KES rogol membabitkan gadis berusia bawah 18 tahun meningkat 316 kes pada tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 3,414 di seluruh negara. Statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga menunjukkan jumlah berkenaan adalah yang tertinggi berbanding 2006 dan 2007 yang masing-masing mencatatkan jumlah 2,431 dan 3,098.
Sepanjang tiga tahun itu, gadis berusia 13 hingga 15 tahun menjadi mangsa paling ramai dengan jumlah 4,136 kes. Ini diikuti gadis berusia 18 tahun ke atas dengan jumlah 2,493 kes dan gadis berusia 16 hingga 18 tahun dengan jumlah seramai 1,632 kes.
Jumlah yang meningkat ini menimbulkan curiga sama ada ia adalah kes tulen atau secara rela akibat pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan hari ini.
Pegawai Siasatan Jenayah Seksual Bukit Aman, Deputi Superintendan Zaiton Che Lah, berkata daripada jumlah kes berkenaan hanya 10 peratus adalah kes rogol tulen yang kebanyakannya membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan selebihnya berlaku secara suka sama suka iaitu yang dikategorikan sebagai rogol statutory.
“Memang tidak dinafikan ada kes rogol tulen di kalangan gadis bawah umur seperti dipaksa melakukannya ketika duduk bersama pasangan di tempat sunyi atau diberikan pil khayal sehingga tidak sedar diperkosa. Paling menyedihkan, ada yang baru jumpa, tetapi sanggup ikut naik motor atau kereta ke hotel atau rumah bujang. Apabila disiasat, ketika kejadian mangsa seolah-olah tiada usaha untuk menolak atau
Kebanyakan kes dilaporkan oleh ibu bapa yang bimbang apabila anak tidak pulang ke rumah selama beberapa hari dan mengesyaki berlaku kejadian tidak diingini. Terdapat juga remaja yang melaporkan sendiri kejadian berkenaan di balai polis terutama yang sudah hamil dan segelintir lagi membabitkan kes berulang.
“Katanya gadis juga mudah jatuh ke dalam perangkap dan menjadi mangsa apabila mengikut teman lelaki ke rumah bujang. Awalnya gadis ini rela mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya itu, tetapi sebaliknya menjadi mangsa rogol berkumpulan oleh rakan serumah teman lelakinya itu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, tidak wujud istilah rela atau suka sama suka apabila hubungan seks membabitkan gadis bawah usia 18 tahun. Lelaki tidak kira bawah umur atau dewasa yang mengadakan hubungan seks dengan remaja bawah umur boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan dikenakan sebatan. Undang-undang baru pula membolehkan pesalah dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
Pesalah berusia 18 tahun ke bawah boleh dituduh di mahkamah kerana merogol dan dihantar ke pusat pemulihan seperti Henry Gurney, manakala gadis yang sukar dikawal pula boleh dihantar ke pusat pemulihan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau badan bukan kerajaan lain atas arahan mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan