Selasa, Ogos 11, 2009

FORUM selar kenyataan Jeff Ooi berkenaan Syariah

KENYATAAN RASMI FORUM 5 OGOS 2009

FORUM selar kenyataan Jeff Ooi berkenaan Syariah

NGO Islam di bawah Forum Penyelarasan Umat (FORUM) dan beberapa NGO lain di Pulau Pinang menyelar kenyataan YB Jeff Ooi; Ahli Parlimen Jelutong dan Ketua Staff, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan kenyataan beliau yang mengaitkan Syariah Islam dengan ekstrimisme. [STAR: 2 Ogos 2009: N12]. Kenyataan ini dikeluarkan berhubung pertelingkahan beliau dengan Hj Mohd Razali, ahli majlis, MPPP yang jua ahli kepada Jamaah Islah Malaysia (JIM). FORUM merasa kesal dengan sikap sebegini oleh seorang ahli parlimen dan ketua staff, Pejabat Ketua Menteri atas pandangan yang negatif dan berbaur jahat terhadap syariah Islam dengan mengaitkannya dengan ekstrimisma. Pandangan sebegini adalah bertentangan dengan slogan-slogan “mengikuti pemerintahan Saidina Umar Abd Aziz” dan “Amal Ma’aruf, Nahi Mungkar” yang dilaungkan oleh Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. FORUM juga ingin mengingatkan bahawa kejayaan pemerintahan Saidina Umar Abd Aziz adalah disebabkan beliau mengambil Syariah sebagai dasar pemerintahan beliau dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Amar Ma’aruf iaitu menggalakkan perbuatan yang baik, Nahi Mungkar iaitu mencegah perbuatan jahat adalah prinsip-prinsip Syariah. FORUM merasa kesal apabila beliau sebagai seorang ahli Parlimen di sebuah Negara yang menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana termaktub dalam perlembagaan jahil tentang pemahaman asas Islam dan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan berbaur jahat. FORUM menggesa Jeff Ooi menarik balik kenyataan dan cuba memahami Islam dalam maksudnya yang sebenar dan tidak terikut-ikut dengan propaganda kumpulan-kumpulan khususnya dari Negara Barat yang anti Islam yang cenderung mengaitkan Islam dengan ekstremisma dan terorisma. FORUM berpandangan bahawa kenyataan Jeff Ooi telah menimbul kemarahan umat Islam khususnya di Pulau Pinang, menghasut kepada perpecahan dan menimbulkan salah faham terhadap Islam. FORUM dengan ini menggesa beliau meletak jawatan atau Ketua Menteri Pulau Pinang memecat beliau sebagai Ketua Staff, Pejabat Ketua Menteri di atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.

Tiada ulasan: