Rabu, Disember 16, 2009

Akademi Dakwah 2009

Perjalanan Aktivis Umat/Du'at

Hampir dua minggu perjalanan Madrasah Aktivis Dakwah (Mad’u) atau Akademi Dakwah 2009 anjuran sayap pemuda Persatuan Ulama’ Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) iaitu Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API) merencanakan pelbagai permasalahan umat yang meruncing belakangan ini. Program yang bermula di Sg. Dua, Pulau Pinang dan berakhir di Kg. Teluk Mat Acheh, Yan disusun dengan lapangan aktivisme yang pelbagai sebagai contoh serangan pemikiran, pendidikan, konflik umat Islam global, sosio ekonomi umat Islam, dakwah kelompok minoriti, alam sekitar dan kepenggunaan, permasalahan sosial dan penulisan.


Pengenalan dan Sesi Ta’aruf – 30 Nov. 2009

Sesi ta’aruf bermula jam 4.00 petang dengan kehadiran lebih 20 orang peserta. Para peserta memperkenalkan diri serta tujuan mereka menyertai Akademi Dakwah ini. Seterusnya para peserta dibekalkan dengan buku ‘monolog’, fail, pen, tentatif dan dokumen-dokumen yang berkaitan untuk memudahkan perjalanan AD selama 2 minggu ini. Akh Nizam Mahshar dijemput untuk mengisi slot pengenalan dengan tajuk Tasawwur Islami, yang diolah dengan begitu menarik ditambah pula dengan pengisian Ustaz Hafiz Nordin yang betajuk Pengantar Gerakan Islam.


Ghazwul fikr (serangan pemikiran) – (1 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang

Tajuk ; Pemikiran Islam, Sejarah dan Cabaran : Monoreligio Global, Perkembangan dan Cabaran pada dunia Islam yang disampaikan oleh Akh Nizam Mashar sebagai pengantar kepada pemikiran-pemikiran yang muncul menjadikan para peserta tersentak dengan istilah-istilah serta kalimah-kalimah falsafah yang agak memeningkan . Pemikiran sekularisme yang meracuni negara moden kini menjadi asbab kepada kefasadan yang berlaku kini turut dibentangkan. Petangnya, Akhi Izzat pula mengetengahkan tentang Pemikiran Islam yang agak berat tambahan pula pada waktu petang yang agak mendung, menambahkan lagi ‘aura’ mengantuk sementara Ustaz Hafiz Nordin pula membentangkan tentang Islam Liberal yang berkembang pesat ke seluruh dunia dan sejarahnya sehingga fahaman sesat ini semakin berkembang. Pada malamnya pula, Dr. Muhammad Ali dari SOLACE menyampaikan ceramah tentang Wacana Pemikiran Islam Baru sebagai penyelesaian serangan pemikiran yang telah dibentangkan sebelumnya. Beliau turut menyeru agar para peserta AD mengkaji dan mengambil iktibar tentang pemikiran-pemikiran ini serta melakukan sesuatu untuk membetulkannya semula.


Sistem Pendidikan Islam – (2 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang

Dr. Fadhullah Jamil dari Pusat Pendidikan Jarak Jauh USM yang juga seorang pakar sejarah Tamadun Islam pula membentangkan kertas kerja mengenai Falsafah Pendidikan Islam. Beliau begitu serius dalam membicarakan topik ini, dengan lantang dan nada yang agak keras tetapi mempunyai mesej yang jelas. Definisi Pendidikan Islam dihuraikan satu persatu memudahkan peserta memahami apa yang hendak disampaikan. Kritikan-kritikan ‘pedas’ yang dilemparkan menghilangkan rasa mengantuk peserta-peserta AD. Pengisian seterusnya mengenai Isu Pendidikan di Malaysia secara ringkas diberikan oleh Cikgu Sakinah membuatkan peserta merasai realiti sebenar tentang permasalahan yang berlaku dan sedikit pendekatan yang diberikan untuk bakal-bakal guru. Banyak soalan yang dikemukakan oleh para peserta menandakan mereka begitu peka tentang pendidikan di negara kita ini. Pada malamnya, peserta (secara berkumpulan) dikehendaki menganalisa satu permasalahan pendidikan di Malaysia meliputi faktor, kesan dan tindakan antaranya Kualiti Guru, Gejala Sosial, Kebanjiran pusat pengajian tinggi, masalah displin dan lain-lain.


Konflik Umat Islam Global – (3 Dis. 2009) Sg. Dua, Pulau Pinang

Kertas kerja Hj. Mohideen dari Citizens International (CI) mengenai Isu Global Umat Islam (State of The Muslim World) mendedahkan tentang cabaran dan masalah berlakunya konflik ini dan beberapa penyelesaian isu ini secara worldview. Lapangan ini menfokuskan Isu Selatan Thailand sebagai rujukan dengan menjemput Saudara Fawaz Abdul Aziz, bekas wartawan malaysiakini yang sekarang bertugas di CI dan merupakan seorang yang mahir tentang isu di Selatan Thailand. Beliau membicarakan tentang sejarah Selatan Thai dan sebab berlakunya ketegangan di sana dengan Kedatangan 2 orang wakil aktivis dari Selatan Thailand iaitu dari HAP (sebuah organisasi Hak Asasi Manusia) menceritakan sejarah dan pengalaman ditangkap membuatkan sebahagian peserta berasa sedih dan terharu. Pemuda-pemuda di sana yang ditangkap oleh dadu(baca:tentera) dipaksa mengaku melakukan jenayah walaupun bukan mereka yang melakukuannya. Pelbagai bentuk penderaan dikenakan untuk membuatkan mereka mengaku bersalah dan menyelesaikan kes-kes serangan bom. Pada malamnya, kami dipersembahkan tentang gambar-gambar dan video-video yang menayangkan perjuangan sahabat di Patani, Yala dan Narathiwat terhadap kerajaan Thailand yang menekan kehidupan mereka. Kemudian, Akh Saiful Affindi turut memperkenalkan sekteriat khusus untuk membantu menyelesaikan beberapa permasalahan di sana dengan kerjasama beberapa NGO-NGO Selatan Thailand.

*Kisah pengalaman dan penindasan yang diceritakan oleh aktivis dari Selatan Thai diatas dicoretkan dalam blog salah seorang peserta AD. Layari http://wwwqamarmuneera.blogspot.com/2009/12/mereka-saudara-kita.html

Sosio Ekonomi Umat Islam – (4 Dis. 2009) Tanjung Tokong dan Kg. Makam, Pulau Pinang

Kali ini kami menuju ke Pejabat Persatuan Penduduk Kg. Tanjung Tokong bersama dengan Pengerusi Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (PAJIM) yang mesra dengan panggilan Pak Usop. Turut sama hadir ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Kg. Tg. Tokong iaitu Cikgu Saleh. Kami didedahkan tentang sejarah kampung dan realiti yang berlaku antara pihak UDA Holdings dan penduduk kampung. Cikgu Saleh turut mengemukakan bukti-bukti tentang kewujudan masyarakat Melayu sebelum Pulau Pinang diserahkan kepada Francis Light lagi. Ternyata penduduk Kg. Tanjung Tokong ini peka dengan strategi pihak pemaju yang dilihat ingin mengaut keuntungan semata-mata. Selepas solat Jumaat di Masjid Tg. Tokong, kami bergerak ke Masjid Kg. Makam yang turut sama menjadi mangsa akibat kerakusan pihak yang menghidapi penyakit “wahanisme”. Kepentingan peribadi lebih diutamakan berbanding dengan kepentingan rakyat, lebih malang lagi aduan serta desakan yang dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab tidak pernah diendahkan. Penerangan beberapa penduduk kampung bersama Angkatan Bertindak Rakyat Tertindas mengenai tanah wakaf di situ menimbulkan kehairanan bagaimana pihak yang bertanggungjawab lalai menunaikan amanah dan cuai dalam menjaga tanah wakaf di sekitar Pulau Pinang.


Dakwah kelompok minoriti (Orang Asli) – (5-6 Dis. 2009) Sg. Siput, Perak

Peserta-peserta AD bertolak ke Sg. Siput, Perak dari Butterworth dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda Team 4x4 (Utara Offroad Club) sebanyak 11 buah. Kira-kira jam 5 pagi, kami tiba di Masjid Lasah dan berehat sebelum bertolak ke kaki bukit. Seawal 7 pagi, semua kenderaan pacuan 4 roda bertolak ke kaki bukit menuju ke Kampung Orang Asli Pos Kuala Mu. Kira-kira jam 12 tengah hari, kami tiba di sana dengan selamat walaupun pelbagai rintangan dihadapi. Antara program yang diaturkan ialah gotong-royong memasak untuk jamuan makan kepada masyarakat orang Asli (Pos Kuala Mu) ; cak raya, menziarahi Tok Batin, mengedarkan beras, dan beramah mesra dengan penduduk, menyaksikan tarian sewang dan lain-lain. Solat berjemaah dan tazkirah turut dijalankan walaupun suasana begitu sejuk pada sebelah paginya. Masyarakat orang Asli di sana kebanyakkannya masih belum mampu untuk menunaikan perkara-perkara asas Islam. Kami berasa belum puas walaupun kebanyakkan golongan kanak-kanak orang Asli mampu melafazkan kalimah-kalimah syahadah dengan baik. Kami tinggalkan bumi Kuala Mu dengan seribu kenangan pahit dan manis sambil menghayati bagaimana dakwah RasuluLlah yang begitu ‘berat’ berbanding apa yang telah kami alami.


Alam Sekitar dan Kepenggunaan – (7-9 Dis. 2009) Singkir, Kedah

Saudara Ridzuan bin Muhammad wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyampaikan slot beliau mengenai Kepenggunaan meliputi hak-hak pengguna, isu-isu kepenggunaan dan lain-lain. Para peserta begitu tertarik dengan perkara-perkara yang dibincangkan kerana kebanyakkannya berkisar tentang kehidupan mereka contohnya masalah urusan jual beli dan sebagainya. Isu halal dan haram yang dikemukakan kepada penceramah menyebabkan para peserta makin tertarik dengan isu kepenggunaan ini. Kemudian para peserta dikehendaki mem’bedah’ buku-buku kepenggunaan antaranya Masyarakat yang Sakit, Kesan Televisyen terhadap Anak-anak, Awasi Garam Tersembunyi dalam Makanan dan Merungkai Perangkap Budaya Pengguna. Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seterusnya membentangkan perkara-perkara pokok dalam buku tersebut. Keesokkan harinya, Saudari Fatin Safiah Kamaruddin dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) pula menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar dan beberapa isu alam sekitar di Malaysia. Para peserta kemudiannya diminta mem’bedah’ buku Islam dan Ekologi yang menjadi bahan bacaan wajib bagi aktivis alam sekitar SAM. Pada petangnya, Saudara Shamsul Ery Shamsuddin wakil Sahabat Alam Malaysia memberi penerangan tentang isu kuari Jerai yang mencetuskan konflik yang begitu hebat. Turut dimuatkan tentang isu SULIHH (Sungai Limau Hydro Carbon Hub) yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah di Pulau Bunting Yan. Para peserta dibawa ke Pulau Bunting untuk melihat sendiri isu ini serta membuat sedikit temu ramah dengan penduduk di sana. Malamnya, Akh Nizam Mashar dijemput menyampaikan ceramah tentang Alam Sekitar, Pembangunan dan Masyarakat yang menyentuh tentang punca-punca isu alam sekitar dan kaitannya dengan pemikiran, pembangunan secara Islam dan masyarakat.


Permasalahan Sosial – (10-11 Dis. 2009) Sg. Petani, Kedah

Kami kemudiannya menginap di Masjid Sultan Muzaffar Shah selama 2 hari untuk mengikuti LANDAS (Latihan Aktivis Dakwah Dalam Isu Sosial) bersama dengan Ustaz Kamaruddin Kassim (Koordinator LANDAS). Menyelami permasalahan sosial remaja hari ini yang begitu meruncing, para peserta dibawa ke lapangan untuk melatih diri ber’hemoi’ dengan mad’u masing-masing. Bukan sekadar teori, malahan praktikal dakwah turut didedahkan kepada para peserta Akademi Dakwah. Pelbagai strategi mendekati golongan muda-mudi yang terjebak dengan gejala sosial contohnya gejala menghidu gam, menghisap dadah, couple, meminum arak dan lain-lain lagi. Para peserta turut disajikan dengan video mengenai Sihir Muzik yang mendedahkan tentang perancangan musuh-musuh Islam serta peranan artis-artis Barat dalam menjatuhkan umat Islam. Kemudiannya, para peserta dikehendaki merangka teknik-teknik pencegahan yang boleh dilakukan dalam isu-isu gejala sosial contohnya gejala ponteng, pergaulan bebas, permainan video dan lain-lain. Antara pengalaman pahit yang dilalui oleh para peserta AD ialah ketika mendekati mad’u di Central Square(CS), diugut akan ditikam sekiranya tidak meninggalkan kawasan CS dengan segera.


Kronologi Peristiwa Ugutan di lapangan LANDAS
Pada sebelah petang hari kedua, kami menuju ke Tingkat 4&5 Central Square (CS) untuk meninjau suasana dan mendekati mad’u. Kawasan ini merupakan port bagi muda mudi berkumpul untuk berhibur, berkaraoke, bermain permainan video dan lain-lain. Kami dikejutkan dengan kehadiran segelintir remaja yang sedang mabuk ‘menyerang’ kumpulan kami. Mereka begitu agresif sehingga bertindak memecahkan botol arak yang sedang diminum berhampiran food court. Mereka kelihatan begitu paranoid memandangkan mereka ternampak salah seorang daripada peserta AD membawa kamera dan mengambil gambar di port mereka. Kesilapan ini mencetuskan kemarahan salah seorang remaja yang sedang mabuk dan bertindak mengugut untuk menikam kami sekiranya tidak beredar dengan segera. Sebenarnya mereka sudah mengesan kehadiran kami melalui ‘mata-mata’ yang berada di sekeliling bangunan CS. Ugutan demikian dibuat memandangkan mereka menganggap kami adalah merupakan penguatkuasa Majlis Agama Islam. Seorang daripada remaja yang mabuk datang menemui kumpulan kami dan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kesilapan peserta AD tadi yang mengambil gambar port mereka. Memikirkan akan keselamatan, kami mengambil langkah drastik dengan beredar dari CS beransur-ansur bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Dari pemerhatian kami, remaja-remaja ini dilindungi oleh pihak yang berkepentingan bagi melindungi kegiatan mereka; sebagai strategi perniagaan arak yang begitu lumayan di situ.


Dakwah dalam Penulisan – (12 Dis. 2009) : Yan, Kedah



Hari terakhir AD dimuatkan dengan ceramah mengenai penulisan oleh Saudari Siti Mariani Ali Imran, seorang Research Officer di USM. Pendedahan mengenai Public Relation(PR) dan teknik-teknik penulisan menarik minat para peserta. Pada sebelah petangnya, peserta dikehendaki merangka pelan penulisan akan datang sebagai langkah memperkukuhkan penulisan khususnya dalam lapangan dakwah masing-masing. Slot terakhir lapangan penulisan diisi oleh Ustaz Azizi Abdullah, seorang penulis yang tidak asing lagi. Beliau menfokuskan mengenai penulisan artikel bagi memudahkan peserta menyiapkan tugasan artikel yang diberi sebelum berakhirnya AD. Beliau turut berharap agar perjalanan AD 2009 ini dijadikan diari sebagai platform untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang lapangan aktivisme ini disamping boleh dijadikan bahan komersial kepada pihak-pihak yang berminat.

Tiada ulasan: