Rabu, Oktober 24, 2007

KARYA KANG ABIK, KARYA PEMBANGUN JIWA & PENEGUH IMAN

Hatiku sangat gundah gulana di atas masalah yang aku hadapi. Masalah yang hanya aku dan adik angkatku sahaja yang tahu. Adik angkat aku tahu kerana aku menceritakan masalahku padanya. Ini kerana aku perlukan seseorang untuk aku luahkan isi hatiku (Tapi adikku jauh nun di tenggara Semenanjung, namun dia sering menghubungi ku melalui SMS atau panggilan telefon. Dia seorang adik yang baik, yang banyak memberikan aku nasihat dan tauladan). Masalah ini amat menyesak jiwa nuraniku. Kadang-kadang aku tertanya pada diriku, betapa seksa dugaan yang aku tempohi. Aku mencari jalan keluar, namun tiada jalan yang terbuka. Ibadatku pun kadang-kadang terganggu dek masalah yang melanda. Hanya kitab suci Al-Quran menjadi peneman hatiku yang lara.

Namun, akhirnya aku bertemu jalan yang kucari. Jalan yang tak ku sangka-sangka. Ianya hanya terjadi tanpa ku sedari. Ketika dipenghujung Ramadan, aku pergi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, Pusat Bandar Kuala Lumpur. Aku ke sana bertujuan membeli baju melayu yang diminta oleh adik kembarku. Aku memilih Jalan TAR kerana disitu adalah kawasan membeli-belah yang utama di KL. Ketika aku melalui sebuah toko buku, hati ku tertarik untuk singgah sebentar di toko itu.

Entah bagaimana, terdetik hatiku untuk melihat novel-novel terbaru yang ada dipasaran. Toko itu menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk semua jenis novel. Aku terus membelek-belek novel yang ada. Penuh rak-rak disitu dengan pelbagai jenis novel baik novel dakwah, novel cinta, novel pengembaraan atau novel triller. Namun mataku tertarik pada 3 buah buku novel. Buku-buku itu ditulis oleh orang yang sama iaitu Habiburrahman El Shirazy. Akhirnya 3 buah novel aku beli iaitu Ketika Cinta Bertasbih Episode 1, Pudarnya Pesona Cleopatra dan Di Atas Sejadah Cinta (sebenarnya bukan sebuah novel tetapi himpunan cerita-cerita tauladan karya Kang Abik). Aku tidak membeli novel Ayat-Ayat Cinta kerana aku sudah pun memilikinya dan telah khatam 2 kali. Novel Ayat-Ayat Cinta memang memberi bekas pada jiwa ku.

Aku sebenarnya bukan peminat novel. Amat jarang sekali aku membaca novel. Aku lebih gemar membaca majalah ilmiah atau buku-buku informasi. Aku lebih gemar membaca buku yang memberi maklumat, ilmu dan info. Aku lebih gemar membaca majalah National Geographic atau Majalah Times daripada membaca novel Sasterawan Negara Usman Awang. Aku lebih tertarik pada majalah i daripada novel-novel S Othman Kelantan.

Namun aku tertewas pada buku-buku tulisan pak HAMKA dan Habiburrahman El-Shirazy atau lebih popular dengan panggilan Kang Abik. Kedua-dua penulis ini adalah orang Indonesia. Bezanya ialah pak HAMKA berketurunan Minang (negeri SUMBAR - Sumatera Barat) manakala Kang Abik adalah keturunan Jawa (negeri JATIM - Jawa Timur). Novel tulisan mereka amat memberi bekas pada hatiku. Banyak sungguh pengajaran dan teladan yang aku perolehi daripada novel mereka. Penulisan mereka amat berbeza daripada novelis-novelis yang lain. Novel mereka adalah novel dakwah, novel pembangun jiwa, novel kerohanian walaupun temanya adalah CINTA. Kerana itu aku tewas.

Setiap kali membaca novel tulisan pak HAMKA dan Habiburrahman El-Shirazy, hatiku menjadi tenang dan sejuk. Hati yang gundah menjadi damai, hati yang sesak menjadi senang, hati yang resah menjadi aman. Tulisan mereka punya ubat suntikan yang amat mujarab. Malah aku merasa seperti aku berada di dalam novel itu. Aku merasa seperti aku yang menjadi Azzam (Ketika Cinta Bertasbih), atau menjadi Hamid (Dibawah Lindungan Kaabah) atau juga Fahri (Ayat-Ayat Cinta). Aku seperti berada di alam nyata walhal ia hanya alam novel. Aku seperti berada di Cairo, membeli keperluan dapur di Pasar Sayyeda Zaenab, makan tom yam bersama teman-teman di Rab’ah El Adawea, membeli buku di Daarut Tauzi’ atau berjalan-jalan di Nasr City (Ketika Cinta Bertasbih).

Satu perkara yang ada pada novel tulisan mereka berdua yang tiada pada novel-novel lain ialah nilai teladan islami pembangun jiwa. Novel tulisan mereka bukan sekadar cerita atau fiksyen tetapi ia mempunyai unsur dakwah dan teladan, unsur teguran dan pengajaran, unsur didikan dan asuhan. Novel Habiburrahman El-Shirazy misalnya menyelitkan nasihat dan teladan juga menyelitkan pengajaran. Novel beliau bukan sahaja menegur tetapi memberi contoh. Bukan sahaja mengkritik tetapi memberi alternatif, bukan sahaja menceritakan realiti tetapi juga memberikan panduan yang seharusnya dilakukan.

Oleh kerana itu aku tersentak apabila teman-teman di Pulau Pinang memberitahuku bahawa novel Habiburrahman El-Shirazy di band oleh mereka atas alasan ia menyebarkan fahaman islam liberal khususnya daripada sudut pergaulan lelaki wanita. Aku begitu terkejut. Terkejut bukan kepalang. Namun setelah membaca tulisan beliau, aku tidak dapat langsung menemukan fahaman liberal di dalam penulisnya. Tiada langsung. Aku hanya bertemu dengan kisah teladan dan pengajaran, kisah nasihat dan kritikan membina, kisah realiti dan alternatif.

(Note : Aku tidak tahu sama ada Kang Abik pengikut aliran liberal, tetapi dari karya-karyanya yang aku baca, aku tidak bertemu langsung dengan fahaman dan pemikiran Islam Liberal. Malah Kang Abik sendiri adalah penulis di majalah SABILI- Majalah yang menentang Jaringan Islam Liberal di Indonesia)

Apa yang diceritakan oleh Kang Abik di dalam novelnya adalah kisah realiti yang melanda dunia sebenar. Kisah benar yang berlaku pada setiap insan malah diriku sendiri dan juga diri teman-temanku. Ia bukan kisah omongan kosong tetapi kisah realiti yang sudah dan sedang berlaku. Tulisan beliau adalah berdasarkan kisah realiti, namun di setiap sudut itu beliau selitkan pengajaran dan tauladan serta alternatif yang sepatutnya. Jika Kang Abik dituduh membawa pemikiran liberal, mengapa HAMKA juga tidak dituduh sama? Sedangkan corak dan gaya penulisan mereka berdua berkaitan Cinta adalah sama? Mengapa mereka yang menuduh Kang Abik liberal, tidak menuduh HAMKA liberal?

Setelah aku membaca novel Ketika Cinta Bertasbih, hatiku menjadi tenang dan damai. Aku temui terlalu banyak teladan dan pengajaran daripada novel itu. Sebenarnya, hatiku menjadi tenang dan damai kerana novel ini telah memberikan aku nasihat yang berguna bagi masalah yang sedang aku hadapi. Novel Ketika Cinta Bertasbih sebenarnya sedang mengajar dan menasihati aku untuk aku hadapi masalah yang sedang aku hadapi. Ia telah menjadi penasihat yang baik pada ku. Sungguh tak ku sangka, jawapan dan panduan untuk masalah yang sedang aku hadapi sebenarnya datang daripada sebuah novel karya seorang ulama muda Indonesia. Maha suci Allah, Dia lah yang maha agung, maha pemberi dan maha penyayang. Memberi jalan dan nasihat yang kadang-kadang dari jalan yang kita tidak sangka.

Sesungguhnya, novel pak HAMKA dan Habiburrahamn El-Shirazy amat baik dan bagus untuk dibaca oleh setiap insan. Ia bukan sekadar novel tetapi ia adalah penulisan pembangun jiwa, peneguh iman dan pententeram jiwa. Aku menjadi tenang dan damai membaca novel-novel tulisan mereka. Kerana ia memberikan aku pengajaran dan sebenarnya karya-karya pak HAMKA dan Kang Abik sedang mengajar dan menasihatiku.

Wallahualam

Batu Caves, Selangor
22 Oktober 2007, 10.49malam
.
Petikan daripada TINTA EMAS
.
Dapatkan Novel KETIKA CINTA BERTASBIH EPISODE 1 di pasaran. Memang bagus membaca novel ini. Lebih menarik daripada AYAT-AYAT CINTA

Tiada ulasan: