Rabu, Jun 11, 2008

MEMBANGUN KECEMERLANGAN KEPIMPINAN UNTUK ‘IZZAH UMMAH (*)

Oleh : Dr Wan Salim Mohd Noor

YDP Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang

MUQADIMMAH

Suatu realiti yang terpaksa kita akui bersama ialah bahawa ummat Islam kini ketandusan pemimipin berjiwa besar dan betapa perlunya kita kepada pemimpin yang demikian. Ini ialah pemimpin yang berjiwa besar sebenarnya mampu membawa ummat ke mercu kejayaan, kekuatan dan kemuliaan.

Sejarah merakamkan ketika ‘Amru Ibn Al-‘As membuka negara Mesir, beliau hanya membawa bersamanya seramai 4000 tentera sahaja. Kemudian beliau mengutus surat kepada Khalifah ‘Umar bin Al-Khattab memohon ditambahkan lagi bilangan mereka. Khalifah ‘Umar mengirim seramai 4000 orang lagi dengan dikepalai oleh 4 panglima yang setiap seorangnya dikira menyamai 1000 orang. Dengan jumlah itiu negara Mesir berjaya di buka.

Maka orang-orang beginilah yang diperlukan oleh ummat Islam hari ini. Keperkasaan peribadi sebenarnya lahir daripada kekuatan jiwa yang mendorong seseorang berusaha mencapai ketinggian dan kemuliaan (‘izzah). Peribadi yang mengenal hak dirinya, bangsanya dan ummatnya serta mengenal pulak tanggungjawabnya yang mesti dipikul dan ditunaikan dengan ikhlas dan amanah terhadap dirinya sendiri, Tuhannya, rumahtangganya, masyarakatnya dan agamanya.

Orang seperti inilah yang perlu diletakkan di posisi kepimpinan dan diharap akan membawa ummatnya ke puncak ‘izzah.

­­­1. Mendukung Akidah/Idealisme

Seorang pemimpin mestilah memiliki akidah atau keyakinan agama yang kukuh. Ia mestilah merupakan akidah yang benar, terlepas daripada perbuatan syirik, khurafat dan takhyul. Usaha untuk membina atau memperbaiki akidah daripada penyelewengan merupakan batu asas bagi ke arah kecemerlangan peribadi seseorang. Ia juga merupakan elemen terpenting bagi kebangkitan ummat dan kemantapannya. Tiada yang lebih merbahaya terhadap keunggulan peribadi seseorang dan terhadap kebangkitan sesebuah ummat daripada penyelewengan akidah dengan cara menghubungkaitkan kehidupan, sikap dan kemahuan dengan kuasa-kuasa ghaib yang tidak dapat dipastikan kewujudannya dan kemampuannya memenuhi hajat seseorang.

Penyelewengan akidah yang digambarkan di dalam kepercayaan kepada khurafat dan takhyul ini boleh melumpuhkan daya fikir dan inovasi yang diperlukan untuk pembangunan dan kemajuan. Keadaan beginilah yang menimpa bangsa Arab zaman jahiliyyah dan juga yang dialami oleh bangsa Melayu sebelum kedatangan Islam di rantau ini. Bangsa Arab, Bangsa Melayu dan ummat Islam umumnya hanya mampu membina tamadun setelah kedatangan agama Islam yang telah berjaya mengubah pandangan hidup mereka daripada khurafat kepada ilmu pengetahuan.

Akidah yang betul dan murni ini mesti dimiliki oleh seorang pemimpin muslim dan dijadikan idealisme yang mesti didukung dan diperjuangkan. Ia mesti dipandang sebagai suatu yang lebih mahal daripada segala-galanya di dalam kehidupan ini hatta sehingga nyawa sekalipun dipertaruhkan untuknya. Hidup dan mati, akal, hati, sikap malah naluri dan tabiatnya ditundukkan kepada akidah dan idealism tersebut.

2. Berbangga Dengan Jati Diri

Akidah Islamiah sepertimana yang dijelaskan di atas itulah, bersama ajaran-ajaran Islam dari sudut-sudut amalan, hukum hakam dan nilai-nilai akhlak, yang membentuk jatidiri seorang muslim. Tanpa ajaran Islam ini seorang muslim kehilangan identiti dan jati dirinya yang sebenar dan justeru itu kehidupannya dan peribadinya terumbang-ambing tiada haluan dan tujuannya.

Seorang muslim yang beriman dalam erti kata yang sebenar mestilah berbangga dengan keyakinan agamanya; kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diterima Allah SWT (lihat Al-Quran, surah Al ‘Imran; 19 dan 85). Ummat Islam menurut Al-Quran adalah ummat terbaik yang dilahirkan untuk manusia (lihat Al-Quran, surah Al ‘Imran; 110-111).

Jika pada zaman kini terdapat seruan-seruan tertentu mengajak manusia agar berbangga dengan bangsa, entik, warna kulit dan sebagainya, sehingga mempercayai bangsanya adalah lebih baik daripada bangsa yang lain kerana sebab keturunan atau lainnya, maka ummat Islam dikehendaki berbangga dengan akidah yang dianutnya dan agama yang diturunkan dari sisi Allah SWT. Seorang muslim yang berbangga dengan jati diri Islamnya melihat kepada setiap tamadun yang tidak diasaskan di atas keimanan kepada Allah SWT dan tidak berpandukan kepada ajaran-ajaran agama yang benar sebagai tamadun palsu yang membawa banyak keburukan.

Kebanggaan kepada jati diri Islam inilah yang mendorong seorang muslim berusaha menyeru pihak-pihak lain (dakwah) agar sama-sama dapat menikmati kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

3. Berilmu

Di samping memiliki akidah yang benar dan mendukung idealisme yang unggul, seorang pemimpin akakn mencapai kecemerlangan menerusi ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai oleh seorang pemimpin, di samping pengetahuan agama yang mantap, ialah ilmu tentang perkembangan dan keadaan semasa juga ilmu-ilmu yang diperlukan untuk mengendalikan kemimpinan yang berkesan. Antara lain ialah ilmu-ilmu pengurusan/pentadbiran, asas ilmu ekonomi, sosialogi, psikologi dan seterusnya. Di samping itu seorang pemimpin juga perlu mengusai satu atau lebih bahasa dunia. Prof. Yusuf Al Qaradawi pernah menegaskan tentang perlunya digabungkan di antara ilmu warisan dan ilmu semasa. Malah beliau juga menyarankan supaya ummat Islam memiliki ilmu tentang masa hadapan atau bermentaliti dan futuristik!

4. Berakhlak Mulia

Para muslihin (reformis) terutama yang beragama Islam menyakini bahawa kebangkitan dan kemajuan sesuatu bangsa banyak bergantung kepada keunggulan serta keanggunan akhlaknya. Jika nilai-nilai akhlak terhakis dari sesuatu bangsa itu maka berertilah ia sedang menuju kepada kehancurannya. Gejala keruntuhan akhlak ini dapat dirasakan oleh kita semua pada hari ini dan kita juga sedang menyaksikan pelbagai akibat negatif daripadanya dalam bentuk perbuatan-perbuatan jenayah yang kadang kala dilakukan oleh mereka yang menduduki posisi kepimpinan di pelbagai penjuru dan peringkatnya.

Seorang pemimpin tidak mungkin cemerlang dan seterusnya ‘izzah atau kemuliaan ummat tidak akan berjaya dicapai tanpa akhlak yang mantap. Maka justeru itu seorang pimimpin perlu menghiasai dirinya dengan nilai-nilai akhlak terutama yang berkait rapat dengan kepimpinan seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, berdisplin (termasuk pengurusan masa), sabar, menepati janji, tegas, kekuatan azam, istiqamah, berani iffah (memelihara kehormatan diri), zuhud dan seterusnya…

5. Beramal/Beribadah

Menurut Islam matlamat pengciptaan manusia ialah untuk beribadah kepada Allah SWT sepertimana yang difahami daripada firmanNya di dalam Al-Quran (lihat surah Al Dhariyat; 56). Justeru itu sekalian Rasul Allah menyeru ummat masing-masing kepada matlamat ini (lihat misalanya Al Quran; surah Al A’raf; 65 dan Al Anbiya; 25).

Bagaimanapun yang perlu diberi perhatian di sini ialah kesan setiap ibadah yang dikerjakan dalam pembentukan peribadi. Ibadah yang tidak meninggalkan bekas di dalam hati pelakunya adalah ibadat yang kehilangan roh dan tujuannya. Pangkal segala ibadah ialah keikhlasan, sementara hujungnya ialah taqwa yang mempunyai erti yang luas lagi komprehensif.

Perlu juga ditekankan tentang pengertian ibadat yang luas serta mencakup segenap amalan dan tindakan yang baik lagi bermanafaat untuk manusia dan makhlau-makhluk Allah yang lain. Maksud ibadah boleh terlaksana dengan pelbagai cara dan aktiviti dan mampu dikerjakan oleh setiap individu di dalam kerjaya masing-masing asalkan menepati dua syarat yang ditentukan; iaitu niat kerana Allah Taala dan menurut ketetapan syariat.

Seorang pemimpin yang mempunyai hubungan rohani dengan Tuhannya melalui amal ibadah sudah tentu menjadi seorang pemimpin yang cemerlang dan mampu menyumbang ke arah “izzah ummatnya.

6. Berjihad

Menurut Al Quran seorang mukmin yang berjihad pada jalan Allah (untuk kebaikan/kepentingan manusia) tidaklah sama dengan mukmin yang tidak berjihad. Allah SWT melebihkan darjat seorang yang berjihad di atas seorang yang tidak berjihad serta digandakan pahalanya (lihat Al Quran, surah An Nisa; 95-96).

Jihad boleh dilakukan dengan diri dan harta benda dan merupakan bukti keimanan seseorang dan kecintaannya kepada Allah, Rasul dan agamanya. Sesuatu dakwaan tidak terbukti kebenarannya tanpa jihad yang menuntut pengorbanan.

Perkataan “jihad” berasal daripada akar kata jahada, yajhadu, jahdan yang membawa maksud kesungguhan atau menghabiskan tenaga untuk mencapai sesuatu tujuan.

Ramai orang tersilap apabila memahami jihad melawan nafsu (jihad al nafsu) sebagai jihad yang lebih penting daripada jihad fizikal atau amali. Kesilapan ini berpunca daripada tersalah dalam memahami sebuah hadis Nabi yang diucapkan oleh baginda selepas peperangan Uhud, bahawa kita baru pulang dari jihad kecil dan akan menghadapi jihad yang lebih besar. Sahabat bertanya, apakah jihad yang lebih besar itu? Baginda menjelaskan, jihad (perjuangan) menentang nafsu.

Maksud hadis ini yang sebenarnya ialah menggalakan para sahabat supaya memberi perhatian kepada usaha mendidik diri dan mengawal nafsu supaya tidak terkeluar daripada landasan agama. Bukan untuk meremehkan kedudukan jihad amali. Banyak ayat Al Quran yang menggalakkan ummat Islam berjihad di medan perjuangan serta menjanjikan pahala yang besar. Dari segi sejarahnya pulak ummat Islam pada zaman Rasulullah dan zaman al salaf al soleh tidak pernah mengabaikan kedua-dua kategori jihad ini dan tidak membeza-bezakan antara kedua-duanya.

Seorang pemimpin Islam mestilah mempunyai semangat juang jihad yang tinggi dan menjadi role model kepada para pengikutnya di dalam aspek ini. Ummat Islam zaman silam telah mencapai ‘izzahnya menerusi jihad. Tanpa jihad ummat Islam akan dihina dan mudah diperalatkan oleh musuh.

KHATIMAH

Demikianlah sedikit sebanyak buah fikiran yang boleh disampaikan mengenai tajuk yang ditetapkan oleh menganjur seminar. Penulis percaya bahawa apa yang dibincangkan di atas masih belum sempurna dan memerlukan kepada idea-idea tambahan daripada individu-individu dan pihak-pihak yang lebih berwibawa dan berpengalaman. Namun diharapkan bahawa kertas kerja ini sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai titik mula ke arah melahirkan gagasan membangunkan kecemerlangan kepimpinan untuk ‘izzah ummat seperti mana yang sama-sama didambakan. Kesempurnaan hanya milik Allah SWT.

Sekian, wasallamualaikum.

Bacaan

Semperna dengan Seminar Seabad HAMKA ini dan dengan tujuan untuk menambahkan lagi maklumat tentang tajuk di atas, sukacita disarankan kepada peserta seminar agar membaca karya-karya Al-Marhum yang berikut;

1. Falsafah Hidup (dua jilid)

2. Tasawuf Moden

3. Peribadi

4. Lembaga Hidup

5. Lembaga Budi

6. Hamka Pujangga Islam, Menatap Peribadi Dan Martabatnya

7. Lain-lain

(*) Kertas kerja yang disediakan untuk Seminar Pemikiran Seabad HAMKA, anjuran Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) dan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). Di Dewan INTIM Ipoh Perak, pada 15 Mei 2008.

Kertas kerja ini akan cuba mengutarakan syarat-syarat yang diperlukan untuk membangun kepimpinan yang cemerlang seperti diataas. Muga-muga dapat diusahakan cara-cara atau metodologi untuk merealisasikannya di negara kita yang tercinta ini.

Tiada ulasan: