Selasa, April 07, 2009

Gambar bogel tanda setia bawa padah

Teman lelaki peras ugut wang tunai RM400

KUANTAN: Tindakan seorang wanita mengirim gambar bogelnya kepada teman lelakinya menerusi sistem pesanan multimedia (MMS) sebagai tanda setia membawa padah kerana lelaki itu mengugut akan menyebarkan gambar bogel itu jika enggan memberinya wang.

Bimbang dengan ugutan terbabit, mangsa berusia 25 tahun dari Kampung Paya Keladan, Temerloh terpaksa mengikut kemahuan teman lelakinya dan menyerahkan RM400 bagi memenuhi permintaannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata wanita terbabit dikatakan mula berkenalan dengan lelaki itu di bandar Temerloh pada awal September lalu, sebelum cinta mereka mula berputik.

Beliau berkata, bagaimanapun, akibat terlalu sayang dan tidak mahu kehilangan teman lelakinya, mangsa terpedaya dengan janji manis lelaki itu yang berjaya memujuk mangsa untuk mengirimkan gambar bogelnya melalui MMS.

Katanya, sebaik menerima gambar bogel berkenaan, lelaki terbabit mula berubah sikap dan menggunakannya untuk memerangkap mangsa supaya menuruti segala permintaannya.

“Lelaki terbabit juga mula menunjukkan sikap garang selain mengugut untuk mengedarkan gambar bogel mangsa kepada orang lain sekiranya permintaannya mendapatkan RM400 daripada mangsa tidak dipenuhi.

“Mangsa yang dalam keadaan ketakutan terpaksa mengikut kehendak lelaki terbabit dan menyerahkan wang berkenaan menerusi dua kali pembayaran,” katanya.

Narenasagaran berkata, mangsa yang tidak tahan dengan lelaki terbabit yang terus mendesaknya memberi wang membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD), Temerloh, kelmarin.

Beliau berkata, susulan laporan dan keterangan mangsa, polis mengenal pasti identiti lelaki terbabit yang berusia lingkungan 30-an.

“Operasi memburu lelaki terbabit sudah dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Berita Harian - 7 April 09

Tiada ulasan: