Selasa, April 01, 2008

'TREND SETTERS'





'Trend Setters'

Oleh;

NurFitri Amir Muhammad
(Usrah Sosial)
Angkatan Pemuda Pemudi Islam

Segala bentuk kebejatan sosial yang berlaku pada hari ini semuanya dinisbahkan kepada imej remaja. Remaja merupakan satu kelompok masyarakat yang paling penting dalam sesebuah negara, jika remaja yang ada pada hari ini cemerlang, maka aman dan makmurlah negara kita dimasa hadapan. Namun, remaja hari ini dilihat seolah-olah sebagai beban kepada masyarakat. Keadaan ini berterusan menjadikan remaja dilihat sebagai kelompok bermasalah. Lantaran itu, kelompok-kelompok remaja bermasalah yang wujud dalam sesebuah komuniti pasti akan diherdik dan dihina oleh masyarakat sekelilingnya bahkan oleh ibubapa mereka sendiri. Sehingga akhirnya, kelompok remaja yang telah tersasar ini merasakan diri mereka sangat tidak berharga dan terus bergelumang dalam kancah kemaksiatan ini kerana mereka sudah tidak ada lagi motivasi diri untuk berubah. Apabila mereka meningkat dewasa, sifat-sifat negatif yang masih ada dalam diri mereka akan terus wujud dan ini sudah pasti akan menimbulkan masalah yang lebih besar kepada masyarakat. Alangkah ruginya apabila aset bangsa yang paling berharga ini tidak jaga dengan penuh kesungguhan sepertimana harta yang bertimbun. Walhal, sejarah telah membuktikan bahawa pemuda-pemuda yang beriman dan berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah itulah, akhirnya apabila dewasa akan memartabatkan agama dan negaranya sepertimana Ali bin Abu Talib dan Sallahuddin Al- Ayubi.

Golongan pemuda pada hari ini dihambat dengan pelbagai permasalahan yang semakin lama semakin bertambah jumlahnya, bukan berkurang. Ia boleh dibahagikan kepada empat isu utama iaitu Gaya Hidup, Akademik, Budaya Sosial dan Kekeluargaan seperti yang di senaraikan ini dan setiap satunya berkait antara satu sama lain:

Gaya Hidup
Boros berbelanja
Gaya hidup Bebas
Hedonisme
Kebaratan (Westernization)
Disco
Kosmetik

Kebejatan Sosial
Lepak
Merokok / Dadah
Arak
Lumba Haram
Seks Bebas / Zina
Bohsia / Bohjan
Pecah rumah / Ragut/ Vandalisme
Buli / Samseng
Rogol / Cabul / Lucah
Murtad / Black Metal


Akademik
Hilang Motivasi Belajar
Pencapaian Akademik Rendah
Hilang Tumpuan Belajar
Keciciran di Sekolah / Kelas
Keciciran Taraf Pencapaian (dropout)
Ponteng /Lawan Guru

Kekeluargaan
Kemiskinan
Penceraian Ibu Bapa
Kahwin Di Usia Muda
Keluarga Besar
Pekerjaan/ Bekerja
Ekonomi Diri/Keluarga
Keluarga “Dual Income”
Sumbang Mahram
Keruntuhan Akhlak
Keruntuhan institusi keluarga islam

Gejala sosial yang berlaku dapat dilihat malalui dua perspektif. Perspektif pertama adalah masalah yang berpunca daripada isu-isu kekeluargaan saperti keluarga yang berpecah belah, masyarakat yang tidak lagi prihatin terhadap orang lain dan hilang rasa malu dalam diri muda-mudi akibat terpengaruh dengan budaya barat. Perspektif kedua pula adalah isu-isu pembangunan yang tidak terancang dan merosakkan struktur sosial masyarakat, dasar negara yang tidak mengawal penyebaran hiburan yang melampau dan penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan rasa tanggungjawab tetapi hanya manjalankan tugas atas dasar makan gaji.

Punca permasalahan sosial ini mesti dikaji ke peringkat akar umbi untuk kita memahami masalah sebenar. Golongan-golongan yang bermasalah ini sebenarnya boleh dikatagorikan sebagai golongan Mustadh’afin atau yang tertindas kerana mereka didesak oleh sistem sosial yang tidak betul yang menyebabkan mereka dinafikan hak untuk hidup lebih selesa dan mendapat pendidikan yang lebih sempurna.

Sistem ekonomi kapitalis yang sangat liberal membenarkan sekelompok manusia mengawal sistem ekonomi untuk mengumpul kekayaan (monopoli). Maka, golongan miskin ini hampir mustahil untuk mendapatkan hak yang sama seperti si kaya raya. Mereka berkerja kuat sekadar untuk mempertahankan hidup, bukannya mempertingkatkan kualiti hidup. Apalah yang terdaya oleh si miskin untuk menguruskan rumah tangga dengan cemerlang kerana mencari sesuap nasi itu lebih penting daripada memerhatikan tingkahlaku anak-anak dan memberikan pendidikan yang sempurna.

Kompleks membeli - belah dan tempat-tempat seumpamanya yang menyediakan tempat melepak sambil berhibur menjadi tempat membiaknya gejala sosial ini. Tempat-tempat seperti ini dibina atas dorongan mahu mencari untung oleh golongan-golongan tertentu yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan negara semata-mata kerana ringgit. Disinilah semua pengamal-pengamal gejala sosial yang bermacam-macam jenis itu berkumpul dan bertukar-tukar fikiran untuk menghasilkan satu ‘Budaya Syaitan’ yang lebih tulen sehingga timbulnya fahaman-fahaman syaitan seperti Jangan Ikut Tuhan (JIT) dan Black Metal. Bukan setakat itu sahaja, tempat-tempat hiburan seperti ini juga menjadi tempat mereka mengkader orang lain untuk jadi seperti mereka. Selepas puas berhibur, mereka melepak pula di tempat yang sesuai dengan penyakit sosial mereka. Penagih dadah dan penghidu gam di rumah-rumah usang, belen (dulunya disebut bohsia) dan pelacur di lorong-lorong belakang dan mat rempit di jalan-jalan raya strategik untuk mereka merempit.

Budaya bangsa timur yang pemalu telah terhakis kerana terpengaruh dengan budaya barat yang liberal dan sangat bebas. Wujud golongan-golongan Liberal yang bergerak dalam organisasi yang teratur seperti Sister In Islam (SIS) yang melaung-laungkan penolakan penguatkuasakan undang-undang moral agama kerana menurut mereka, undang-undang tersebut melanggar kebebebasan dan hak asasi manusia. Lebih parah lagi, keadaan ini menghasilkan satu fenomena dimana mungkar itu menjadi sebuah norma masyarakat yang dianggap biasa dan tidak mencacatkan. Apa yang sangat merunsingkan adalah apabila sesuatu kemungkaran itu menjadi aliran yang dapat diterima sebagai sesuatu nilai yang dirasionalkan dan juga sebagai suatu perkembangan yang neutral.

Media memainkan peranan penting dalam penyebaran kesesatan. Filem-filem Hollywood dan Bollywood yang mempromosikan gaya hidup bebas, boros, dan sekular menjadi senjata yang paling ampuh untuk menyesatkan umat Islam. Ditambah pula dengan bahan-bahan cetak pisican yang berbentuk hiburan dan lucah yang berlambak-lambak dipasaran dengan harga yang murah. Maka antara natijahnya, pemahaman seks bebas yang salah oleh remaja-remaja yang mana mereka menganggap seks bebas adalah seks yang dilakukan dengan ramai pasangan manakala seks yang dilakukan dengan teman lelaki adalah sesuatu yang tidak salah atas hak cinta ‘suci’ mereka. Mereka tidak memandang isu ini dalam konteks pemahaman agama. Ini kerana pemahaman agama tidak diterapkan dalam diri mereka. Pendidikan seks yang diajar dalam majalah-majalah yang mudah didapati dikedai-kedai tanpa pendekatan agama hanya akan menggalakan remaja ingin mencuba melakukan seks.

Berpuluh bahkan mungkin beratus kertas kerja telah dihasilkan berdasarkan kajian-kajian sosial yang dilakukan. Berbagai-bagai idea tentang kaedah terbaik untuk mengubati pemuda-pemuda yang ‘sakit’ ini telah dilontarkan dan beratus pendakwah telah berbuih mulut memberi nasihat dan peringatan di kuliah-kuliah mereka di masjid-masjid dan surau-surau. Namun entah apa silapnya, segala kebejatan ini masih berlaku, bahkan bertambah pula jumlah dan jenisnya. Kami mendapati seolah-olah terdapat satu jurang yang sangat luas antara para pendakwah dengan pesakit-pesakit sosial ini seperti yang dapat digambarkan seperti berikut :



Gambar rajah ini dilakarkan untuk menunjukkan dengan jelas bahawa terdapat satu jurang interaksi yang sangat besar antara golongan pendakwah dan golongan berpenyakit sosial yang menyebabkan dakwah yang diwarwarkan jarang sekali sampai kepada golongan paling bawah dan terpinggir ini. Ini adalah kerana golongan berpenyakit sosial ini memang sudah sifatnya tidak mahu mendengar nasihat.

Oleh itu, adalah sangat tidak diharapkan untuk mereka membaca tulisan-tulisan ilmiah kerana mereka lebih suka membaca majalah hiburan, jangan difikirkan bahawa mereka akan melayari blog-blog dakwah kerana mereka lebih teruja membuka laman web lucah dan jangan diharapkan mereka akan ke masjid-masjid untuk mendengar kuliah kerana mereka lebih selesa melepak di lorong-lorong belakang kedai dan di pusat-pusat hiburan. Golongan-golongan pendakwah jarang-jarang sekali mendekati golongan ini dan berdakwah secara terus kepada mereka. Mereka sebenarnya sangat memerlukan kaunseling keagamaan dan kasih sayang masyarakat. Jika ini tidak berlaku, mereka akan terus rosak dan merosakkan orang lain pula yang juga dahaga kasih sayang dan ilmu agama. Setiap pendakwah mesti berusaha lebih keras lagi untuk memperbaiki keadaan masyarakat dengan melaksanakan satu proses yang tersusun secara berperingkat-peringkat di medan lapangan dakwah mereka.

Pertama. Mereka perlu memahami keadaan sosial masyarakat tersebut. Keadaan sosial masyarakat desa contohnya sudah tentu sangat berbeza dengan masyarakat bandar mahupun masyarakat di penempatan-penempatan terancang seperti Felda.

Kedua. Para pendakwah perlu mengkaji perubahan sosial yang telah berlaku dalam masyarakat tersebut dengan menekankan aspek kronologi penularan sesuatu gejala sosial itu ke dalam masyarakat dan juga kronologi penglibatan individu dalam gejala sosial sebagai kes rujukan atau biasa disebut ‘study case’.

Ketiga. Setelah para pendakwah memahami kedua-dua perkara diatas, proses yang seterusnya dapat dijalankan dengan cara paling berhikmah iaitu proses memperjelaskan perspektif masyarakat kepada perspektif Islami dimana Islam itu adalah satu cara hidup. Proses Islamisasi masyarakat ini perlu dilakukan secara berbeza-beza berdasarkan kelompok sosial masyarakat seperti yang dijelaskan di dalam gambar rajah di atas. Kelompok ‘Sakit Sosial’ lebih sesuai didekati dengan dakwah lapangan secara terus. Para pendakwah perlu turun berjumpa mereka di tempat mereka berkumpul kerana tidak mungkin mereka akan datang berjumpa dengan anda. Disamping itu, proses Islamisasi untuk Kelompok ‘Biasa’ juga perlu diteruskan dengan cara penulisan, kuliah-kuliah dan hebahan media.

Keempat. Proses pembaikan masyarakat perlu dilaksanakan selepas proses Islamisasi berlaku. Ini bermakna, masyarakat setempat perlu diupayadayakan (capacity building) supaya mereka boleh bergerak sendiri untuk meneruskan proses Islamisasi. Masyarakat setempat perlu membina semula nilai-nilai murni masyarakat yang selama ini mungkin telah dilupakan.

Proses yang kelima ini pula merupakan proses akhir yang paling sukar untuk dicapai. Proses yang pertama sehingga ke-empat perlu diperkembangkan ke komuniti – komuniti yang lain sehingga keseluruhan masyarakat memahami Islam dalam erti kata yang sebenar. Setelah itu, proses pembaikan sistem dan hukum mesti dilaksanakan dimana sistem Kapitalis dan Liberal ditukar kepada sistem Islam yang ternyata lebih praktikal.

Kelima – lima proses ini sudah pasti merupakan proses yang sangat panjang dimana kita sendiri mugkin tidak akan sempat menikmati hasilnya tetapi yakinlah dengan usaha yang istiqomah dan pengharapan kepada Allah S.W.T yang tinggi, anak cucu kita akan memperolehi kehidupan yang lebih sempurna. Bagi mereka yang telah berazam menginfakkan diri di jalan dakwah ini, ingatlah bahawa di zaman yang penuh dengan kemaksiatan ini, anda akan diuji dengan cabaran – cabaran yang sangat berat. Kerlipan kilauan harta, keayuan wajah gadis – gadis montok dan tahta nan megah pasti akan menghiasi jalan yang akan anda tempuhi. Firman Allah S.W.T dalam Surah Muhammad ayat 31.

31. Dan Demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang Yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang Yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang Yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.


Namun Allah S.W.T juga telah berjanji, Dia tidak sekali – sekali akan membiarkan pejuang – pejuangNya terumbang ambing tanpa pedoman dan pertolonganNya. Allah S.W.T berfirman lagi dalam surah Al – Hajj ayat 78.

78. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah Dengan jihad Yang sebenar-benarnya Dia lah Yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah Dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. ia menamakan kamu: "Orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di Dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah). oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. maka (Allah Yang demikian sifatnya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan.

Ingatlah bahawa ada satu persamaan dalam kronologi penularan kemungkaran dan kebangkitan kebenaran. Kemungkaran tidak berlaku dalam sekelip mata, ia dimulakan dengan dakyah jahat melalui pelbagai media, didokong oleh kumpulan – kumpulan jahil lagi menyesatkan, pembangunan fizikal yang merosakkan dan penciptaan satu sistem hidup yang meterialistik dan liberal. Semua ini sebenarnya didalangi oleh satu golongan elit yang menjadi perancang utama segala kemungkaran ini. Percayalah, mereka telah memulakan usaha ini sejak beratus tahun dahulu dengan agenda tersembunyi mereka. Lalu, untuk kita menentang kembali dakyah jahat ini, turutan yang sama mesti digunapakai bermula dengan sekecil – kecil dakwah sehingga membentuk satu sistem hidup yang menerima Islam sebagai Ad-Din atau cara hidup.

Sudah tentu kita juga memerlukan golongan – golongan elit (dalam erti kata Ulamak dan pendakwah) seperti yang mereka ada untuk menjadi perancang utama yang menegakkan keadilan. Jelas sekali, walaupun kedua – dua golongan ini berlainan fikrah, mereka mempunyai karisma mereka sendiri sehigga mempunyai pengaruh yang sangat kuat sebagai ‘Trend Setters’ atau ‘Pemula Aliran’ bagi pengikut-pengikut mereka. Golongan inilah yang sangat kita perlukan untuk menjadi pendorong bermulanya proses – proses Islamisasi seperti yang dijelaskan tadi sehingga tertegaknya Islam. Saya akhiri tulisan ini dengan meminjam kata-kata nasihat Luqman Nur Hakim seperti yang direkodkan oleh imam Al- Ghazali dalam salah sebuah kitabnya.

‘ Wahai anakku, sesungguhnya dunia itu lautan yang dalam, telah tenggelam di dalamnya ramai orang. Maka jadikanlah bahteramu takwa kepada Allah, muatannya iman, layarnya tawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan kamu berjaya dan aku tidak nampak kamu telah berjaya ‘…

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Cikgu Izzat berkata...

amir sudah mula menulis...
hehehe...