Rabu, April 20, 2011

Ulasan Bedah Buku ' Memelihara Persaudaraan Islam: Adab dan Cara-caranya



BEDAH BUKU

TARIKH : 13 April 2011 (Rabu)
MASA : 5.45 petang – 6.40 petang
TEMPAT : Anjung Semarak, USM
PEMBEDAH: Saudara ‘Izzat Anwari bin Hasni


TAJUK BUKU : Memelihara Persaudaraan Islam: Adab dan Cara-caranya
PENULIS : Panel Penulis JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)
TERBITAN : JAKIM

Kata-kata Aluan
ALHAMDULILLAH, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan taufik dan 'inayah-Nya, satu risalah kecil yang membicarakan tentang adab-adab dalam memelihara persaudaraan Islam dapat diterbitkan pada masanya yang sesuai dan bertepatan dengan kehendak semasa. Sesungguhnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T. telah menetapkan peraturan-peraturan dan garis panduan yang sempurna bukan sahaja sesuai pada sebarang tempat dan masa, malahan bertepatan dengan naluri dan fitrah makhluk manusia ciptaan-Nya. Sebarang percanggahan atau pelanggaran batas-batas yang ditetapkan ini akan mengakibatkan berlakunya kepincangan dan kerosakan kepada kehidupan dan diri manusia itu sendiri. Oleh itu, peraturan-peraturan Ilahiah yang berlandaskan al-qur'an,hadith ijmak ulama' dan qias mestilah dipegang sekukuh-kukuhnya tanpa sebarang kompromi atau bersyarat. Segala dakwaan,pandangan dan sikap yang jelas bertentangan dengan nas-nas yang sarih mestilah ditolak kerana ia bukan bertunjangkan sumber yang muktabar tetapi bertopengkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi yang keji. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan panel penulis JAKIM atas kegigihan menyiapkan risalah ini sehingga dapat diterbitkan tepat pada masa yang ditetapkan. Mudah-mudahan risalah ini menjadi panduan yang berguna kepada umat Islam seluruhnya terutama dalam membina perpaduan dan kekuatan ummah yang kini sedang hebat diserang oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.
BRIG.JEN.(B) DATO'ABDUL HAMID BIN HJ ZAINAL ABIDIN
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
RINGKASAN PEMBENTANGAN:
- Buku ini bagus dalam menggariskan adab dan cara-cara dalam memelihara persaudaraan Islam.
- Pada sesi pembentangan, tajuk yang difokuskan adalah pada bab ‘Perdebatan’.
o Dalam pergaulan seharian, kita sering berhadapan dengan perbincangan atau perdebatan tentang sesuatu isu. Islam menggariskan beberapa panduan yang patut diikuti ketika perbincangan atau perdebatan untuk mengelakkan berlakunya perbalahan. Perdebatan tentang agama, politik, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang dilakukan tanpa berlandaskan adab-adab yang dibenarkan oleh syarak, akan mengakibatkan rosaknya agama, kehidupan dan ilmu pengetahuan. Barangkali perdebatan seperti yang mereka lakukan itulah yang mengakibatkan rosaknya kesejahteraan ummat dan lahirnya golongan yang berpecah-belah.
o Perdebatan seumpama ini bukanlah pembahasan yang sihat dan bukan pula usaha memperolehi kebenaran dengan cara yang sebaik-baiknya. Ini tergambar apabila para sahabat pernah berdebat antara satu dengan lain tentang sesuatu perkara. Apabila Rasulullah s.a.w. datang, baginda bersabda:
o Maksudnya :
Hai umat Muhammad, berhati-hatilah! Orang sebelum kamu dahulu binasa kerana perbuatan seperti itu. Tinggalkanlah perdebatan kerana orang beriman tidak patut berdebat! Tinggalkanlah perdebatan kerana orang yang berdebat jelas akan memperolihi kerugian! Tinggalkanlah perdebatan kerana perdebatan mendatangkan dosa bagi orang selagi ia berdebat! Pada Hari Kiamat aku tidak akan memberi syafaat kepada orang yang suka berdebat! Tinggalkanlah perdebatan, kujamin tiga buah rumah di dalam syurga: di taman-tamannya,di tengahnya, dan yang di bahagian atasnya tersedia bagi orang yang menjauhkan diri daripada perdebatan dalam keadaan ia benar! Tinggalkanlah perdebatan kerana perkara pertama yang aku dilarang oleh Tuhanku sesudah melarang penyembahan berhala perdebatan.'
(Riwayat At-Tabarani)
o Sepatutnya, dalam perbincangan tentang sesuatu isu yang timbul, kita hendaklah mengawal diri dan jangan sekali-kali menyanggah atau menyampuk kata-kata atau pandangan orang lain yang sedang memberikan pandangannya. Ini kerana setiap kata-kata yang kita dengar itu, jika benar, hendaklah kita mempercayainya atau menyetujuinya. Tetapi sekiranya kata-kata atau pandangan yang diutarakan itu salah, maka hendaklah perbetulkan. Itulah sebenarnya cara yang sepatutnya dilakukan ketika kita berdebat atau berbincang,
o Bukannya saling cabar-mencabar dan bertikam lidah hingga membawa pertengkaran yang tidak berkesudahan, serta tidak menghasilkan apa-apa keputusan.
o Firman Allah S.W.T.Maksudnya:
'...Dan berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang terbaik...’
(Surah an-Nahl : 125)

Isnin, April 18, 2011

Ulasan Diskusi Bedah Buku " Risalah Bagi Setiap Muslim"



TARIKH : 6 April 2011 (Rabu)

MASA : 5.55 petang – 7.00 malam

TEMPAT : Anjung Semarak, USM

PEMBEDAH : Saudara Nurfitri Amir bin Muhammad

TAJUK BUKU : Risalah Bagi Setiap Muslim

PENULIS : Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah

RUJUKAN & OLAHAN : Dr. Usamah Muhammad Abdul Azim Hamzah

TERBITAN : Jahabersa

MUKASURAT : 51 Muka Surat

HARGA : RM 4.90


SINOPSIS:

Buku yang merupakan terjemahan "Al Thoriq ilal Hidayah " ini dihidangkan kepada pembaca agar ia menjadi satu garis panduan bagi cara mendapatkan hidayat petunjuk ke jalan yang lurus yang diredhai oleh Allah Taala. Buku kecil ini amat penting kerana ia adalah hasil nukilan ulama terkenal iaitu Al-Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah dan telah dirujuk oleh Dr. Usamah Muhammad Abdul Azim Hamzah, Doktor dalam Syariah Islamiyah.

RINGKASAN PEMBENTANGAN:

- Buku ini bagus untuk penyucian jiwa yang mana ia mempersoalkan tentang keberkatan.

- Selain itu, buku ini juga membincangkan tentang kelalaian (hati kosong) yang mana disebabkan oleh:

o Mengikut hawa nafsu

o Tidak mengingati Allah

- Kelalaian ini akan menyebabkan:

o Kerosakan kepada alam

o Kerosakan kepada yang khusus (diri dsb)

- Firman Allah dalam Surah Kahfi : 28

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

- Selain itu, buku ini mengemukakan persoalan dan jawapan kenapa kita sebagai muslim seharusnya memohon pertunjuk (hidayah). Berdasarkan dalil yang kukuh dalam Firman Allah Surah Al-Fatihah : 6-7

Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

- Hidayah adalah merujuk kepada petunjuk dari Allah melalui alami atau tanzil (Al-Quran dan As-Sunah). Fungsi petunjuk ini adalah untuk taqwa. Manakala, fungsi taqwa adalah untuk beramal. Ini semua adalah untuk kita meningkatkan tahap/kedudukan kita iaitu dari:

Muttaqin (orang yang bertaqwa)

Mukmim (orang yang beriman)

Muslim (orang yang islam)

- Selain itu, buku ini juga turut membincangkan perihal sabar dan yakin yang mana kedua-dua sifat ini harus selari. Sabar diterjemahkan sebagai menahan nafsu/syahwat. Manakala yakin pula ditafsirkan sebagai menahan syubhat.

- Perkongsian yang bermanfaat yang boleh kita amalkan adalah bagaimana untuk menjadi individu yang afdhal? Ia dijawab dengan prosedur perkara berikut:

i) Makrifatul haq

ii) Beramal dengannya

iii) Mengajarinya

iv) Bersabar dalam mengenal, beramal dan mengajarinya

- Diakhir kalam, penulis menyimpulkan dengan satu hadis yang menarik yang memberi kesan kepada setiap muslim. Hadis tersebut adalah:

Sabda Rasulullah saw: ”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (Riwayat Muslim)