Jumaat, Julai 17, 2009

Konflik Selatan Thai

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai pada bulan Ramadhan tahun 2004 telah banyak mengubah persepsi masyarakat Malaysia terhadap Selatan Thai. 85 orang telah terbunuh pada hari berkenaan akibat sesak nafas kerana ditindan beramai-ramai di dalam trak askar. Berita tentang Selatan Thai dikaca tv menyedarkan orang ramai bahawa majoriti masyarakat disini beragama Islam. Berita-berita di tv menggambarkan bahawa telah terjadi satu penentangan oleh pihak yang dinamakan sebagai puak pemisah. Namun, berita yang tidak konsisten dari pihak media menyebabkan masyarakat masih tidak memahami apakah yang sebenarnya berlaku di Selatan Thai. Kisah penindasan dan peminggiran penduduk asal di sini iaitu masyarakat Melayu Muslim dari segi hak ekonomi, hak mengamalkan budaya dan bahasa Melayu, hak pendidikan, hak perundangan menurut Syariah dan hak perjawatan dalam kerajaan tidak banyak di ketahui umum. Inilah di antara sebab - sebab berlakunya pemberontakan di wilayah ini .




Selain Tak Bai, peristiwa pengeboman di dalam Masjid Krisik dan beberapa lagi siri pembunuhan beramai-ramai ala operasi ketenteraan konvensional yang jelas bertentangan dengan hak-hak kemanusiaan untuk menewaskan kumpulan pemisah ini telah merosakkan imej tentera di Selatan Thai di kalangan masyarakat dunia. Akibat tekanan daripada negara-negara jiran dan negara-negara lain, strategi yang digunakan oleh pihak keselamatan untuk menangani permasalahan ini telah berubah, tetapi bukan dengan cara yang lebih baik. Aduan tentang penculikan, penderaan dan pembunuhan yang diterima oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia semakin meningkat. Ternyata, stategi ini berjaya menutup kekejaman pihak tentera daripada diketahui oleh pihak luar. Lebih-lebih lagi, perintah darurat yang dilaksanakan di Selatan Thai tidak membenarkan warganegara asing masuk ke kawasan krisis yang digelar ‘Red Zone’. Di Malaysia, berita tentang kezaliman yang berlaku di Selatan Thai jarang – jarang di dengar sekaligus menggambarkan keadaan di sana seolah—olah semakin aman. Apa yang berlaku sebenarnya, pembunuhan masih berlaku hampir setiap minggu di sini, ia dilakukan dengan penuh terancang dan mengelirukan.




Kes yang terbaru iaitu pembunuhan kejam 11 orang jemaah yang sedang solat Isyak di Masjid Al-Furqan, Narathiwat pada 1 Jun 2009 telah menggemparkan masyarakat dunia. Negara-negara asing kelam-kabut memperkatakan tentang jalan penyelesaian krisis yang sudah berdekad umurnya ini. Seperti selalu, belum pun penyelesaian terbaik diputuskan, berita-berita dari Selatan Thai ini akan semakin lama semakin senyap ditelan waktu. Kes yang terbaru ini adalah rentetan daripada ratusan kisah tragis pembunuhan yang berlaku hampir setiap minggu disini persis apa yang berlaku di Palestin. Kajian kes tentang pembunuhan, penculikan dan penderaan yang dilakukan oleh pihak yang ’tidak ketahui’ telah dapat di kenalpasti . Namun, majoriti penduduk percaya perbuatan ini bukan di lakukan oleh ”kumpulan pengganas” atau ”kumpulan pemisah” seperti yang di war—warkan di dalam media. Tetapi mereka di zalimi dan di tindas oleh pihak yang tidak mahu agama islam dan bangsa melayu terus bertapak di bumi Patani (Selatan Thai).



Catatan Sebenar Kajian Kes Penculikan, Penderaan dan Pembunuhan


Umat Islam Di Pattani (Selatan Thai)


Kes Pertama


Tempat : Mak Mawi, Yarang, Patani.

Responden : Ibu mangsa.

Tarikh Kejadian : 16 Januari 2009


Abdul Aziz Ahmad (29) merupakan seorang yang kurang upaya. Jari tangannya tidak ada sejak beliau kecil lagi. Namun, beliau juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa bunuh membuta tuli pihak tentera. Pada hari itu, sebuah tadika yang terletak dibelakang Masjid Darul Takwa sedang mengadakan acara sukan tahunan yang diadakan secara bergilir-gilir dengan tadika-tadika yang lain. Tadika berkenaan penuh dengan orang ramai termasuk pelajar-pelajar, ibubapa, dan guru-guru. Pada hari itu juga, tanpa alasan yang jelas pihak tentera telah mengepung seluruh kawasan masjid dan juga tadika. Guru-guru sekolah tadika dan sekolah pondok sering menjadi sasaran pihak tentera kerana dituduh sebagai mempengaruhi masyarakat untuk membenci kerajaan dan menganggotai kumpulan pengganas. Pihak tentera telah menyerbu kawasan tadika dan masjid menyebabkan orang ramai yang panik lari bertempiaran menyelamatkan diri. Secara tidak sengaja, Abd Aziz yang juga sedang panik pada ketika itu lari kearah belakang masjid. Sekumpulan tentera yang telah berada dibelakang masjid tersebut berjaya menangkap Abd Aziz. Satu das tembakan kedengaran dari belakang masjid. Abdul Aziz maut ditembak tentera.


Orang ramai yang mengetahui perkara ini menjadi sangat marah kerana pihak tentera telah menembak mati orang awam secara membuta tuli. Abd Aziz dikatakan telah ditembak pada jarak 5 meter. Laporan daripada pihak polis pula mengatakan berlaku tembak menembak menyebabkan Abd Aziz terpaksa ditembak mati. Namun, semua orang tahu bahawa Abd Aziz yang kudung tangannya tidak mampu untuk memegang senjata. Hendak makan pun, sukar bagi Abd Aziz. Satu tunjuk perasaan telah dilakukan oleh orang kampung dan kanak-kanak tadika untuk menuntut pembelaan. Namun, rayuan dan tangisan mereka tidak pernah dipedulikan oleh pihak kerajaan.



Kes Kedua


Tempat : Kg. Keranji, Tebing Telubang, Saiburi, Pattani.

Responden : Abang mangsa (namanya tidak diberitahu).

Tarikh Kejadian : Mac 2008


Tidak banyak maklumat yang kami perolehi daripada waris keluarga ini. Apa yang diketahui, seorang ahli keluarga mangsa yang berusia 18 tahun dan saudaranya 32 tahun telah mati ditembak oleh pihak yang tidak dikenali di dalam sebuah pondok yang dibina di belakang rumah. Tiada sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut. Keluarga mangsa hanya menyedari kejadian ini apabila dua mayat lelaki terbabit ditemui. Satu-satunya bahan yang boleh menjadi petunjuk kejadian adalah sebuah topi tentera yang ditemui di tepi pondok. Kebanyakkan penduduk di Selatan Thai ini masih lagi berpegang kepada pendapat yang mengatakan bahawa haram untuk melakukan bedah siasat terhadap mayat. Ini kerana, mereka percaya bahawa mayat itu akan rasa tersiksa. Siasatan lanjut tidak dapat dilakukan untuk kebanyakkan kes-kes pembunuhan misteri seperti ini kerana pihak keluarga biasanya tidak membenarkan bedah siasat dilakukan. Oleh itu, kumpulan-kumpulan peguam muslim dan hak asasi manusia yang membela nasib penduduk Selatan Thai di Muslim Attorney Centre sukar untuk mengambil tindakan mahkamah. Pihak tentera seolah-olah mangambil kesempatan diatas perkara ini dengan melakukan banyak penculikan dan pembunuhan secara senyap terhadap mereka yang disyaki pengganas. Ini diburukkan lagi dengan perintah darurat yang dikenakan di wilayah selatan dan penguatkuasaan tiga undang-undang yang diluluskan khas untuk memerangi ‘pengganas’ iaitu Emergency Law, Marshal Law, dan Security Law membenarkan sesiapa sahaja yang disyaki ditahan tanpa bicara selama tujuh hari sehingga bertahun-tahun lamanya.


Dalam kes ini, tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa kerana laporan tidak dibuat walaupun pihak berkuasa sepatutnya bertanggungjawab menyiasat perkara ini sama ada laporan dibuat atau pun tidak.



Kajian kes di atas merupakan sebilangan kisah – kisah benar yang menjadi mimpi ngeri penduduk Islam di Thailand. Masih banyak lagi kes – kes lain yang tidak direkodkan dan di dedahkan untuk pengetahuan umum. Kekejaman dan penindasan yang berlaku ini berlanjutan dari generasi ke satu generasi. Tiada usaha konkrit pihak berwajib dalam melindungi dan membantu masyarakat melayu islam di Selatan Thai walaupun berbeza bangsa dan ideologi agama. Nilai nyawa dan kemanusiaan tidak lagi menjadi agenda utama dalam menerapkan keharmoniaan kehidupan rakyat . Apalah ertinya sebuah kerajaan yang tidak mampu untuk membela nasib rakyat di dalam negara sendiri walaupun berbeza bahasa, budaya , agama dan bangsa.



Kisah pergolakan dan keganasan yang berlaku di Selatan Thai telah bermula sejak 250 tahun yang lalu apabila kerajaan Siam pada masa dahulu memulakan kempen penjajahan ke kawasan Tanah Melayu. Pada masa silam, bermula daripada Segenting Kra sehinggalah ke hujung Negeri Johor adalah negeri-negeri berdaulat yang mempunyai kesultanan yang tersendiri. Satu persatu daripada negeri-negeri ini telah dijajah oleh tentera Siam. Dicatatkan dalam sejarah, Kerajaan Pattani satu ketika dulu merupakan sebuah negeri yang meliputi Wilayah Patani, Wilayah Yala dan Narathiwat. Namun kini , kerajaan Siam telah memecahkan wilayah ini kepada tiga negeri berlainan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat untuk melemahkan dan melenyapkan sejarah asal Pattani yang berdaulat.



Masyarakat Patani sehingga kini mempunyai semangat dan jati diri yang tidak pernah luntur dalam mempertahankan akidah islam dengan identiti diri berbangsa melayu dalam kehidupan seharian . Dasar asimilasi kerajaan Siamlah yang menjadi masalah utama dalam mewujudkan pertelingkahan masyarakat sehingga kini. Ini kerana dasar tersebut seolah – olah mahu mewujudkan hanya satu bangsa Siam dan agama Buddha sahaja yang di terima di Thailand selari dengan dasar mereka bahawa Negara Thailand adalah untuk rakyat Thailand. Hatta dalam berbahasa sekalipun.



Sistem pendidikan di Selatan Thai tidak membenarkan masyarakat Melayu Patani berbahasa Melayu.Namun ia masih digunakan secara meluas dikalangan masyarakat di daerah Pattani walaupun mereka telah dipaksa mempelajari Bahasa Thai sejak berumur 5 tahun lagi disekolah-sekolah kerajaan. Bahasa Melayu masih ditulis dengan tulisan Jawi oleh majoriti masyarakat. Bahasa Melayu tidak pernah diajar secara rasmi di sekolah melainkan di sekolah-sekolah persendirian atau sekolah pondok dan tadika Islam.



Rentetan daripada krisis ini kami sangat berharap kerajaan Malaysia dan umat islam keseluruhannya dapat memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu saudara seislam kita yang di tindas demi mempertahankan akidah islam. Konflik di Selatan Thai ini tidak boleh di pandang remeh kerana sejarah telah membuktikan bahawa tanah Patani suatu ketika dahulu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Inilah kesan daripada penjajahan yang telah banyak mengubah sistem kehidupan sosio-masyarakat dan kesannya dapat di lihat sehingga kin



Untuk Sumbangan Dana Bantuan Saudara Islam Selatan Thai sila salurkan atas nama Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) , No. Akaun Bank Islam : 7043011013136



Untuk pertanyaan lanjut berhubung isu ini serta jemputan ceramah sila hubungi :


Sekretariat Konflik Selatan Thai

D/A: Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang,

Serambi Dakwah, Taman Inderawasih, Perai, Pulau Pinang.

No. Tel / No. Faks : 04—04 - 3980527

Tiada ulasan: