Jumaat, November 30, 2007

TAMRIN API KALI KE 2
Tarikh : 30 Nov - 2 Disember 2007
Tempat : Masjid Al-Mukhsinin, Taman Danau Desa, Kuala Lumpur
Anjuran : Angkatan Pemuda-Pemudi Islam (API) dengan kerjasama
Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
Selamat Bertamrin

Rabu, Oktober 24, 2007

KARYA KANG ABIK, KARYA PEMBANGUN JIWA & PENEGUH IMAN

Hatiku sangat gundah gulana di atas masalah yang aku hadapi. Masalah yang hanya aku dan adik angkatku sahaja yang tahu. Adik angkat aku tahu kerana aku menceritakan masalahku padanya. Ini kerana aku perlukan seseorang untuk aku luahkan isi hatiku (Tapi adikku jauh nun di tenggara Semenanjung, namun dia sering menghubungi ku melalui SMS atau panggilan telefon. Dia seorang adik yang baik, yang banyak memberikan aku nasihat dan tauladan). Masalah ini amat menyesak jiwa nuraniku. Kadang-kadang aku tertanya pada diriku, betapa seksa dugaan yang aku tempohi. Aku mencari jalan keluar, namun tiada jalan yang terbuka. Ibadatku pun kadang-kadang terganggu dek masalah yang melanda. Hanya kitab suci Al-Quran menjadi peneman hatiku yang lara.

Namun, akhirnya aku bertemu jalan yang kucari. Jalan yang tak ku sangka-sangka. Ianya hanya terjadi tanpa ku sedari. Ketika dipenghujung Ramadan, aku pergi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Pusat Bandar Kuala Lumpur. Aku ke sana bertujuan membeli baju melayu yang diminta oleh adik kembarku. Aku memilih Jalan TAR kerana disitu adalah kawasan membeli-belah yang utama di KL. Ketika aku melalui sebuah toko buku, hati ku tertarik untuk singgah sebentar di toko itu.

Entah bagaimana, terdetik hatiku untuk melihat novel-novel terbaru yang ada dipasaran. Toko itu menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk semua jenis novel. Aku terus membelek-belek novel yang ada. Penuh rak-rak disitu dengan pelbagai jenis novel baik novel dakwah, novel cinta, novel pengembaraan atau novel triller. Namun mataku tertarik pada 3 buah buku novel. Buku-buku itu ditulis oleh orang yang sama iaitu Habiburrahman El Shirazy. Akhirnya 3 buah novel aku beli iaitu Ketika Cinta Bertasbih Episode 1, Pudarnya Pesona Cleopatra dan Di Atas Sejadah Cinta (sebenarnya bukan sebuah novel tetapi himpunan cerita-cerita tauladan karya Kang Abik). Aku tidak membeli novel Ayat-Ayat Cinta kerana aku sudah pun memilikinya dan telah khatam 2 kali. Novel Ayat-Ayat Cinta memang memberi bekas pada jiwa ku.

Aku sebenarnya bukan peminat novel. Amat jarang sekali aku membaca novel. Aku lebih gemar membaca majalah ilmiah atau buku-buku informasi. Aku lebih gemar membaca buku yang memberi maklumat, ilmu dan info. Aku lebih gemar membaca majalah National Geographic atau Majalah Times daripada membaca novel Sasterawan Negara Usman Awang. Aku lebih tertarik pada majalah i daripada novel-novel S Othman Kelantan.

Namun aku tertewas pada buku-buku tulisan pak HAMKA dan Habiburrahman El-Shirazy atau lebih popular dengan panggilan Kang Abik. Kedua-dua penulis ini adalah orang Indonesia. Bezanya ialah pak HAMKA berketurunan Minang (negeri SUMBAR - Sumatera Barat) manakala Kang Abik adalah keturunan Jawa (negeri JATIM - Jawa Timur). Novel tulisan mereka amat memberi bekas pada hatiku. Banyak sungguh pengajaran dan teladan yang aku perolehi daripada novel mereka. Penulisan mereka amat berbeza daripada novelis-novelis yang lain. Novel mereka adalah novel dakwah, novel pembangun jiwa, novel kerohanian walaupun temanya adalah CINTA. Kerana itu aku tewas.

Setiap kali membaca novel tulisan pak HAMKA dan Habiburrahman El-Shirazy, hatiku menjadi tenang dan sejuk. Hati yang gundah menjadi damai, hati yang sesak menjadi senang, hati yang resah menjadi aman. Tulisan mereka punya ubat suntikan yang amat mujarab. Malah aku merasa seperti aku berada di dalam novel itu. Aku merasa seperti aku yang menjadi Azzam (Ketika Cinta Bertasbih), atau menjadi Hamid (Dibawah Lindungan Kaabah) atau juga Fahri (Ayat-Ayat Cinta). Aku seperti berada di alam nyata walhal ia hanya alam novel. Aku seperti berada di Cairo, membeli keperluan dapur di Pasar Sayyeda Zaenab, makan tom yam bersama teman-teman di Rab’ah El Adawea, membeli buku di Daarut Tauzi’ atau berjalan-jalan di Nasr City (Ketika Cinta Bertasbih).

Satu perkara yang ada pada novel tulisan mereka berdua yang tiada pada novel-novel lain ialah nilai teladan islami pembangun jiwa. Novel tulisan mereka bukan sekadar cerita atau fiksyen tetapi ia mempunyai unsur dakwah dan teladan, unsur teguran dan pengajaran, unsur didikan dan asuhan. Novel Habiburrahman El-Shirazy misalnya menyelitkan nasihat dan teladan juga menyelitkan pengajaran. Novel beliau bukan sahaja menegur tetapi memberi contoh. Bukan sahaja mengkritik tetapi memberi alternatif, bukan sahaja menceritakan realiti tetapi juga memberikan panduan yang seharusnya dilakukan.

Oleh kerana itu aku tersentak apabila teman-teman di Pulau Pinang memberitahuku bahawa novel Habiburrahman El-Shirazy di band oleh mereka atas alasan ia menyebarkan fahaman islam liberal khususnya daripada sudut pergaulan lelaki wanita. Aku begitu terkejut. Terkejut bukan kepalang. Namun setelah membaca tulisan beliau, aku tidak dapat langsung menemukan fahaman liberal di dalam penulisnya. Tiada langsung. Aku hanya bertemu dengan kisah teladan dan pengajaran, kisah nasihat dan kritikan membina, kisah realiti dan alternatif.

(Note : Aku tidak tahu sama ada Kang Abik pengikut aliran liberal, tetapi dari karya-karyanya yang aku baca, aku tidak bertemu langsung dengan fahaman dan pemikiran Islam Liberal. Malah Kang Abik sendiri adalah penulis di majalah SABILI- Majalah yang menentang Jaringan Islam Liberal di Indonesia)

Apa yang diceritakan oleh Kang Abik di dalam novelnya adalah kisah realiti yang melanda dunia sebenar. Kisah benar yang berlaku pada setiap insan malah diriku sendiri dan juga diri teman-temanku. Ia bukan kisah omongan kosong tetapi kisah realiti yang sudah dan sedang berlaku. Tulisan beliau adalah berdasarkan kisah realiti, namun di setiap sudut itu beliau selitkan pengajaran dan tauladan serta alternatif yang sepatutnya. Jika Kang Abik dituduh membawa pemikiran liberal, mengapa HAMKA juga tidak dituduh sama? Sedangkan corak dan gaya penulisan mereka berdua berkaitan Cinta adalah sama? Mengapa mereka yang menuduh Kang Abik liberal, tidak menuduh HAMKA liberal?

Setelah aku membaca novel Ketika Cinta Bertasbih, hatiku menjadi tenang dan damai. Aku temui terlalu banyak teladan dan pengajaran daripada novel itu. Sebenarnya, hatiku menjadi tenang dan damai kerana novel ini telah memberikan aku nasihat yang berguna bagi masalah yang sedang aku hadapi. Novel Ketika Cinta Bertasbih sebenarnya sedang mengajar dan menasihati aku untuk aku hadapi masalah yang sedang aku hadapi. Ia telah menjadi penasihat yang baik pada ku. Sungguh tak ku sangka, jawapan dan panduan untuk masalah yang sedang aku hadapi sebenarnya datang daripada sebuah novel karya seorang ulama muda Indonesia. Maha suci Allah, Dia lah yang maha agung, maha pemberi dan maha penyayang. Memberi jalan dan nasihat yang kadang-kadang dari jalan yang kita tidak sangka.

Sesungguhnya, novel pak HAMKA dan Habiburrahamn El-Shirazy amat baik dan bagus untuk dibaca oleh setiap insan. Ia bukan sekadar novel tetapi ia adalah penulisan pembangun jiwa, peneguh iman dan pententeram jiwa. Aku menjadi tenang dan damai membaca novel-novel tulisan mereka. Kerana ia memberikan aku pengajaran dan sebenarnya karya-karya pak HAMKA dan Kang Abik sedang mengajar dan menasihatiku.

Wallahualam

Batu Caves, Selangor
22 Oktober 2007, 10.49malam
.
Petikan daripada TINTA EMAS
.
Dapatkan Novel KETIKA CINTA BERTASBIH EPISODE 1 di pasaran. Memang bagus membaca novel ini. Lebih menarik daripada AYAT-AYAT CINTA

Selasa, Oktober 09, 2007

GERAKAN PEMUDA, TUNJANG MASYARAKAT

Prinsip-Prinsip gerakan perubahan yang harus di dokong oleh Gerakan Pemuda Islam

1. Melahirkan abnaul harb – Putera-putera perang
Melahirkan generasi yang sanggup berkorban apa sahaja demi agama Allah dan bersedia berjihad ke jalan Allah. Tulus ikhlas mengikut Al-Quran dan As-Sunnah di dalam menegakkan syiar islam.

2. Gerakan berdasarkan keilmuan dan kefahaman
Gerakan yang mementingkan ilmu dan kefahaman di dalam perjuangan dan bukan perjuangan membuta tuli. Gerakan yang lurus mengikut Al-Quran dan As-Sunnah. Budaya ilmu dan kefahaman menjadi budaya yang penting dan diserap ke dalam gerakan sehingga ke akar umbi. Budaya keilmuan dan kefahaman Menghindarkan kesesatan dan salah faham dalam perjuangan.

3. Menyusun saf yang teratur dan tapak perjuangan yang kukuh
Gerakan yang padu dengan perjuangan yang kukuh serta haraki yang mantap

4. Membina mujahadah duat
Melahirkan pejuang-pejuang yang bersungguh-sungguh di dalam perjuangan.

5. Perspektif yang gharib
Bersedia untuk menentang arus

6. Fardhu Kifayah – mengisi lompang perubahan – dakwah dan islah

7. De wahanisma ummah
Menghapuskan rasa cinta dunia, rasa cinta harta. Menanam rasa cinta pada Allah dan Rasul.

8. Jaringan perubahan
Membina jaringan yang kukuh dengan pelbagai gerakan islam. Membina ukhwah yang mantap serta memupuk semangat brotherhood yang erat sesama pejuang Islam walaupun berlainan wadah.

Nukilan Mohd Nizam Masyhar, Setiausaha Agung, Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP)

[Petikan daripada ‘hand out’ Tamrin Angkatan Pemuda-Pemudi Islam (API), Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP)]

Wassalam

Dusun Pak Sharif,
Teluk Kumbar, Pulau Pinang

UKHWAH, HANYA MANIS DI BIBIR?

Setiap jamaah Islam pasti akan menitik beratkan ukhwah sebagai pegangan asas dan yang paling penting dalam sesebuah jamaah. Ukhwah adalah penentu kepada kelansungan sesebuah badan dakwah. Ini kerana jika ukhwah tidak dijaga dan disemai dengan baik, pasti sesebuah jamaah akan menghadapi masalah dan tidak mampu meneruskan survivalnya.

Namun seringkali ukhwah menjadi hanya manis dibibir. Ia hanya menjadi idealis kepada setiap badan dakwah namun perlaksanaannya tidak begitu berkesan dan seperti pepatah melayu “hanya manis di bibir”. Ukhwah sering kali menjadi liabiliti kepada jamaah. Ukhwah acapkali menjadi isu di dalam sesebuah jamaah. Sebenarnya menjaga hati manusia khususnya teman sejamaah adalah lebih sukar daripada menjaga seorang anak perempuan atau sekawan lembu. Entah kenapa, di dalam jamaah mudah benar berlaku ‘terasa’ tambahan pula jika seseorang itu ditegur walaupun teguran itu adalah untuk kebaikannya dan juga kebaikan jamaah.

Bukan perkara baru perpecahan di dalam jamaah. Banyak yang boleh dijadikan sempadan dan iktibar. Semuanya hanya kerana permasalahan ukhwah dan perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat seringkali tidak ditangani dengan profesional dan semangat ukhwah tetapi sering diatasi dengan emosional tak bertempat. Sudah menjadi kelaziman, di dalam menangani permasalahan perbezaan pendapat, ukhwah sering dipinggirkan dan dibakul sampahkan. Emosi dan dendam serta amarah yang menjadi pertimbangan apabila pertembungan pendapat terjadi.

Semua maklum, kita diwar-wrkan bahawa penubuhan JIM adalah kerana perbezaan pendapat di dalam ABIM. Begitu juga penubuhan HALUAN, juga hasil dari perbezaan pendapat di dalam ABIM. Malah HAMIM, BERJASA, AKIM juga adalah hasil perbezaan pendapat yang terjadi di dalam PAS. Kemungkinan juga usaha untuk menubuhkan PKS Malaysia juga adalah produk daripada permasalahan ini.

Semasa penulis berpeluang menghadiri satu mesyuarat yang menghimpunkan NGO-NGO Islam, penulis dapat melihat ukhwah yang terjalin dikalangan pertubuhan-pertubuhan Islam adalah ukhwah yang longgar. Ini kerana pengerusi mesyuarat yang juga presiden sebuah pertubuhan Islam terbesar di Malaysia, seringkali menggunakan bahasa yang terlalu lembut dan acapkali cuba mengelak dari berkata jujur dan tegas kerana kelihatan seperti menjaga hati setiap wakil pertubuhan-pertubuhan Islam yang hadir. Malah ramai benar wakil-wakil pertubuhan-pertubuhan Islam yang datang lambat, sudahla lambat, langsung tiada rasa bersalah kerana menyebabkan teman-teman lain tertunggu-tunggu. Penulis pun pelik, di mana konsep menunaikan janji yang seharusnya di amalkan oleh setiap ahli dakwah.

Penulis juga dapat melihat setiap jamaah cuba mengelak @ cuba melepaskan diri daripada mendapat tanggungjawab khusus di dalam mesyuarat berkenaan. Sedangkan hasil mesyuarat berkenaan amat penting untuk kelangsungan survival umat Islam negara ini. Masing-masing cuba lepas tangan walaupun ada sesetengah pertubuhan Islam yang amat bersemangat untuk memikul tanggungjawab yang bakal diterima demi seluruh umat Islam Malaysia.

Pengalaman di kampus juga memberikan pengajaran kepada penulis mengenai realiti ukhwah di kalangan badan dakwah. Kadang-kadang penulis merasakan, mereka yang tidak terlibat dengan tugasan dakwah lebih menjaga ukhwah berbanding mereka yang berkecimpung di alam dakwah. Kawan-kawan rapat penulis yang benar-benar akrab dengan penulis adalah mereka yang bukan daripada aliran tarbiyah. Adik angkat penulis juga, penulis rapat bukan melalui badan dakwah walaupun beliau kini berkecimpung di dalam badan dakwah. Sebenarnya penulis sendiri tidak tahu hendak memberi komen mengenai hal ukhwah ini. Ini kerana penulis merasakan elemen ini selalu diabaikan atau terlepas pandang di dalam badan jamaah. Walhal elemen ini adalah elemen terpenting di dalam jamaah.

Rasulullah S.A.W di dalam penubuhan negara Islam Madinah, perkara pertama yang menjadi keutamaan baginda adalah ukhwah. Di mana baginda merapakat silaturrahim dikalangan Ansar dan Muhajirin. Baginda bukan mengutamakan gerak kerja, hal pentadbiran, hieraki kerajaan, ceramah atau hal-hal lain tetapi UKHWAH. Ukhwah menjadi teras penubuhan Kerajaan Islam Madinah.

Ukhwah di kalangan jamaah juga amat longgar. Contoh yang penulis boleh berikan adalah di USM. PMI, KARISMA, PKPIM dan lain-lain tidak mempunyai perhubungan yang baik. Hubungan mereka sangat longgar. Bayangkan, semasa PMI mengadakan jamuan, KARISMA juga membuat jamuan pada masa yang sama. Apalah salahnya dibuat pada waktu lain untuk meraikan sahabat-sahabat di jamaah yang satu lagi?. apa yang paling penulis kecewa adalah sikap segelintir pimpinan-pimpinan jamaah-jamaah. Penulis melalui Pusat Islam cuba mengaturkan pertemuan semua jamah-jamaah Islam di USM, namun semua jamaah-jamaah berkenaan tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya. Masing-masing sibuk dengan alasan tersendiri. Adakah bermasalah untuk berkumpul dan merapatkan ukhwah dikalangan pelbagai jamaah? Adakah melaksanakan sunnah rasulullah satu beban?. Penulis dan Pusat Islam memang kecewa kerana pertemuan itu gagal.

Masalah yang paling menghantui jamaah-jamaah ini adalah isu mencuri ahli jamaah. Pada pendapat penulis, perkara ini tidak sepatutnya terjadi. Isu mencuri ahli tidak seharusnya timbul. Seharusnya setiap jamaah saling mengukuh di antara satu sama lain dan bukan mementingkan diri sendiri. Ini kerana jika jamaah A berjaya maju tetapi menyebabkan jamaah B dan C lingkup, pasti jamaah A juga akan lingkup juga. Kita tidak seharusnya gembira di atas kejatuhan dan kesedihan orang lain.

Entahlah. Penulis berdoa agar setiap jamaah mengutamakan ukhwah. Bukan sahaja dikalangan ahli sejamaah tetapi juga dikalangan antara jamaah. Umat Islam terus ditindas sehingga ke hari ini kerana ketiadaan ukhwah yang mantap. Penulis yakin, sampai bila pun umat Islam Malaysia dan dunia tidak akan berjaya jika ukhwah tidak dipupuk dan disemai dengan baik.

Wallahu’alam

Tinta Emas,
Kuala Lumpur

~Petikan daripada Tinta Emas~
SELAMAT DATANG KE
BLOG RASMI
ANGKATAN PEMUDA/I ISLAM (API)
PERSATUAN ULAMA' MALAYSIA
CAWANGAN PULAU PINANG (PUMPP)

Mengupaya pemuda-pemudi Islam ke arah pembangunan ummah