Jumaat, Oktober 24, 2008

Majlis Fatwa haramkan perlakuan 'pengkid'

Berita Harian - 24 Oktober 2008
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

KOTA BHARU: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan perlakuan 'pengkid' atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki, sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki.

Beliau berkata, fenomena pengkid kini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar diatasi pada masa depan.

"Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal manusia, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.

"Lebih membimbangkan, pengkid kini sudah melarat kepada perkara berkaitan seksual dengan meminati sama sejenis," katanya pada sidang media selepas berakhirnya muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan di sini. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Sehubungan itu, Dr Abdul Shukor meminta ibu bapa, keluarga dan masyarakat menasihatkan golongan terbabit supaya tidak melakukan perkara menyalahi ajaran Islam.

Dalam sebuah hadits shahih dari ibnu Abbas Radhiallaahu anhu dia berkata: "Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam telah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang berpenampilan seperti laki-laki (HR. Al-Bukhari).

Laknat artinya terusir dan dijauhkan dari rahmat Allah Hadits lain yang juga diterima.

Ibnu Abbas ra dia berkata: "Nabi Shallallaahu alaihi wa Sallam telah melaknat kaum laki-laki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan laki-laki," (HR. Al-Bukhari).

Wanita yang berpe-nampilan seperti laki-laki artinya yang meniru-niru laki-laki dalam berpakaian dan penampilan. Adapun meniru dalam hal ilmu dan pemikiran maka hal itu terpuji.

Dari Salim Bin Abdullah dari bapaknya, dia berkata: "Telah bersabda Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam : "Ada tiga golongan manusia yang tidak akan dipandang oleh Allah Azza Wajalla pada hari kiamat: Orang yang durhaka kepada orang tua, wanita yang menyerupai laki-laki, dan Dayuts (orang yang tidak punya rasa cemburu Pent.)" (HR. An-Nasai)

Rabu, Oktober 22, 2008

Pertandingan wajah serupa nabi dibatal

Berita Harian 21 Oktober 2008

FRANKFURT: Pihak berkuasa Jerman akhirnya membatalkan pertandingan kontroversi mencari wajah serupa dengan Nabi Muhammad yang sepatutnya diadakan ketika pesta buku antarabangsa di bandar raya ini.

"Kami gembira kerana masalah pasti timbul tanpa pembatalan ini," kata pendakwa raya Frankfurt, Doris Joeller-Scheu.

Majalah bulanan Titanic bercadang mengadakan pertandingan kontroversi itu ketika pesta itu berlangsung, yang terbesar di dunia, Selasa lalu.

Pertandingan menunjukkan peserta membaca al-Quran dan meniru cara Nabi Muhammad berjalan, bercakap dan bergerak. Bagaimanapun, pegawai bandar raya Frankfurt membatalkan acara itu untuk mengelakkan kemarahan umat Islam.

"Kami lega kerana pasti bantahan akan diadakan jika pertandingan itu diteruskan," kata jurucakap polis, Juergen Linker.

Pada 2005, akhbar Denmark, Jyllands-Posten, mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia selepas menyiarkan 12 karikatur yang mempersendakan pemimpin agung itu.

Krisis berkenaan, yang menegangkan hubungan antara dunia Islam dan Barat, memaksa sarjana Islam, paderi dan pendeta Yahudi meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi menjadikan penghinaan itu satu perbuatan jenayah.

Pesta Buku Frankfurt selama empat hari itu mempromosikan penulis Turki, Zafer Senocak, sebagai tetamu kehormat tahun ini.

"Saya mempelajari bahasa Jerman dengan bermain. Saya bermula dengan menulis sajak. Dengan sajak, anda tidak memilih bahasa, anda mendengar pada suara dalam. Pada mulanya, suara itu bercakap bahasa Jerman," kata penulis novel dan penyajak berkenaan, yang dilahirkan di Ankara dan berhijrah ke Munich pada usia lapan tahun.

Tulisan Senocak diterjemahkan ke bahasa Turki, Inggeris, Perancis, Belanda dan Hebrew. � Agensi

“Kebiadaban tanpa henti kepada kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW sungguh mendukacitakan kerana;

Nabi Muhamad SAW. Beliau adalah manusia paling terhormat dan rasul yang paling mulia di hadapan Allah SWT. Beliau diutus Allah SWT dengan syariat yang sempurna nan agung yang belum pernah diberikan kepada seorang nabi mahupun rasul sebelumnya. Pengalaman sedikit dari manhaj dan jalannya menempati posisi yang tidak dicapai oleh pengalaman banyak dari manhaj dan jalan umat lainnya. Sebagimana yang diriwayatkan Imam Ahmad dari Muhammad bin Ali Ibnu al-Hanafiah, bahawa ia pernah mendengar Ali bin Abiu Thalib menuturkan, Rasulullah SAW bersabda;

“Aku telah diberi sesuatu yang tidak diberikan kepada seorang nabi pun.” Lalu kami bertanya: : “ Apakah sesuatu itu, ya Rasulullah?” Beliau bersabda: “Aku dimenangkan dengan ketakutan (musuh), aku diberi kunci-kunci bumi, diberikan kepada ku nama Ahmad, dan dijadikan tanah ini bagiku suci, serta dijadikan umatku ini sebagai umat yang terbaik.” (melalui jalan tersebut hadis ini hanya diriwayatkan Ahmad dengan isnad hasan)


“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu, (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat, dan dia banyak menyebut Allah”.
Surat Al Ahzab ayat 21

Selasa, Oktober 07, 2008

Sepahit Madu

Sepahit Madu

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

Ketua Usrah Kampus API

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…" Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan," jawab Fikri.

***

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."

http://darahmerdeka.wordpress.com