Rabu, Julai 16, 2008

RIDDAH: KONSEP DAN PERKEMBANGAN

RIDDAH: KONSEP DAN PERKEMBANGAN1

Oleh;

Dr Wan Salim Mohd Noor

YDP Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP)

Muqaddimah

Fenomena riddah atau keluar daripada agama Islam kebelakangan ini memang merupakan suatu isu yang serius dan memprihatinkan. Jika tidak dicegah ia berkemungkinan akan semakin merebak dan akan menimbulkan pelbagai akibat negatif bukan sahaja dilihat dari sudut akidah malah juga dari sudut kepentingan negara dan keamanannya. Justeru itu memang sesuatu yang tepat pada waktunya isu ini dibincangkan terutama oleh para ulama’ supaya dapat dicari jalan yang terbaik untuk mengawal dan mencegahnya sebelum ia menjadi wabak yang sukar ditangani. Kertas kerja ini adalah suatu usaha awal untuk menjelaskan pengertian riddah di dalam Islam yang difahami daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta pandangan ulama’ mazhab, juga perkembangannya di dalam sejarah Islam. Semoga ianya dapat dijadikan asas perbincangan yang lebih komprehensif dan lebih sempurna.

Ta’rif Riddah dan Murtad

Riddah dari segi bahasa ialah kembali2 manakala dari segi syaraknya riddah bererti kembali dari agama Islam kepada kufur3 atau menarik diri daripada memeluk agama Islam4. Riddah boleh berlaku dengan kata-kata yang jelas seperti seseorang mengatakan “aku syirik (sesuatu) dengan Allah” ataupun perkataan yang membawa kepada kufur seperti seseorang mengatakan bahawa Allah adalah sejenis jisim (benda / substance / matter) ataupun perbuatan yang mewajibkan kufur secara jelas seperti mencampakkan mushaf, atau sebagainya walaupun satu kalimah…, atau meletaknya di tempat yang kotor. Demikian juga kitab-kitab hadith atau kitab-kitab fekah dengan cara meremehkan dan menghina syariat dan hukum hakamnya. Riddah juga boleh berlaku apabila seseorang mengingkari (menolak) mana-mana hukum yang ijmakkan akan wajibnya oleh para ulama’ seperti hukum wajib solat lima waktu atau hukum haramnya zina…atau menolak mana-mana hukum yang diketahui secara darurah (automatik) daripada agama menurut Al Quran dan Sunnah yang mutawatir. 5 Sedangkan pelaku jenayah riddah pula dipanggil murtad, ertinya orang yang keluar daripada agama Islam.

Ridaah dan Murtad Menurut Al-Qur’an dan Al-Hadith

Riddah disebut di dalam al-Qur’an sebanyak dua kali; sekali dalam Surah al-Baqarah, ayat 217 dan sekali lagi dalam Surah al-Maidah, ayat 54. Di dalam Surah al-Baqarah Allah berfirman, maksudnya:

“Barangsiapa di antara kamu murtad dari agama-nya lau dia mati dalam keadaan kafir maka mereka itu, semua amal perbuatannya di dunia mahupun akhirat seluruhnya menjadi gugur (hapus) dan mereka itu menjadi penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya”

Manakala di dalam Surah al-Maidah pula Allah berfirman, maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad dari agamanya maka Allah akan mengadakan suatu kaum lain yang dicintai-Nya dan mereka cinta kepada-Nya dan bersikap lunak terhadap sesama mukmin dan keras terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan sesiapapun.”

Di dalam kedua-dua ayat di atas tidak dinyatakan sebarang hukum atau hukuman terhadap orang murtad. sepertimana yang difatwakan oleh para fuqaha’. Ayat-ayat bekenaan hanya menunjukkan bahawa orang-orang yang murtad terhindar daripada rahmat Allah SWT. Hukuman bunuh terhadap orang murtad didapati di dalam hadith-hadih Nabi SAW; antara lain sabda baginda yang bermaksud Barangsiapa menukar agamanya (daripada Islam kepada agama lain) hendaklah kamu bunuhkannya”6. Juga sabda baginda bermaksud “tidak halal darah seorang muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga sebab, iaitu penzina dewasa (yang sudah berkahwin secara sah), Qisas nyawa dengan nyawa dan orang yang meningggalkan agamanya (islam) dan memisahkan dirinya daripada jamaah (umat) Islam”7

Riddad dan Murtad di Dalam Fiqh al-Madhahib

Faktor-faktor Riddah

Terdapat tiga faktor terbesar bagi Riddah seperti berikut:

  1. Mengingkari sesuatu hukum yang diijmakkan tentangnya di dalam Islam, seperti mengingkari kewajiban solat, puasa, zakat, dan haji, mengingkari hukum haramnya minum arak, riba atau mengingkari bahawa al-Qur’an itu kalam Allah SWT.
  2. melakukan apa-apa perbuatan kufur seperti mencampakkan mushaf di tempat yang kotor, begitu juga mencampak kitab-kitab tafsir dan hadith dan seperti sujud kepada berhala dan mempratikkan apa-apa jenis ibadat orang-orang kafir atau memakai pakaian dan meminum minuman yang khusus bagi mereka.
  1. meleraikan diri ( tahallul) daripada agama Islam dengan mencerca Tuhan atau nabi atau agama Islam atau mengharuskan wanita berbogel atau melarang wanita memakai hijab8

Syarat-syarat sahnya Riddah

Para ulama’ bersepakat menetapkan dua syarat berikut bagi keabhsahan riddah9

Pertama: berakal

Riddah orang gila dan kanak-kanak yang belum sempurna akalnya tidak dianggap sah. Bagaimanapun ulama’-ulama’ mazhab yang empat berbeda pandangan tentang orang yang kehilangan akal kerana mabuk. Ulama’ Mazhab Hanafi mengatakan tidak sah riddah orang yang kehilangan akal disebabkan mabuk berdasarkan kaedah Ihtisan. Menurut mereka persoalan ini berkaitan dengan i‘tiqad dan qasad (niat), sedangkan orang mabuk tidak sah akadnya dan qasadnya, dia seperti orang yang tertidur dan orang gila yang tidak dibebankan dengan taklif10

Sebahagian ulama’ di dalam mazhab Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa riddah orang mabuk dengan sengaja adalah sah seperti mana sah juga talaknya dan segala tindak tanduknya. Alasannya ialah kerana para Sahabat r.a. telah mewajibkan hukuman tuduhan palsu (hadd-al-fariyyah) ke atas pemabuk, tetapi dia tidaklah dibunuh jika murtad di dalam keadaan mabuknya sehingga diminta bertaubat selama tiga hari setelah dia sedar11.

Kedua: Pilihan dan kerelaan

Para ulama’ sepakat tentang tidak sahnya riddah orang yang dipaksa jika hatinya tetap dengan iman12

Hukum bunuh ke atas orang murtad

Iman-iman mazhab yang empat sepakat mengatakan bahawa barangsiapa yang telah sabit (terbukti) murtad daripada Islam maka dia wajiblah dibunuh13. kesabitan itu sama ada dengan pengakuan atau dengan penyaksian dua orang saksi lelaki yang adil iaitu yang mempunyai ciri-ciri peribadi yang boleh dipercayai.14 Hukum bunuh orang yang murtad adalah berdasarkan kepada hadith-hadith yang telah dinyatakan di atas. Walaupun begitu menurut mazhab Hanafi wanita yang murtad tidak dibunuh sebaliknya ditahan sehingga bertaubat berdasarkan sebuah hadith yang melarang wanita dibunuh.

Diperintah bertaubat

Oleh kerana hukuman ke atas orang murtad atau pesalah riddah amat berat maka menurut kebanyakan ulama’ mazhab yang empat ianya tidak boleh dilaksanakan dengan segera. Sebaliknya orang yang murtad hendaklah disuruh bertaubat dahulu dan diberi masa selama tiga hari. Dalam jangka masa tersebut diusahakan memujuknya agar kembali kepada Islam dengan menerangkan kepadanya kebenaran dan kebaikan Islam kerana mungkin riddahnya disebabkan kekeliruan atau syubahah. Jika dia kembali semula memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah maka dia dibebaskan, tetapi jika dia enggan maka ketika itu hendaklah dibunuh15.

Pandangan ulama’ Tentang beberapa Hal Berkiatan Riddah

Al-Imam al-Qurtubi menyebut beberapa pandangan ulama’ yang berbeza tentang tiga masalah berkaitan dengan orang yang murtad; pertama: Adakah seorang yang murtad itu disuruh bertaubat atau tidak? Kedua; adakah amalannya terbatal dengan semata-mata berlaku riddah ataupun apabila dia mati atas kekufuran? Ketiga: Adakah harta-hartanya boleh diwarisi atau tidak?

Mengenai masalah pertama menurut al-Imam al-Qurtubi, ada pendapat yang mengatakaan bahawa orang murtad terus dibunuh tanpa diberi kesempatan bertaubat. Manakala mereka yang mengatakan bahawa orang yang murtad diberi peluang bertaubat pula berbeza lagi pandanganya tentang jangka masa yang diberikan; ada yang mengatakan satu hari, ada yang mengatakan tiga hari, malah ada yang mengatakan satu bulan.

Mengenai masalah kedua al-Imam al-Syafi‘i rh. berpendapat bahawa pahala amalan seorang yang murtad hanya akan terhapus jika dia mati di dalam kekufuran, tetapi jika dia kembali semula kepada Islam sebelum mati maka pahala amalannya tidak terhapus dan jika dia telah mengerjakan haji tidak perlu mengulanginya. Pandangan Imam Malik adalah sebaliknya; yakni pahala amalan orang yang murtad terhapus dengan berlakunya riddah dan perlu mengulangi hajinya jika dia telah mengerjakannya sebelum riddah. Pandangan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya jika engkau syirik (kepada Allah) nescaya gugurlah (pahala) amalanmu” (Surah al-Zumar: 65).Bagi Iman al-Syafi‘i ayat ini khusus untuk Nabi sebagai taghliz.

Adapun dalam masalah warisan pula ada yang menyatakan bahawa harta orang yang murtad boleh diwarisi oleh waris-warisnya yang beragama Islam, ada yang menyatakan ia diserahkan kepada Baitulmal dan ada pula yang menyatakan ia merupakan harta fai’16

Perkembangan Riddah di Dalam Sejarah Islam

Sejarah Islam menyaksikan beberapa peristiwa riddah; yang paling menonjol dan masyhur ialah riddah beberap kabilah Arab ekoran kewafatan Rasulullah SAW. Khalifah Abu Bakar r.a. telah berjaya menghadapi situasi yang genting ini dengan keimanannya yang kental serta ketegasannya. Al-Thabari menyebut beberapa kabilah yang telah murtad pada zaman pemerintahan Abu Bakar r.a., antaranya kabilah Ghatfan, penduduk al-Yamamah penduduk Yaman,Bahrain, Oman, Kabilah Hawazin, Bani Sulaym dan lain-lain.17

Peristiwa Riddah secara meluas dan besar-besaran juga pernah berlaku di Sepanyol bila mana umat Islam dipaksa menukar agama mereka kepada agama Kristian akibat kejatuhan kerajaan Islam di sana.

Fenomena Riddah berlaku lagi di negara-negara yang dikuasai penjajah Barat di mana gerakan Misionari giat dijalankan dan dapat memperngaruhi sebahagain umat Islam yang jahil dan lemah iman. Ada juga sebahagian Umat Islam yang menukar agamanya kepada agama-agama lain seperti agama Hindu dengan sebab-sebab tetentu.

Sebenarnya sejarah umat Islam tidak pernah menyaksikan kejadian riddah secara besar-besaran kecuali yang berlaku di Sepanyol sepertimana yang diisyaratkan di atas. Itu pun jika kita bersetuju menganggpkan paksaan menukar agama sebagai Riddah.18

Di Malaysia fenomena Riddah pada masa kini semakin membimbangkan dan diandaikan jika perkembangannya tidak diawasi dan dikawal angka orang-orang Islam yang murtad di negara ini akan meningkat berkali ganda lagi menjelang 2020 disebabkan faktor-faktor kejahilan, budaya hidonisme, ketidakpedulian sosial masyarakat Melayu, gejala Islam Liberal dan lain-lain lagi.19

Khatimah

Demikianlah serba sedikit idea yang dapat dikemukakan berhubung dengan fenomena riddah dari segi konsepnya dan perkembangannya. Semoga dapatlah dibincangkan dengan lebih panjang lebar untuk dicari penyelesaiannya demi masa depan agama Islam dan umatnya khusus di negara ini.

Terima kasih. Wassalamu ‘alaikum wrh. wbr.

Gelugor, Pulau Pinang
08 Zulqaedah 1427 / 29 November 2006

Nota Akhir

  1. Kertas kerja ini dibentangkan di dalam Persidangan Ulama’ Utara Semenanjung (PERANTARA 1) di Pusat Sumber Pendidikan Negari (PSPN), Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 1 – 2 Disember 2006.
  2. Al-Tahir Ahmad al-Zawi, Tartib al-Qamus al-Muhith, vol. 2, Dar al-Fikr, Beirut, (1378 H / 1959), hal. 323 – 324.
  3. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, vol. 7, Dar al-Fikr, Dimashq dan Dar al-Fikr al-Mu’asir, Beirut, hal. 5576.
  4. ‘Abdul Karim Zaydan, Islam dan Dakwah, (terj. Solehan bin Ayob), Pustaka Salam, Kuala Lumpur. (2002), hal. 324.
  5. Lihat ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala al-Madhahib al-Arba’ah, vol. 5, Dar al-Fikr, Beirut, (1342 H), hal. 432 – 433.
  6. Riwayat al-Jama’ah, kecuali Muslim, juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaybah dan ‘Abd al-Razzaq daripada ‘Akrimah daripada Ibn ‘Abbas. Rujuk al-Shawkani, Nayl al-Awtar, vol. 7, hal. 190.
  7. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Mas’ud r.’a., lihat Muhammad Ismail al-Shan’ani ,Subul al- Salam Sharh Bulugh al-Maram, vol. 3, hal. 231.
  8. Wahbah al-Zuhayli, op. cit., hal. 5577.
  9. ibid., hal. 5578.
  10. Ibid., loc. cit. Pandangan ini dinukilkan oleh al-Zuhayli daripada dua buah kitab Fiqah utama di dalam mazhab Hanafi; iaitu Bada’I‘ al-Sanai ’ oleh al-Kasani dan al-Durr al-Mukhtar oleh Ibn ‘Abidin
  11. Ibid., loc. cit.
  12. Ibid., loc. cit. Lihat juga ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, op. cit., hal. 5580.
  13. ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, Ibid., loc.cit.,
  14. Wahbah al-Zuhayli, op. cit., hal. 5577.
  15. Ibid., hal. 5578.
  16. Lihat perbincangan terperinci mengenai hal ini di dalam, al-Imam Abi ‘Abdillah al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, vol. 3, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut, t.t., hal. 47 – 48.
  17. Lihat Abu Ja’far al-Tabari, Tarikh al-Rusul wa al- Muluk, vol. 3, Dar al-Ma’arif, Kaherah, cetakan kedua, hal. 227 danm seterusnya.
  18. Baca buku Syed Abu al-Hasan ‘Ali Nadwi, Riddah wala Abi Bakrin laha, Academy of Islamic Research and Publications, Lucknow (1400H / 1980M).
  19. Baca buku Riduan Mohamad Nor & Mohd Asri Mat Daud, Murtad, Implikasi Hukum dan Fenomena, MHI Publication, Batu Caves, Selangor, (1427 H / 2006 M).

Tiada ulasan: