KUALA LUMPUR 31 Mac — Peningkatan kes jenayah melibatkan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menjadi satu fenomena cukup membimbangkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata pada tahun 2007 sebanyak 1,836 kes dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan dan 3,241 daripadanya adalah pelajar berumur 13 hingga 18 tahun manakala pada 2008 meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan dan 3,629 dari jumlah berumur 13 hingga 18 tahun.
“Antara kes-kes tersebut termasuklah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri, pecah rumah dan lain-lain kesalahan jenayah,” katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-39 Pasukan Kor Kadet Polis yang disambut di seluruh negara hari ini.
Perutusan itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat sempena sambutan peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di sini.
Musa berkata hasil kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia mendapati 87 peratus “Mat Rempit “ terdiri daripada golongan berusia 14 hingga 25 tahun.
Kajian itu menunjukkan 48.1 peratus Mat Rempit disebabkan oleh kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.
“Berdasarkan perangkaan itu, jelas menunjukkan pembabitan pelajar dalam pelbagai kes jenayah sentiasa meningkat. Gejala tersebut boleh dibendung sekiranya pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas tentang kesan dan akibatnya jika terjerumus di dalam kegiatan jenayah,” katanya.
Musa berkata anggota Kor Kadet Polis, yang kini mencecah 89,110 ahli di seluruh negara, boleh bertindak sebagai mata dan telinga Polis bagi memainkan peranan utama dalam mengurangkan masalah itu terutama gengsterism yang menjadi kegusaran ibu bapa, sekolah dan masyarakat.
Selain itu, katanya Kor Kadet Polis perlu memberi input dan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi satu kewajipan selari dengan tugas dan tanggungjawab polis.
“Sumbangan dan input maklumat dari warga Kor Kadet Polis kepada PDRM dipandang penting dan serius sekali kerana maklumat yang disalurkan mungkin dianggap penting dan berguna dalam menyelesaikan sesuatu kes,” katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan