Isnin, Julai 28, 2008

Masyarakat 'relakan' mak nyah diterima

Oleh Mohd Azis Ngah
Berita
Harian 27 Julai 08



CARI MAKAN: Lorong Haji Taib Kuala Lumpur tidak pernah sunyi dengan kehadiran mak nyah yang menawarkan khidmat seks. Berdasarkan kajian, secara umum kira-kira 62 peratus mak nyah di Malaysia bekerja sebagai pelacur, manakala 25 peratus sebagai penghibur di kelab malam.


Yayasan Pink Triangle bantu transeksual bagi dapat maklumat, panduan gaya hidup selamat serta pencegahan penyakit berbahaya

KEHADIRAN lelaki transeksual yang merujuk kepada lelaki lembut atau mak nyah tidak disenangi kerana dikatakan antara punca masalah sosial di negara ini dan kini bilangan mereka semakin meningkat sejak 10 tahun lalu.

Berdasarkan Laporan Negara yang dilakukan Pensyarah Pengajian Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Teh Yik Koon pada 1997 hingga 2002, jumlah mak nyah dianggarkan 15,000 orang.

Bagaimanapun, statistik terkini Yayasan Pink Triangle (PT) yang mengendalikan isu sosial, termasuk mak nyah di negara ini, bilangan itu meningkat 100 peratus berjumlah antara 25,000 hingga 30,000 orang.

Pengurus Program Mak Nyah Yayasan PT, Sulastree Ariffin, berkata anggaran kasar itu secara umum merujuk kepada mak nyah yang menukar imej diri sepenuhnya dan lelaki yang berasakan diri mereka sebahagian daripada golongan berkenaan, tetapi mengekalkan gaya lelaki.

Beliau mengakui ada pengaliran masuk mak nyah warga asing dan kebanyakannya warga Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Kita tidak pasti jumlah sebenar, tetapi kemungkinan besar mereka masuk secara sah. Ia mungkin disebabkan keadaan hidup di negara asal susah dan tidak diterima masyarakat.

"Yayasan PT membantu golongan itu mendapatkan maklumat, panduan gaya hidup selamat serta mencegah jangkitan HIV dan Aids dengan memberi peluang kepada mereka membuat pilihan," katanya.

Yayasan itu adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang komited dalam membantu transeksual, pekerja seks, homoseksual dan penghidap HIV atau Aids di Malaysia dengan mengadakan pelbagai program kesedaran serta pendekatan cara hidup selamat.

Pertambahan jumlah mak nyah itu dilihat kepada sikap penerimaan masyarakat negara ini yang pada mulanya menentang keras kewujudan golongan berkenaan, tetapi kini seolah-olah 'menerima' mereka dalam beberapa sektor perkhidmatan, terutama kecantikan seperti fesyen.

Sementara itu, Teh berkata, berdasarkan kajiannya, kira-kira 80 peratus daripada golongan itu berketurunan Melayu, manakala bakinya daripada etnik lain.


Katanya, kajian dijalankan sebelum ini 'Laporan Negara - Kajian Mak Nyah di Malaysia', jumlah yang dianggarkan 10,000 hingga 15,000 itu adalah mak nyah tegar yang sememangnya berkeinginan kuat untuk bertukar jantina dan gaya hidup.

"Kita akui memang ada mak nyah rakyat asing di sini dan itu juga satu faktor pertambahan jumlah golongan berkenaan, tetapi saya tidak pasti jumlah sebenarnya. Mereka cuma boleh dikenal pasti dari segi penampilan dan ada terbabit dengan pelacuran," katanya.

Katanya, walaupun ada wanita transeksual, namun bilangan mereka kecil berbanding golongan transeksual lelaki, malah mereka sukar dikesan berdasarkan faktor penampilan pakaian yang tidak begitu berbeza dengan wanita lain.

Dalam konteks kebudayaan dan keagamaan, secara dasarnya, golongan mak nyah tidak diiktiraf masyarakat Malaysia. Ramai daripada mereka menerima kenyataan bahawa Islam melarang transeksualisme.

Katanya, disebabkan majoriti mak nyah berketurunan Melayu dan beragama Islam, ramai yang memilih untuk tidak menjalani pembedahan kerana berasakan mereka akan bermasalah ketika meninggal dunia kerana tiada siapa yang akan menguruskan jenazah mereka.

Selain itu, mereka boleh didakwa atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh di khalayak umum sekiranya berpakaian wanita mengikut akta kesalahan kecil atau undang-undang syariah. Kajian pada 2002, mendapati 507 mak nyah mendakwa pernah diberkas polis dan majlis agama Islam.

"Berdasarkan kajian, secara umumnya kira-kira 62 peratus mak nyah di Malaysia bekerja sebagai pelacur, manakala 25 peratus bekerja sebagai penghibur di kelab malam, salun dan butik, manakala bakinya melakukan pelbagai pekerjaan," katanya.

Gaya hidup tidak sihat, termasuk terbabit dalam pelacuran jelas menjadi faktor meningkatnya jumlah penghidap HIV dan Aids. Statistik terkini pesakit Aids dan jangkitan HIV bagi 1986 hingga 2007, menunjukkan terdapat 80,938 dijangkiti HIV membabitkan 74,104 adalah lelaki dan 6,834 wanita.

Daripada jumlah itu, 13,635 disahkan menghidap Aids (12,197 lelaki) mengakibatkan 10,334 kematian dalam tempoh sama. Seramai 58,267 penghidap HIV dan 7,986 penghidap Aids berketurunan Melayu.

Antara penyumbang utama berlakunya jangkitan HIV dan Aids itu ialah seks rambang (Heteroseksual) sebanyak 17,068, homoseksual atau biseksual (1,893), IDU (65,717), penerima darah (48), penerima organ (enam), jangkitan ibu kepada anak (867) dan lain-lain sebanyak (8,974).


"Sudahkah kita lupa akan kisah Nabi Lut A.S. Sebenarmnya Kisah Nabi Lut A.S. tidak memiliki batas zaman. Ia berlaku pada zamannya dan pada masa kini kita boleh melihat ulangnya. Berlakunya adalah kerana manusia tidak menjadikan pedoman Allah untuk mengukuhkan fitrah diri serta memandu cara hidup yang berlandaskan tabii dan sunatullah.

Pada hari ini kita telah menyaksikan kisah yang sama seperti mana yang berlaku pada zaman Nabi Lut A.S. yang telah menjadi amalan hidup orang Barat dan sedang ditiru oleh masyarakat kita, yang tidak menjadikan kisah itu sebagai pedoman dan peringatan. Kecenderungan hidup secara 'gay' dan 'lesbian' adalah bayangan tergelincirnya manusia daripada fitrah. Manusia tidak lagi melihat hikmah di sebalik mengapa Allah S.W.T menjadikan manusia berpasang-pasang sebagai asas kekenalan atau yang mampu membimbing manusia membina keluarga dan masyarakat, malah tamadun yang mengekalkan kehidupan itu berada dalam fitrah.

Kita lihat sahaja masyarakat yang berkembang dan berubah tanpa rujukan kepada kisah yang dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran yang mengaku mereka berada di dalam ambag kemajuan. Mereka terus melakukannya untuk mencari makna diri, kehidupan, hubungan diri, kehidupan dan persekitaran hingga melampaui batas. Akhirnya, mereka kehilangan arah dan menjadikan kehidupan atau 'tamadun' yang tidak lagi fitrah. Lalu Allah turunkan musibah AIDS/HIV yang menyebabkan manusia binasa serta sistem kemasyarakatan dan social rosak. Etika kemanusiaan menjadi kabur dan mutu kemanusiaan turut lebur.

Relakah kita melihat perkara mungkar ini terus berlelusa??? Tepuk dada, tanya iman..."



Tiada ulasan: