Oleh; Usrah Alam Sekitar Banjir merupakan satu fenomena alam yang berlaku secara semulajadi atupun kesan daripada aktiviti manusia. Jika tempoh banjir itu sekejap, dengan kenaikan paras air yang tidak mencecah paras bahaya, ia mungkin masih selamat kepada masyarakat dan tidak mendatangkan kerugian yang cukup besar akibat daripada kerosakan harta benda.
Tetapi jika banjir itu berlaku sehingga mencecah paras bahaya , ia mungkin menimbulkan seribu satu masalah yang tidak terjangka. Banjir yang melanda negara kita beberapa bulan yang lalu, sewajarnya menjadi pengajaran buat kita semua dalam menilai sejauh mana kita mengurus dan mentadbirkan alam ini dengan baik selaku khalifah di muka bumi Allah ini.
Baru - baru ini di dalam akhbar Utusan Malaysia ( 2 Januari 2008) bertajuk ” Formula Atasi Banjir Secara Muktamad” memaklumkan bahawa kerajaan telah merangka Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) yang menelan belanja RM 30 bilion untuk di laksanakan.
Belanja yang cukup besar. Namun sejauh manakah keberkesanannya dalam mengatasi masalah ini ? Pengurusan alam sekitar perlulah bersifat holistik dan mesra alam. Ia tidak boleh hanya memberi penekanan di peringkat pemulihan sahaja sesudah sesuatu bencana alam itu berlaku. Tetapi ia perlu mengkaji punca awal permasalahan tersebut .
Masalah banjir yang berlaku di Malaysia adalah di pengaruhi oleh beberapa faktor samada faktor semulajadi seperti kedudukan dan rupa bentuk geografi bumi dan kadar penerimaan taburan hujan tahunan. Jika ia melibatkan faktor semulajadi, mungkin tidak banyak penyelesaian atau masalah yang timbul akibat daripadanya.
Tetapi yang menjadi persoalan dan penekanan adalah kesan daripada aktiviti manusia ke atas muka bumi ini. Akibat daripada projek pembangunan yang tidak terancang dan aktiviti – aktiviti manusia terhadap alam sekitar yang bertentangan dengan keadaan semulajadi alam , melampau dan tidak terkawal.
Walaupun terdapat usaha – usaha pemeliharaan alam ini dari sudut polisi dan undang - undang seperti penyediaan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), Akta Kualiti Alam Sekilili 1974 (EQA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS), ISO 14,000 (Standard Pengurusan Alam Sekitar), Garispanduan Pembangunan Tanah Tinggi dan bermacam lagi skala lain yang di gunakan, tetapi masalah alam sekitar dan kepatuhan kepada perundangan sedia ada masih tidak membantu meningkatkan kualiti alam sekitar kita.
Sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Ar- Rum Ayat 41 :
”telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Adalah penting untuk kita melihat isu dan permasalahan ini dari pelbagai sudut bagi mendapatkan kesan yang lebih baik dalam menanganinya. Tambahan pula PITB yang di rangka itu belum pasti benar – benar mampu mengatasi masalah ini sepenuhnya.
Perlu di fikirkan juga bahawa projek pembangunan mega ,sederhana mahupun kecil yang rancak di bangunkan di merata tempat di Malaysia hari ini menjadi faktor penting yang menyumbang kepada peningkatan masalah banjir di Negara ini. Selain daripada masalah pengairan dan saliran yang melibatkan longkang, parit dan sungai – sungai tersumbat.
Hari ini banyak bukit bukau yang telah di potong dan di gondolkan bagi menjayakan projek pembangunan yang di rancang. Juga pokok – pokok yang di tebang secara halal mahupun haram. Padahal kedua – dua elemen alam semulajadi ini sangat penting dalam proses mengatasi masalah banjir yang jarang di pandang oleh pembuat dasar.
Ini kerana bukit bukau yang berperanan sebagai pasak bumi seperti yang di sebutkan di dalam Al – Quran bagi memperteguhkan kedudukan bumi ini setelah di hamparkan segala macam perhiasan dari tanaman dan haiwan yang melata di muka bumi ciptaan Allah ini, telah di olah sesuka hati oleh tangan – tangan rakus manusia.
Bukit bukau ini menjadi kawasan tadahan dan simpanan air bagi sumber bekalan air unuk manusia dan seluruh makhluk. Ia juga bertindak sebagai span bumi yang mampu menyerap air hujan dengan di bantu pokok – pokok yang ada bagi melambatkan proses air larian permukaan . Dengan itu tanah mampu untuk menyerap dan meresap air hujan pada kadar yang lebih banyak.
Apa yang di tekankan di sini adalah elemen alam semulajadi yang mampu menjadi satu alat untuk membantu dalam usaha mengatasi masalah banjir. Fungsi dan peranannya dalam hal ini tidak boleh di ketepikan. Lantaran itu, ia perlu di pelihara dan di pulihara serta di kawal agar kawasan ini tidak terhakis oleh projek – projek pembangunan.
Aspek teknikal dan fizikal yang di tekankan seperti pembinaan empangan bukanlah satu langkah bijak dalam mengatasi masalah banjir. Lihat sahaja senario yang berlaku di China, ketika hujan lebat melanda Negara itu, semua pintu empangan di buka bagi mengeluarkan air yang tertakung di dalam empangan yang melebihi takat maksimum bagi mengelakkan empangan tersebut rosak dan pecah.
Akibatnya banjir yang berlaku semakin bertambah , mengancam nyawa penduduk dan kemusnahan harta benda . Ini mebuktikan bahawa kaedah ini tidak sesuai di gunapakai dalam usaha menangani masalah banjir. Tambahan pula Malaysia yang merupakan sebuah Negara khatulistiwa menerima kadar hujan tahunan yang tinggi.
Kini amat sukar untuk kita menduga musim dan waktu hujan yang berlaku. Fenomena alam luar biasa yang lain seperti tsunami,salji, hujan batu, gempa bumi, taufan dan lain – lain mungkin akan turut di alami di Negara kita . Inilah sebahagian daripada kesan perubahan cuaca dunia yang sedang kita alami akibat daripada kerosakan alam yang mempengaruhi sistem semulajadinya.
Justeru , adalah wajar untuk kita merancang dan merenca sesuatu pelan tindakan secara individu atau berkumpulan dalam mengatasi masalah alam sekitar secara yang berharmoni dengan alam. Merubah corak hidup juga penting dalam memastikan kita dapat mengurangkan masalah alam sekitar. Penglibatan semua pihak di setiap peringkat masyarakat bagi memastikan alam ini terus terpelihara menjadi faktor utama kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam.
Bersama Selamatkan Bumi Kita…!!