Khamis, April 02, 2009

Bantahan Terhadap Penyiaran Drama Gay dan Lesbian di Malaysia

KENYATAAN MEDIA


M
erujuk kepada maklumat yang diterima daripada artikel-artikel di internet dan juga akhbar utama tempatan yang melaporkan keberanian produser Sheila Rusly bersama suami, Azman Yahya atau Jinggo menerbitkan dua drama terbaru yang dijangka bakal mengundang kontroversi di negara ini, kami mendesak agar penyiaran drama ini dan drama-drama lainnya termasuk filem-filem yang berkaitan disekat oleh pihak yang berwajib.

Menerusi drama Mabuk Estrogen, paparan adegan 'bercium' dua pelakon lelaki diketengahkan.

Begitu juga dengan drama Donut yang ingin mengangkat kisah homoseksual yang dibawa seorang pelakon lelaki melakonkan watak pondan yang lengkap berpakaian wanita.

Walaupun pihak produser menyatakan mereka hanya ingin memberi pengajaran kepada penonton, apa yang dikhuatiri adalah adegan yang tidak sepatutnya dipaparkan dalam drama ini yang berani menunjukkan penampilan menjolok mata atau aksi kurang sopan seperti berpelukan, melawan ibu bapa atau remaja yang terjebak dengan masalah sosial hingga tiadanya batas pergaulan antara lelaki dan wanita.

Hakikatnya penonton yang tidak berfikiran matang seperti remaja mudah terpengaruh atau terikut-ikut untuk mencontohi perlakuan sebegini. Lihat sahaja berapa banyak belia kita yang menjadi hantu rempit, kami dapati mat-mat rempit ini berbangga jika mereka sering diutarakan dalam drama-drama dan berita. Bilangan mereka juga semakin bertambah dengan penyiaran drama ‘Rempit vs Impak Maksima’ di televisyen tempatan. Sebenarnya, mesej nasihat boleh disampaikan dengan hanya menggunakan dialog yang berkesan tanpa perlu melakonkan adegan-adegan yang tidak bermoral.

Akhir-akhir ini, terlalu banyak drama dan filem melayu sama ada bersifat ‘mainstream’ ataupun ‘underground’ yang memaparkan watak pondan, lesbian dan gay. Perbuatan ini seolah-olah mengiktiraf gaya hidup pondan, lesbian dan gay sebagai satu norma masyarakat.

Sebelum ini pun, sudah banyak filem, drama dan teater yang mengangkat kegiatan tidak bermoral ini untuk diperkenalkan kepada masyarakat, setakat yang diingati, filem gay melayu pertama malaysia iaitu Comolut ( cium mulut ) yang ditayangkan di festival filem underground malaysia, teater Patung Kertas dan juga teater Vagina Monolog yang mempromosikan budaya pondan dan seks bebas. Mengapa perkara ini terus dibiarkan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia yang majoritinya adalah Melayu Islam.

Golongan-golongan yang berfahaman liberal dan sekular, sangat lantang mempertahankan cara hidup yang tidak bermoral ini atas alasan hak asasi manusia dan kebebasan individu. Perlu diingatkan, kebebasan yang dijamin oleh pemerintah tidak boleh disalah ertikan. Setiap orang bebas melakukan apa sahaja selagi tidak mengganggu dan merosakkan masyarakat. Perkara-perkara yang tidak bermoral ini, lambat laun akan merosakkan masyarakat dengan dahsyat sekali sepertimana yang telah berlaku di barat. Tiadalah erti kemajuan itu, jika nilai-nilai akhlak mulia terhapus. Nilai-nilai akhlak ini pula seharusnya tidak berubah-ubah dan seharusnya dilihat pada pandangan Allah dan bukan pada pandangan manusia.

Seseorang yang merosakkan orang lain, patut dihukum. Meskipun seseorang itu bebas dan merdeka, jika kemerdekaannya itu menyebabkan dia lalai daripada kewajipannya menjaga kemerdekaan orang lain bahkan merosakkan masyarakat, hukuman itu adalah memang sudah semestinya. Menghukumnya itu adalah kewajipan bagi pemerintah pula.

Kami ulangi saranan supaya pihak berwajib mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani permasalahan sosial yang membarah dalam masyarakat kita ini.

Nurfitri Amir b Mohammad
Timbalan Pengerusi API/Ketua Usrah Sosial API
Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)


(Surat bantahan juga telah dihantar kepada YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato' Wan Mohammad Dato' Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah JAKIM)

Tiada ulasan: