun menghasilkan ketagihan.

Apabila dihisap, asap yang terhasil di penghujung rokok mengandungi berbagai gas beracun seperti karbon monoksid dan hidrogen sianid

Bahan-bahan toksik dan partikel-partikel halus dibebabkan semasa merokok untuk menyebabkan fenomena merokok secara pasif. Tiada sebarang piawaian keselamatan dikenakan dalam hal ini.

Mengandungi bahan nikotin sebagai satu dadah yang boleh menyebabkan ketagihan sepertimana dadah kokain, amfetamin dan heroin.

Kajian menunjukkan bahawa tembakau adalah salah satu daripada faktor utama yang menyebabkan kelemahan tenaga batin ataupun mati pucuk bagi orang lelaki


Sumber Maklumat : Pusat Racun USM

Dua kena kompaun kerana merokok

GEORGETOWN: Seorang nenek menangis teresak-esak dan merayu meminta dilepaskan manakala seorang lelaki sanggup menelan puntung rokok yang masih menyala bagi mengelak dikompaun kerana menghisap rokok di tempat awam di sini, semalam.

Kedua-duanya bagaimanapun tidak terlepas daripada dikenakan kompaun oleh pegawai Jabatan Kesihatan negeri yang menjalankan operasi melarang orang ramai merokok di tempat awam.

Mereka dikompaun kerana merokok di tempat awam iaitu di sekitar hentian bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Nenek 58 tahun bersama cucu lelakinya berusia lapan tahun, juga tergamam apabila tiba-tiba ditahan pasukan penguat kuasa itu.

Ketika itu, dia dan cucunya sedang menikmati sarapan di sebuah gerai makanan di tepi hentian bas serta tidak menyedari operasi dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri.

"Encik tolong lepaskan saya dan janganlah tahan atas kesalahan ini," rayunya sambil menangis teresak-esak apabila pasukan penguat kuasa menahannya.

Bagaimanapun, rayuannya itu tidak diendahkan pegawai kesihatan yang kemudian mengeluarkan notis kompaun kepadanya di atas kesalahan yang dilakukannya.

Sementara itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an nekad menelan puntung rokok yang masih bernyala apabila dihampiri pasukan itu dan meminta kad pengenalannya.

Lelaki itu bertindak demikian bagi mengelak dikenakan kompaun namun gagal.

Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri, Idris Mohamad, berkata operasi dikenali sebagai ‘Ops Rokok’ itu diadakan mulai jam 11.30 pagi hingga 5 petang membabitkan sepasukan 30 pegawai.

"Sebanyak 40 notis kompaun dikeluarkan dalam operasi itu dan mereka perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari sebelum didakwa di mahkamah," katanya.


Berita Harian Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Nota : Pada tahun 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam persidangannya yang ke-37 telah pun memutuskan rokok adalah haram berdasarkan hujah yang hampir sama dengan fatwa-fatwa seluruh dunia yang lain. Malah Majlis Fatwa Sedunia yang berpangkalan di Arab Saudi juga menghukum haram merokok atas maklumat terkini mengenai bahaya rokok.

Hadith Rasullullah s.a.w. :"Halal itu jelas, haram itu pun jelas, dan antara keduanya ada beberapa perkara yang syubhat (samar) yang banyak dari manusia tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa memelihara dirinya dari segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam haram,"

( Hadis Riwayat Muslim)



Rabu, November 05, 2008

Remaja mudah ketagih seks


REMAJA melepasi tahap umur 'akil baligh' adalah golongan paling ramai melayari laman web lucah dan menjadi sasaran paling mudah disebabkan 'ledakan perasaan' yang cenderung kepada perlakuan seksual.

Perubahan tahap umur itu mendorong kepada keinginan kuat mengikut kehendak nafsu apatah lagi jika menonton video, melihat gambar lucah atau membaca artikel seks.

Profesor Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), berkata terlalu banyak kesan negatif jika membiarkan remaja melayari internet tanpa pengawasan yang mendorong mereka melayari laman web lucah.

"Remaja akil baligh cukup mudah naik nafsu syahwat terutama apabila melihat bahan lucah, mereka juga sudah tahu apa itu hubungan seks. Perubahan itu akan mencapai kemuncak jika wujud pergaulan tanpa batasan dan ketagihan seks.

"Banyak kes rogol bawah umur berlaku antara kenalan, rakan, pasangan kekasih disebabkan mereka tidak mempedulikan larangan agama dan undang-undang. Apa yang mereka fikirkan hanya untuk berseronok disebabkan wujudnya 'pencetus' iaitu bahan lucah.

"Jika tidak terdedah kepada anasir tidak sihat ini, masalah sosial itu tidak akan berlaku," katanya.

Bagi sesetengah remaja berniat jahat, mereka sanggup melakukan apa saja untuk memenuhi kehendak nafsu termasuk meletakkan pil khayal ke dalam minuman teman wanita atau kenalan sebelum merogol mangsa.

Dr Mariani berkata, aktiviti itu akan memberi kesan langsung kepada remaja yang masih bersekolah, mereka akan mengabaikan mata pelajaran, pencapaian akademik merosot, keruntuhan moral serta hubungan renggang dengan keluarga.

"Apabila sudah terjerumus, tentu ibu bapa akan marah tanpa menyedari apa sebenarnya dilalui anak-anak. Akan timbul juga masalah apabila keluarga terlalu mengawasi anak-anak di rumah, mereka akan mencari jalan melayari internet di luar rumah disebabkan ketagihan," katanya.

Faktor bayaran serendah 15 sen sebagai yuran melayari laman web juga mendorong ketagihan dan Mariani percaya kegiatan itu mensasarkan kepada remaja daripada keluarga berpendapatan sederhana ke bawah yang dilihat lebih daripada mampu untuk menjelaskan kadar bayaran berkenaan.

Katanya, dengan kadar bayaran itu, sesiapa saja mampu melayari laman web lucah dan tidak mustahil ada antaranya sanggup menyimpan wang saku ke sekolah kerana mahu menghabiskan masa melayari web itu.

"Semua ini membuktikan capaian internet cukup mudah, kanak-kanak juga boleh melakukannya. Apa yang kita saksikan sekarang ialah runtuhnya moral masyarakat kini, kes gugurkan kandungan, buang bayi berleluasa," katanya.

Faktor tiada penguatkuasaan konkrit, tiada pegangan agama serta wujudnya peluang serta pilihan yang banyak dan murah untuk mendapatkan bahan lucah kini menjadikan kegiatan itu menguntungkan satu pihak, pada masa sama meruntuhkan institusi masyarakat.


Laman web lucah mudah dilayari

Pengendali mendapat keuntungan beratus-ratus ribu ringgit sebulan menerusi caj serendah 15 sen sehari


SEORANG pembaca Berita Minggu terkejut menerima jawapan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa daripada 25 laman web lucah yang sangat popular terutama di kalangan remaja hanya dua yang boleh disekat.

Selebihnya tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menyekat atau menutup laman web berkenaan.

Khairul Amir yang bimbang dengan perkembangan laman web lucah di negara ini membuat aduan itu kepada SKMM dan menerima jawapan yang mengejutkannya kerana laman web lucah itu bukan saja bebas beroperasi di negara malah mengaut keuntungan besar.

Pengendali laman web pula dikatakan mampu mengelak undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang longgar dan pemeriksaan pengawasan pula hanya dijalankan secara rambang serta berdasarkan aduan.

Katanya, mengikut jawapan SKMM atas aduannya itu, dua lagi laman web disifatkan tidak mempunyai kandungan bercanggah dengan peruntukkan AKM 1998 dan tiada tindakan akan diambil.

Tinjauan mendapati, laman web itu jelas memaparkan gambar ghairah gadis kebanyakan rakyat tempatan serta cerita seks. Sembilan daripada 25 laman web itu pula didapati berpangkalan di luar negara dan tiada sebarang tindakan boleh dikenakan.

Tujuh lagi laman web tidak melanggar kehendak seksyen 211, AKM 1998 selepas didapati pengunjung perlu mendaftar secara sukarela dan menerima pelawaan daripada pengendali web manakala tiga laman web lain meletakkan syarat tertentu kepada pengunjung sebelum dibenarkan melayari kandungannya.

Pengendali laman web mendapat keuntungan beratus-ratus ribu ringgit sebulan menerusi caj serendah 15 sen sehari. Mereka menyediakan bahan lucah yang membolehkan pengunjung memuat turun dan menonton selain membaca cerita seks.

Bayaran 15 sen yang dikenakan oleh sebuah laman web itu bagi pengunjung mendapatkan akses menonton semua kandungan web. Berita Minggu mendapati, satu daripada web itu mempunyai 4,565 ahli berdaftar tidak termasuk pelawat biasa.

Jika angka itu diambil purata sehari, pengendali web mampu meraih keuntungan lebih RM20,000 sebulan dengan pendapatan RM675 sehari. Kepada pengunjung baru, mereka tetap diberikan akses percuma untuk beberapa klip video sebelum diminta membayar yuran untuk peringkat seterusnya.

Terdapat laman web yang cuma memerlukan pengunjung mendaftar alamat emel sebagai syarat pendaftaran ahli baru. Ada juga yang meminta ahli mengekalkan keahlian dengan syarat mesti menjadi penyumbang bahan lucah termasuk ada yang menggadai 'koleksi peribadi' untuk mengelakkan keahlian.

Mengulas situasi itu, jurucakap SKMM berkata, disebabkan terlalu banyak laman web yang boleh dilayari, sukar bagi mereka memantau secara terperinci dan hanya bertindak berdasarkan aduan dan pemantauan rambang.

"Walaupun AKM 1998 tidak membenarkan penapisan internet, kita masih boleh bertindak mengikut Seksyen 211 atau 233 ke atas web mengandungi isu kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, menggugut atau mengganggu.

"Tetapi disebabkan kita tidak dibenarkan menapis internet, maka penggunaan perisian penapisan di laluan masuk (gateway) oleh pihak pemberi perkhidmatan internet (ISP) tidak boleh dijalankan seperti di Arab Saudi dan China," katanya.

Berhubung 25 aduan berkenaan, katanya satu daripadanya sudah diarah tutup sementara manakala satu lagi dikategorikan tidak aktif termasuk kemungkinan ditutup pemiliknya.

Katanya, penilaian kandungan laman web sama ada berbentuk sumbang, lucah, palsu atau jelik adalah sangat subjektif. Mengikut Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia, tafsiran lucah ialah sekiranya boleh menimbulkan rasa jijik kerana gambarannya memberahikan dan menyinggung tanggapan adab berhubung kesopanan dan kehormatan.

Ujian kelucahan juga dinilai dengan melihat kepada kandungan itu mempunyai kecenderungan merosakkan pemikiran sesiapa yang terdedah kepada komunikasi berkenaan dengan memberi perhatian kepada adegan seks terlampau atau pornografi, pornografi kanak-kanak dan penghinaan seksual.

Mengenai caj bayaran dikenakan untuk melayari web, katanya, ia jelas melanggar peraturan mengikut Seksyen 233 (2) (a) kerana memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial. Bagaimanapun, bayaran itu tidak dikawal selia dan ia juga tidak boleh dikaitkan sama ada web itu sah atau tidak.

INFO:

Laman web yang disiasat, sudah disiasat dan sudah dikenakan tindakan (68 kes).

  • 25 kes : Tindakan Penguatkuasaan di bawah AKM 1998
  • 38 kes: Ditutup (termasuk tiada perlanggaran AKM 1998, di luar bidangkuasa SKMM dan kandungan ditarikbalik)
  • 5 : Dalam Siasatan

Aduan yang diterima SKMM:

  • Januari - Mac 2008 : 628 (lain-lain perkara) dan 13 (laman web)
  • April - Jun 2008: 1,076 (lain-lain perkara) dan 35 (laman web)
  • 2007: 2,147 (lain-lain perkara) dan 30 (laman web)

Jumlah laman web lucah: Berdasarkan laman web internet-filter-review pada 2006.

  • 4.2 juta web lucah
  • Bersamaan 12 peratus daripada keseluruhan laman di internet.

Tindakan:

  • Peruntukkan Seksyen 211 dan 233 AKM 1998: denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah.

Oleh Mohd Azis Ngah (Berita Harian)