Jumaat, Julai 17, 2009

Pusat Hiburan Di Pusat Membeli Belah, Sekolah Gejala Sosial

Suatu kajian kes Ringkas di Central Square Sungai Petani

Oleh:
Nurfitri Amir Muhammad
(Ketua Usrah Sosial)
Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)


Gagak, Ular dan ulat di ‘Pasar Hiburan’

Tingkat lima dan empat pusat membeli-belah Central Square, Sungai Petani sudah sinonim dengan kehadiran puluhan pemuda dan pemudi berumur semuda 11 tahun hingga lewat 30-an dengan pelbagai ragam fesyen rambut dan pakaian. Punk, Skin Head, Black Metal, Gothic, Emo, dan yang terbaru budaya Shuffle telah sekian lama berakar-umbi disini dan berlumba-lumba menjangkiti pengunjung-pengunjung baru yang masih mentah yang mencari hiburan untuk jiwa mereka. Kumpulan-kumpulan ini bergerak dengan tersusun didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang tanpa rasa bersalah mengaut keuntungan diatas kerosakan akhlak muda mudi ini. Modus operandi mereka ialah menggunakan muzik dan fesyen sebagai alat.

Tingkat lima Central Square merupakan pusat yang menyediakan tempat hiburan seperti bilik-bilik karaoke, permainan video, snooker dan panggung wayang. Terdapat 30 kotak karaoke yang mirip jamban awam yang tersusun panjang. Sebuah ‘karaoke jamban’ ini boleh memuatkan sehingga 5 orang bersaiz dewasa dalam keadaan bersesak. Sebuah lagu yang hendak dinyanyikan perlu dibayar wang berjumlah RM1 untuk satu lagu. Tertera di hadapan deretan kotak karaoke ini papan tanda bertulis, ‘Pusat Hiburan Sihat Keluarga’. Namun, perkataan terbabit sedikitpun tidak menggambarkan perkara sebenar yang berlaku di pusat karaoke berkenaan. ‘Jamban-jamban’ ini menjadi tempat yang strategik bagi pasangan-pasangan kekasih muslim bermadu kasih dan pemuda-pemudi kita berkhayal tanpa arah tujuan. Lebih parah lagi, pihak pengurusan seolah-olah tidak mengendahkan peraturan apabila membiarkan sahaja kanak-kanak sekolah memasuki premis mereka. Selain pusat karaoke ini, pusat permainan video, pusat snooker dan panggung wayang juga menjadi tempat remaja-remaja ponteng sekolah melepak dan berhibur. Ditingkat lima inilah tempat persidangan pemuda-pemudi bermasalah yang bukan sahaja datang dari sekitar Sungai Petani malahan dari Gurun, Baling, Pendang, Gerik, Seberang Prai dan setiap ceruk Negeri Kedah. Matlamat mereka adalah bertemu dan bertukar-tukar fikiran tentang ‘tora’ (gam), thai song, thai siam, tahi girls, song kala, dadah ice, belen (bohsia), rempit, gaya-gaya barat terbaru, video lucah melayu rakaman telefon-telefon bimbit mereka, dan belajar ilmu baru tentang subculture-subculture yang mereka anuti.


Penyangak Moral

Budaya negatif remaja bermasalah ini akan lebih tertonjol bila penyagak-penyagak moral bergelar ‘event manager’ menganjurkan konsert-konsert sama ada dengan lesen atau tanpa lesen. Melalui tinjauan yang kami lakukan, penyagak-panyagak ini biasanya mengambil jalan mudah dengan membuat rundingan untuk mengadakan konsert di pusat-pusat membeli belah hanya dengan persetujuan suka sama suka antara ‘event manager’ dan pemilik pusat membeli belah terbabit tanpa merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Konsert-konsert ini diadakan di kawasan lapang seluas kira-kira 30 x 30 meter persegi dibelakang kotak-kotak karaoke di Aras 4 dan 5. Pada waktu-waktu biasa yang tidak diadakan konsert, kawasan ini dijadikan oleh remaja-remaja shuffle untuk menari-nari tanpa arah. Sekali lagi ditegaskan bahawa mereka ini adalah pelajar-pelajar sekolah bawah umur dan kebiasaannya ponteng sekolah semata-mata untuk bershuffle.


Muzik dan Fesyen soldadu kemaksiatan

Tingkat empat Center Square pula tidak kurang hebatnya dalam merosakkan moral pemuda-pemudi masa depan Negeri Kedah. Disini tempat berhiburnya lebih exklusif. Pusat karaoke dibina dengan bilik-bilik khas yang boleh menempatkan sehingga 10 orang. Bayarannya berdasarkan jumlah jam yang dihabiskan untuk berhibur. Walaupun dipintu hadapan premis ini tertampal peringatan berkenaan kesalahan seksyen 5 dan seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) Kedah 1988, namun ianya terlalu kecil dan suasana didalam bilik berkenaan tersorok dan gelap seolah-olah menggalakkan perbuatan maksiat.


Tidak cukup dengan muzik, pemuda-pemudi kita juga dimabukkan dengan puluhan kedai baju dan aksesori yang mempromosikan budaya-budaya subculture dan budaya barat. Kedai-kedai ini juga menjadi pusat untuk mempromosikan konsert-konsert haram underground yang disebut ‘gig’. Segala macam fesyen dan aksesori punk, skin head, black metal, shuffle dan pelbagai lagi budaya kuning dijual disini.


Sekolah gejala Sosial dan Latihan Praktikal mereka
[Arak, Narkoba dan Seks]

Perlu dijelaskan bahawa kegiatan tidak bermoral pemuda-pemudi kita tidak hanya berkitar di Central Square (CS) sahaja. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, pusat-pusat hiburan yang dibina didalam pusat membeli belah sebenarnya adalah sebuah ‘sekolah’ dan ‘dewan orang ramai’ untuk para remaja bermasalah ini belajar ilmu-ilmu baru yang merosakkan dan berkenalan dengan remaja-remaja lain seangkatan dengan mereka. Selepas belajar, bertukar-tukar fikiran dan bersosial di Central Square, mereka akan ke ‘port’ (tempat lepak) masing-masing biasanya diapartment terbengkalai dibelakang Centre Square, ditepi jambatan keretapi, dibangunan PKNK distesyen bas, di hujung bangunan Wisma Bandaran dan di lorong-lorong belakang kedai untuk melakukan aktiviti lanjutan mereka. Tidak lain, aktiviti kebiasaan mereka adalah seks bebas dan khayal dengan gam dan samsu ‘thai song, thai girls, thai siam, song kala’.

Samsu adalah arak yang dihasilkan secara haram kerana kandungan alkoholnya yang sehingga 40 – 70 peratus adalah tidak dibenarkan, kilang penghasilannya masih tidak dapat dikenalpasti. Arak ini juga dijenamakan dengan pelbagai jenama lain seperti ‘Thai Siam’, ‘Song Kala’, ‘Thai Song’, ‘Thai Girls’, ‘Cap Lelaki Botak’ dan ‘Cap Buluh’. Arak ini tidak dijual secara terbuka tetapi dijual secara haram oleh individu-individu di rumah-rumah persendirian dan dikedai-kedai mereka yang kebanyakan boleh didapati disekitar pasar hiburan sebegini termasuk di sekitar Central Square (CS).

Gejala seks bebas bermula antara lain dengan kegiatan pornografi yang berteberan merata-rata melalui VCD murahan, internet dan video-phone. Ini telah menjadi satu alat bantu mengajar (ABM) yang berbahaya dan menyemarakkan budaya seks bebas. Central Square (CS) dan pasar hiburan sebegini menyediakan semua prasarana yang diperlukan samada DVD/VCD, cyber cafĂ© dan wifi, tempat-tempat pertemuan teman-teman untuk download, bluetooth dan MMS, serta bertemu teman-teman belen (bohsia)dan ‘pendrive’ serta tidak kurang juga ruang-ruang gelap seks cepat. Kawasan-kawasan gelap CS termasuk di tangga kecemasan bomba telah digunakan untuk aktiviti seks oleh remaja dan belia dimana tompok-tompok air mani dan kondom sering dijumpai ketika pemantau UNGGAS dibuat.

Dadah dan Gam juga menjadi fenomena yang memenuhi sekitaran pasar hiburan termasuk juga CS. Gam boleh diperolehi dengan mudah dipelbagai kedai terutamanya kedai 24jam seperti 7 eleven. Beberapa port dan usrah Gam telah dikenalpasti disekitar CS. Syabu dan Ice yang menjadi ikutan baru remaja dan belia boleh diperolehi dengan mudah hanya dengan satu panggilan telefon kepada tokan. Tokan biasanya hanya akan melayan panggilan tempahan dari ‘regular customer’ yang biasanya menjadikan Pasar Hiburan seperti CS sebagai tempat perkenalan awal.


Menangani kesan bala Sekolah Gejala Sosial

Titik tolak segala aktiviti ini dibandar Sungai Petani adalah daya penarik yang utama iaitu Central Square, satu dari banyak sekolah gejala sosial yang bertanggungjawab merosakkan nilai moral masyarakat. Situasi ini tidak hanya berlaku di Central Square, tetapi di pusat-pusat membeli belah yang lain seperti Village Mall juga di Sungai Petani, Central Point di Alor Star malahan di The Summit di Bukit Mertajam dan Megamall di Seberang Perai.

Maka, sudah tiba masanya pihak kerajaan menilai semula polisi yang digunakan terhadap pusat-pusat membeli-belah sebelum generasi pemuda hari ini memusnahkan nilai moral masyarakat pada masa hadapan. Apalah gunanya keuntungan berjuta ringgit daripada operasi pusat-pusat hiburan yang dibenarkan dibuka dipusat-pusat membeli belah ini yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk keluarga membeli barangan keperluan tanpa risau akan pengaruh negatif yang sentiasa mencari peluang meracuni pemikiran anak-anak kita.

Konsep baru pusat-pusat membeli belah yang sihat untuk pengguna perlu dilaksanakan. Tempat untuk keluarga membeli barangan dapur, pakaian keluarga, buku dan barang-barang keperluan lain perlu dipisahkan dengan pusat-pusat hiburan. Pusat-pusat hiburan sepatutnya dibuka dikawasan khas yang memudahkan pemantauan dibuat oleh pihak berkuasa.

Konsep gedung membeli belah yang selamat dan sihat mungkin boleh digunapakai. Gedung membeli belah seperti ini, tidak mencampurkan aktiviti membeli barangan keperluan dengan aktiviti hiburan. Namun, jika gedung membeli belah besar yang berkonsep seperti ini dibuka, keadilan terhadap peniaga-peniaga kecil juga perlu diambil kira oleh Kerajaan.

Beberapa cadangan awal;

1. Memperkenalkan konsep pasaraya sejahtera atau pasaraya sihat di mana selain konsep halal dan sihat ditekankan namun konsep promosi budaya sihat harus menjadi keutamaan dalam pelepasan lesen oleh Pihak Berkuasa Tempatan terutama di tingkat atas pasaraya. Kawalan harus diperketatkan kepada :

i. Pusat Permainan / Game Multimedia
ii. Pusat Karaoke
iii. Pusat pakaian sub kultur [Black Metal, Gothic, Punk dan lain-lain]
iv. Pusat Snooker
v. Panggung Wayang

Alternatif boleh disediakan dengan menyediakan pusat kegiatan riadah alternatif seperti ;
i. Kedai buku mesra pembaca
ii. Gimnasium
iii. Pusat Bowling keluarga dll


2. Mengawal dan mengadakan penguatkuasaan lebih kuat disekitar pasaraya hiburan sebegini terutama untuk remaja dan belia yang berisiko seks dan dadah dan tempat penjualan arak, gam dan dadah.

ROADSHOW UMMAT ISLAM ANTARABANGSA: Konflik Selatan Thai

Assalamualaikum wbt,

Ke hadapan Tuan/ Puan, Saudara / i, Sahabat Sekalian,

Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) bersama Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API) berhasrat untuk mengadakan program diskusi saudara islam antarabangsa berkenaan dengan isu - "Konflik Selatan Thai" di tempat tuan.

Untuk makluman, program ini akan di sertai 6 orang Aktivis Pemuda Selatan Thai yang akan memberikan pengisian berhubung isu ini bagi melihat konflik ummat islam di selatan thai ini dari kaca mata yang lebih telus dalam kita mencari jalan penyelesaian bagi membantu saudara seislam di sana.

Bagi perlaksanaan program ini di tempat tuan, pihak tuan boleh memberikan cadangan kepada kami tarikh dan masa yang sesuai.

Mudah - mudahan dengan perlaksanaan diskusi ini akan meningkatkan kesedaran dan kesediaan kita dalam memahami isu , bertindak mencari penyelesaian dan membina solidariti ummat islam sedunia . Insyaallah..

Untuk maklumbalas dan pertanyaan lanjut , sila hubungi :

Saudara Nurfitri Amir : 013 - 706 9509
Saudara Shamsul : 019 - 440 3060
Saudari Wan Azilina : 012 - 560 7547

Kerjasama semua amat di harapkan dan di akhiri dengan ucapan terima kasih .

Wassalamualaikum wbt,

Wan Azilina Binti Wan Ahmad
Koordinator Aktivis Pemuda Selatan Thai
Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)

Konflik Selatan Thai

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai pada bulan Ramadhan tahun 2004 telah banyak mengubah persepsi masyarakat Malaysia terhadap Selatan Thai. 85 orang telah terbunuh pada hari berkenaan akibat sesak nafas kerana ditindan beramai-ramai di dalam trak askar. Berita tentang Selatan Thai dikaca tv menyedarkan orang ramai bahawa majoriti masyarakat disini beragama Islam. Berita-berita di tv menggambarkan bahawa telah terjadi satu penentangan oleh pihak yang dinamakan sebagai puak pemisah. Namun, berita yang tidak konsisten dari pihak media menyebabkan masyarakat masih tidak memahami apakah yang sebenarnya berlaku di Selatan Thai. Kisah penindasan dan peminggiran penduduk asal di sini iaitu masyarakat Melayu Muslim dari segi hak ekonomi, hak mengamalkan budaya dan bahasa Melayu, hak pendidikan, hak perundangan menurut Syariah dan hak perjawatan dalam kerajaan tidak banyak di ketahui umum. Inilah di antara sebab - sebab berlakunya pemberontakan di wilayah ini .




Selain Tak Bai, peristiwa pengeboman di dalam Masjid Krisik dan beberapa lagi siri pembunuhan beramai-ramai ala operasi ketenteraan konvensional yang jelas bertentangan dengan hak-hak kemanusiaan untuk menewaskan kumpulan pemisah ini telah merosakkan imej tentera di Selatan Thai di kalangan masyarakat dunia. Akibat tekanan daripada negara-negara jiran dan negara-negara lain, strategi yang digunakan oleh pihak keselamatan untuk menangani permasalahan ini telah berubah, tetapi bukan dengan cara yang lebih baik. Aduan tentang penculikan, penderaan dan pembunuhan yang diterima oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia semakin meningkat. Ternyata, stategi ini berjaya menutup kekejaman pihak tentera daripada diketahui oleh pihak luar. Lebih-lebih lagi, perintah darurat yang dilaksanakan di Selatan Thai tidak membenarkan warganegara asing masuk ke kawasan krisis yang digelar ‘Red Zone’. Di Malaysia, berita tentang kezaliman yang berlaku di Selatan Thai jarang – jarang di dengar sekaligus menggambarkan keadaan di sana seolah—olah semakin aman. Apa yang berlaku sebenarnya, pembunuhan masih berlaku hampir setiap minggu di sini, ia dilakukan dengan penuh terancang dan mengelirukan.




Kes yang terbaru iaitu pembunuhan kejam 11 orang jemaah yang sedang solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Narathiwat pada 1 Jun 2009 telah menggemparkan masyarakat dunia. Negara-negara asing kelam-kabut memperkatakan tentang jalan penyelesaian krisis yang sudah berdekad umurnya ini. Seperti selalu, belum pun penyelesaian terbaik diputuskan, berita-berita dari Selatan Thai ini akan semakin lama semakin senyap ditelan waktu. Kes yang terbaru ini adalah rentetan daripada ratusan kisah tragis pembunuhan yang berlaku hampir setiap minggu disini persis apa yang berlaku di Palestin. Kajian kes tentang pembunuhan, penculikan dan penderaan yang dilakukan oleh pihak yang ’tidak ketahui’ telah dapat di kenalpasti . Namun, majoriti penduduk percaya perbuatan ini bukan di lakukan oleh ”kumpulan pengganas” atau ”kumpulan pemisah” seperti yang di war—warkan di dalam media. Tetapi mereka di zalimi dan di tindas oleh pihak yang tidak mahu agama islam dan bangsa melayu terus bertapak di bumi Patani (Selatan Thai).



Catatan Sebenar Kajian Kes Penculikan, Penderaan dan Pembunuhan


Umat Islam Di Pattani (Selatan Thai)


Kes Pertama


Tempat : Mak Mawi, Yarang, Patani.

Responden : Ibu mangsa.

Tarikh Kejadian : 16 Januari 2009


Abdul Aziz Ahmad (29) merupakan seorang yang kurang upaya. Jari tangannya tidak ada sejak beliau kecil lagi. Namun, beliau juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa bunuh membuta tuli pihak tentera. Pada hari itu, sebuah tadika yang terletak dibelakang Masjid Darul Takwa sedang mengadakan acara sukan tahunan yang diadakan secara bergilir-gilir dengan tadika-tadika yang lain. Tadika berkenaan penuh dengan orang ramai termasuk pelajar-pelajar, ibubapa, dan guru-guru. Pada hari itu juga, tanpa alasan yang jelas pihak tentera telah mengepung seluruh kawasan masjid dan juga tadika. Guru-guru sekolah tadika dan sekolah pondok sering menjadi sasaran pihak tentera kerana dituduh sebagai mempengaruhi masyarakat untuk membenci kerajaan dan menganggotai kumpulan pengganas. Pihak tentera telah menyerbu kawasan tadika dan masjid menyebabkan orang ramai yang panik lari bertempiaran menyelamatkan diri. Secara tidak sengaja, Abd Aziz yang juga sedang panik pada ketika itu lari kearah belakang masjid. Sekumpulan tentera yang telah berada dibelakang masjid tersebut berjaya menangkap Abd Aziz. Satu das tembakan kedengaran dari belakang masjid. Abdul Aziz maut ditembak tentera.


Orang ramai yang mengetahui perkara ini menjadi sangat marah kerana pihak tentera telah menembak mati orang awam secara membuta tuli. Abd Aziz dikatakan telah ditembak pada jarak 5 meter. Laporan daripada pihak polis pula mengatakan berlaku tembak menembak menyebabkan Abd Aziz terpaksa ditembak mati. Namun, semua orang tahu bahawa Abd Aziz yang kudung tangannya tidak mampu untuk memegang senjata. Hendak makan pun, sukar bagi Abd Aziz. Satu tunjuk perasaan telah dilakukan oleh orang kampung dan kanak-kanak tadika untuk menuntut pembelaan. Namun, rayuan dan tangisan mereka tidak pernah dipedulikan oleh pihak kerajaan.



Kes Kedua


Tempat : Kg. Keranji, Tebing Telubang, Saiburi, Pattani.

Responden : Abang mangsa (namanya tidak diberitahu).

Tarikh Kejadian : Mac 2008


Tidak banyak maklumat yang kami perolehi daripada waris keluarga ini. Apa yang diketahui, seorang ahli keluarga mangsa yang berusia 18 tahun dan saudaranya 32 tahun telah mati ditembak oleh pihak yang tidak dikenali di dalam sebuah pondok yang dibina di belakang rumah. Tiada sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut. Keluarga mangsa hanya menyedari kejadian ini apabila dua mayat lelaki terbabit ditemui. Satu-satunya bahan yang boleh menjadi petunjuk kejadian adalah sebuah topi tentera yang ditemui di tepi pondok. Kebanyakkan penduduk di Selatan Thai ini masih lagi berpegang kepada pendapat yang mengatakan bahawa haram untuk melakukan bedah siasat terhadap mayat. Ini kerana, mereka percaya bahawa mayat itu akan rasa tersiksa. Siasatan lanjut tidak dapat dilakukan untuk kebanyakkan kes-kes pembunuhan misteri seperti ini kerana pihak keluarga biasanya tidak membenarkan bedah siasat dilakukan. Oleh itu, kumpulan-kumpulan peguam muslim dan hak asasi manusia yang membela nasib penduduk Selatan Thai di Muslim Attorney Centre sukar untuk mengambil tindakan mahkamah. Pihak tentera seolah-olah mangambil kesempatan diatas perkara ini dengan melakukan banyak penculikan dan pembunuhan secara senyap terhadap mereka yang disyaki pengganas. Ini diburukkan lagi dengan perintah darurat yang dikenakan di wilayah selatan dan penguatkuasaan tiga undang-undang yang diluluskan khas untuk memerangi ‘pengganas’ iaitu Emergency Law, Marshal Law, dan Security Law membenarkan sesiapa sahaja yang disyaki ditahan tanpa bicara selama tujuh hari sehingga bertahun-tahun lamanya.


Dalam kes ini, tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa kerana laporan tidak dibuat walaupun pihak berkuasa sepatutnya bertanggungjawab menyiasat perkara ini sama ada laporan dibuat atau pun tidak.



Kajian kes di atas merupakan sebilangan kisah – kisah benar yang menjadi mimpi ngeri penduduk Islam di Thailand. Masih banyak lagi kes – kes lain yang tidak direkodkan dan di dedahkan untuk pengetahuan umum. Kekejaman dan penindasan yang berlaku ini berlanjutan dari generasi ke satu generasi. Tiada usaha konkrit pihak berwajib dalam melindungi dan membantu masyarakat melayu islam di Selatan Thai walaupun berbeza bangsa dan ideologi agama. Nilai nyawa dan kemanusiaan tidak lagi menjadi agenda utama dalam menerapkan keharmoniaan kehidupan rakyat . Apalah ertinya sebuah kerajaan yang tidak mampu untuk membela nasib rakyat di dalam negara sendiri walaupun berbeza bahasa, budaya , agama dan bangsa.



Kisah pergolakan dan keganasan yang berlaku di Selatan Thai telah bermula sejak 250 tahun yang lalu apabila kerajaan Siam pada masa dahulu memulakan kempen penjajahan ke kawasan Tanah Melayu. Pada masa silam, bermula daripada Segenting Kra sehinggalah ke hujung Negeri Johor adalah negeri-negeri berdaulat yang mempunyai kesultanan yang tersendiri. Satu persatu daripada negeri-negeri ini telah dijajah oleh tentera Siam. Dicatatkan dalam sejarah, Kerajaan Pattani satu ketika dulu merupakan sebuah negeri yang meliputi Wilayah Patani, Wilayah Yala dan Narathiwat. Namun kini , kerajaan Siam telah memecahkan wilayah ini kepada tiga negeri berlainan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat untuk melemahkan dan melenyapkan sejarah asal Pattani yang berdaulat.



Masyarakat Patani sehingga kini mempunyai semangat dan jati diri yang tidak pernah luntur dalam mempertahankan akidah islam dengan identiti diri berbangsa melayu dalam kehidupan seharian . Dasar asimilasi kerajaan Siamlah yang menjadi masalah utama dalam mewujudkan pertelingkahan masyarakat sehingga kini. Ini kerana dasar tersebut seolah – olah mahu mewujudkan hanya satu bangsa Siam dan agama Buddha sahaja yang di terima di Thailand selari dengan dasar mereka bahawa Negara Thailand adalah untuk rakyat Thailand. Hatta dalam berbahasa sekalipun.



Sistem pendidikan di Selatan Thai tidak membenarkan masyarakat Melayu Patani berbahasa Melayu.Namun ia masih digunakan secara meluas dikalangan masyarakat di daerah Pattani walaupun mereka telah dipaksa mempelajari Bahasa Thai sejak berumur 5 tahun lagi disekolah-sekolah kerajaan. Bahasa Melayu masih ditulis dengan tulisan Jawi oleh majoriti masyarakat. Bahasa Melayu tidak pernah diajar secara rasmi di sekolah melainkan di sekolah-sekolah persendirian atau sekolah pondok dan tadika Islam.



Rentetan daripada krisis ini kami sangat berharap kerajaan Malaysia dan umat islam keseluruhannya dapat memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu saudara seislam kita yang di tindas demi mempertahankan akidah islam. Konflik di Selatan Thai ini tidak boleh di pandang remeh kerana sejarah telah membuktikan bahawa tanah Patani suatu ketika dahulu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Inilah kesan daripada penjajahan yang telah banyak mengubah sistem kehidupan sosio-masyarakat dan kesannya dapat di lihat sehingga kin



Untuk Sumbangan Dana Bantuan Saudara Islam Selatan Thai sila salurkan atas nama Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) , No. Akaun Bank Islam : 7043011013136



Untuk pertanyaan lanjut berhubung isu ini serta jemputan ceramah sila hubungi :


Sekretariat Konflik Selatan Thai

D/A: Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang,

Serambi Dakwah, Taman Inderawasih, Perai, Pulau Pinang.

No. Tel / No. Faks : 04—04 - 3980527