Khamis, April 08, 2010

ABABIL Mendesak Kaji Semula Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee)

Penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee) pada bulan Februari yang lalu di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya dikaji semula secara menyeluruh melibatkan tokoh-tokoh agamawan serta tokoh-tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama. Langkah ini bertujuan mencegah daripada berlakunya pertelingkahan yang melibatkan dasar agama terutamanya Islam yang memerlukan kefahaman kerangka asas Islam iaitu ‘aqidah dan syari‘ah serta kepakaran dalam pentafsiran al-Qur’an dan al-Hadith mengikut sumber kelimuan yang sahih lagi benar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini ditubuhkan bertujuan mengenal pasti dan menyelesaikan pertikaian berkaitan dengan agama bagi mengelakkan perselisihan faham yang boleh menggugat keharmonian negara. Namun begitu, Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) berpendapat bahawa penglibatan ahli jawatankuasa serta matlamat utama penubuhan jawatankuasa ini seharusnya dikaji semula dengan lebih mendalam dan telus.


Jawatankuasa ini yang bernaung di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya memfokuskan perpaduan kaum yang melibatkan kepelbagaian kebudayaan serta adat resam dalam masyarakat dalam mewujudkan keharmonian negara. Penglibatan JPNIN dalam mewujudkan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama sedikit sebanyak menyisih bidang kuasa autoriti agama yang lain secara tidak langsung seperti Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, dan lain-lain lagi.

Malah, penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini dilihat tidak bertujuan membawa perpaduan antara agama tetapi lebih kepada toleransi antara agama. Perkara ini perlu dipandang serius kerana tujuan perpaduan antara agama sepatutnya melibatkan pendidikan yang intensif kepada masyarakat dan bukannya perbincangan setelah masalah antara agama terjadi. Dari perspektif Islam pula, perkara-perkara yang berkaitan ‘aqidah dan syari‘ah tidak wujud soal toleransi sehingga mengorbankan prinsip asas dalam Islam seperti yang terkandung di dalam surah al-Kāfirūn, surah ke-109 ayat ke-6 iaitu,

"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku"

Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, antara perkara yang akan dibincangkan di dalam jawatankuasa ini ialah isu kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh Herald Tribune. Di samping itu, menurut ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama, Datuk Ilani Datuk Isahak, pertikaian agama yang bakal diketengahkan juga termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah-rumah ibadat dan isu tanah perkuburan. Jika dilihat secara jujur, kesemua isu ini langsung melibatkan hubungan Islam dengan agama-agama lain. Situasi ini nampaknya begitu serius kerana perkara-perkara yang disentuh bukanlah perkara-perkara remeh dalam Islam, tetapi perkara yang melibatkan dasar Islam itu sendiri iaitu ‘aqidah dan syari‘ah. Kebimbangan ABABIL bertambah kerana dasar-dasar perbincangan ini seakan-akan mirip tujuan penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang menjadi kontroversi suatu ketika dahulu.

Bagi sesebuah jawatankuasa yang bertujuan menyelesaikan pertikaian agama, keahlian seharusnya diberikan kepada orang yang benar-benar pakar dalam bidang keagamaan. Islam terutamanya menekankan dasar keilmuan al-Qur’an dan al-Hadith dalam meletakkan prinsip hidup seseorang Muslim serta masyarakat di atas jalan yang benar. Kegagalan dalam menguasai bidang keilmuan sebegini boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat timbul sehingga menyebabkan kesesatan ‘aqidah yang menjadi pegangan asas seseorang Muslim.

Walaupun Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyatakan jawatankuasa ini tidak melibatkan ahli politik, tetapi Datuk Ilani Datuk Isahak merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu yang berlatarbelakangkan politik secara langsung. Ketelusan dalam pemilihan Ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini sepatutnya dititikberatkan dengan memilih tokoh agamawan yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik dan diiktiraf oleh semua agama.

Penglibatan ulama’ yang diiktiraf bagi mewakili masyarakat Islam seharusnya di ambil kira sebagai langkah utama. Kepakaran ilmu golongan ulama’ sangat penting dalam menentukan sesuatu keputusan berkaitan masalah-masalah yang melibatkan Islam. Kesilapan tidak meletakkan ulama’ yang benar untuk membincangkan perkara dasar Islam dalam jawatankuasa ini menyebabkan ketegangan antara agama di Malaysia khususnya akan menjadi lebih parah seperti kata pepatah “tikus membaiki labu”.

Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) di bawah Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) mendesak kajian semula terhadap penglibatan ahli Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini yang sepatutnya mengambil ulama’, tokoh agama dan tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama bagi mengelakkan kecelaruan dasar agama yang seterusnya menggugat keharmonian negara. Matlamat utama jawatankuasa ini juga sepatutnya dijelaskan secara telus supaya bidang kuasa mutlak Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan serta badan-badan autoriti agama yang lain tidak diketepikan secara langsung atau secara halus.

‘Izzat Anwari bin Hasni

Koordinator

Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL)

Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP)