GEORGETOWN: Seorang nenek menangis teresak-esak dan merayu meminta dilepaskan manakala seorang lelaki sanggup menelan puntung rokok yang masih menyala bagi mengelak dikompaun kerana menghisap rokok di tempat awam di sini, semalam.
Kedua-duanya bagaimanapun tidak terlepas daripada dikenakan kompaun oleh pegawai Jabatan Kesihatan negeri yang menjalankan operasi melarang orang ramai merokok di tempat awam.
Mereka dikompaun kerana merokok di tempat awam iaitu di sekitar hentian bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Nenek 58 tahun bersama cucu lelakinya berusia lapan tahun, juga tergamam apabila tiba-tiba ditahan pasukan penguat kuasa itu.
Ketika itu, dia dan cucunya sedang menikmati sarapan di sebuah gerai makanan di tepi hentian bas serta tidak menyedari operasi dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri.
"Encik tolong lepaskan saya dan janganlah tahan atas kesalahan ini," rayunya sambil menangis teresak-esak apabila pasukan penguat kuasa menahannya.
Bagaimanapun, rayuannya itu tidak diendahkan pegawai kesihatan yang kemudian mengeluarkan notis kompaun kepadanya di atas kesalahan yang dilakukannya.
Sementara itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an nekad menelan puntung rokok yang masih bernyala apabila dihampiri pasukan itu dan meminta kad pengenalannya.
Lelaki itu bertindak demikian bagi mengelak dikenakan kompaun namun gagal.
Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri, Idris Mohamad, berkata operasi dikenali sebagai ‘Ops Rokok’ itu diadakan mulai jam 11.30 pagi hingga 5 petang membabitkan sepasukan 30 pegawai.
"Sebanyak 40 notis kompaun dikeluarkan dalam operasi itu dan mereka perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari sebelum didakwa di mahkamah," katanya.
Nota : Pada tahun 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam persidangannya yang ke-37 telah pun memutuskan rokok adalah haram berdasarkan hujah yang hampir sama dengan fatwa-fatwa seluruh dunia yang lain. Malah Majlis Fatwa Sedunia yang berpangkalan di Arab Saudi juga menghukum haram merokok atas maklumat terkini mengenai bahaya rokok.
Hadith Rasullullah s.a.w. :"Halal itu jelas, haram itu pun jelas, dan antara keduanya ada beberapa perkara yang syubhat (samar) yang banyak dari manusia tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa memelihara dirinya dari segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam haram,"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan