Selasa, Mac 31, 2009

Peningkatan jenayah libatkan pelajar fenomena membimbangkan - KPN

KUALA LUMPUR 31 Mac — Peningkatan kes jenayah melibatkan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menjadi satu fenomena cukup membimbangkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata pada tahun 2007 sebanyak 1,836 kes dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan dan 3,241 daripadanya adalah pelajar berumur 13 hingga 18 tahun manakala pada 2008 meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan dan 3,629 dari jumlah berumur 13 hingga 18 tahun.

“Antara kes-kes tersebut termasuklah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri, pecah rumah dan lain-lain kesalahan jenayah,” katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-39 Pasukan Kor Kadet Polis yang disambut di seluruh negara hari ini.

Perutusan itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat sempena sambutan peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Musa berkata hasil kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia mendapati 87 peratus “Mat Rempit “ terdiri daripada golongan berusia 14 hingga 25 tahun.

Kajian itu menunjukkan 48.1 peratus Mat Rempit disebabkan oleh kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.

“Berdasarkan perangkaan itu, jelas menunjukkan pembabitan pelajar dalam pelbagai kes jenayah sentiasa meningkat. Gejala tersebut boleh dibendung sekiranya pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas tentang kesan dan akibatnya jika terjerumus di dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Musa berkata anggota Kor Kadet Polis, yang kini mencecah 89,110 ahli di seluruh negara, boleh bertindak sebagai mata dan telinga Polis bagi memainkan peranan utama dalam mengurangkan masalah itu terutama gengsterism yang menjadi kegusaran ibu bapa, sekolah dan masyarakat.

Selain itu, katanya Kor Kadet Polis perlu memberi input dan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi satu kewajipan selari dengan tugas dan tanggungjawab polis.

“Sumbangan dan input maklumat dari warga Kor Kadet Polis kepada PDRM dipandang penting dan serius sekali kerana maklumat yang disalurkan mungkin dianggap penting dan berguna dalam menyelesaikan sesuatu kes,” katanya. - Bernama

Jumaat, Mac 27, 2009

Alam - La Nina


La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan, berlawanan El Nino yang membawa kemarau

DALAM tempoh seminggu bermula 3 Mac lalu, bandar raya Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor dilanda banjir kilat akibat hujan lebat antara tiga hingga tujuh jam menyebabkan lebih 300 kenderaan musnah dihanyutkan air manakala lebih 1,200 penduduk terpaksa berpindah.

Banjir kilat itu menyebabkan kira-kira 40 orang terperangkap dalam bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) manakala hampir semua jalan utama di ibu negara mengalami kesesakan teruk berikutan air naik mendadak.

Kebiasaannya, menjelang Mac, cuaca di Malaysia dikatakan mengalami musim panas tetapi situasi sebaliknya berlaku. Semua ini mempunyai kaitan dengan La Nina, iaitu fenomena yang mana suhu permukaan di Lautan Pasifik Tengah dan Timur menjadi lebih rendah daripada biasa.

Fenomena ini berlaku disebabkan tekanan atmosfera permukaan di khatulistiwa Pasifik Barat menurun menyebabkan pembentukan awan lebih banyak dan hujan lebat. Ringkasnya, La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan dan ia berlawanan dengan fenomena El Nino yang membawa perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau.

Di Malaysia, secara umumnya jumlah hujan melebihi purata dijangka berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara, namun, taburan hujan ini bergantung kepada pelbagai faktor lain selain faktor La Nina.

Perlu diketahui, kekuatan La Nina dan faktor masa juga memberi impak yang berbeza terhadap jumlah taburan hujan.

Hakikat sebenarnya, walaupun beberapa kawasan dilanda banjir kilat, negara ini masih selamat kerana ketika ini perubahan yang berlaku itu hanya disebabkan ‘La Nina lemah’ dan Pertubuhan Meteorologi Dunia belum pasti sama ada fenomena ini akan berterusan atau sebaliknya.

Ini kerana, perubahan data bacaan indeks suhu permukaan lautan hanya mencatatkan peningkatan yang sedikit iaitu -0.6 bagi November 2008 hingga Januari 2009 kepada -0.8 bagi Disember 2008 hingga Februari 2009.

Pengarah Bahagian Pembangunan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Wan Azli Wan Hassan ketika mengulas situasi terkini itu berkata, belum ada mana-mana pihak yang benar-benar yakin fenomena itu akan meningkat dan mereka perlu menunggu sehingga tamat Mac ini bagi bacaan perubahan seterusnya.

“Memang ada perubahan ketara jumlah taburan hujan di beberapa kawasan dan secara kebetulan ia berlaku di Kuala Lumpur dan Johor Bahru menyebabkan banjir kilat. Jika ia berlaku di Temerloh (Pahang), mungkin tidak memberi kesan apa-apa.

“Secara umumnya tempoh La Nina adalah antara sembilan hingga 12 bulan tetapi bagi sesetengah keadaan, mungkin boleh menjangkau sehingga dua tahun. Kajian saintis dunia menerusi pelbagai agensi meramalkan peningkatan tetapi belum ada pihak yang benar-benar pasti mengenainya,” katanya.

Berdasarkan rekod kajian, kali terakhir fenomena La Nina melanda dunia ialah pada April 2007 hingga Julai 2008 sebelum keadaan cuaca dikategorikan normal pada Mei hingga Disember 2008. Bagaimanapun, bacaan indeks menunjukkan peningkatan semula selepas itu hingga sekarang.

Dr Wan menjelaskan, fenomena La Nina dan El Nino memberi impak global kepada kehidupan seluruh dunia, corak iklim dan di kebanyakan lokasi terutama di kawasan tropika, La Nina menunjukkan variasi iklim yang berlawanan dengan El Nino.

Contohnya, sebahagian Australia dan Indonesia terdedah kepada keadaan kemarau ketika El Nino tetapi hujan lebat melebihi paras normal ketika La Nina melanda.

Sehubungan itu, katanya, ketepatan ramalan keadaan ini menjadi penting bagi memberi gambaran kemungkinan episod iklim melampau seperti banjir dan kemarau akan berlaku sekali gus dapat mengelakkan sesebuah negara daripada mengalami kerugian besar.

“Ramalan kedatangan fasa sejuk atau panas adalah amat kritikal terutama bagi sektor pengangkutan, pertanian, tenaga dan pelbagai lagi bagi mengelak kerugian. Kemajuan ramalan iklim ini dapat meningkatkan peluang ekonomi terutama dalam bidang pertanian, perikanan, perhutanan dan sektor tenaga dan faedah sosial.

“Jika ia dapat diramal awal, kerajaan dan orang ramai dapat bersedia lebih awal, misalnya banjir yang sering memusnahkan barang perniagaan, kenderaan dan kerosakan harta benda,” katanya.

Rabu, Mac 11, 2009

Jawab untuk Isu Tindakan MCA; Mahkamah Syariah selari kehendak Perlembagaan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Persetujuan ibu atau bapa bagi tukar agama anak bawah 18 tahun jelas ikut undang-undang

JABATAN Agama dan Mahkamah Syariah difitnah lagi. Ketua Biro Pendidikan Politik MCA, Gan Ping Sieu menempelak keputusan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang dikatakan membenarkan seorang bayi berusia 15 bulan, memeluk Islam.

Tindakan memeluk Islam itu dibuat secara berseorangan oleh ibu kandung bayi berkenaan Siti Zubaidah Chew Abdullah tanpa persetujuan bapa. Mahkamah Syariah Seremban juga sudah memberi hak penjagaan sementara kepada Siti Zubaidah bagi menjaga anaknya itu.

Maka pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah akibat ketidakpuasan hati mereka. Antaranya, seperti dilaporkan dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan dan laman web malaysiakini.com iaitu:

· Keputusan berkenaan adalah suatu penghinaan kepada mana-mana sistem keadilan;

· Mahkamah Syariah mengambil kesempatan atas masalah yang melanda pasangan dan keluarga itu, dan

· Hak penjagaan anak mesti diputuskan oleh Mahkamah Sivil kerana anak itu lahir daripada perkahwinan sivil dan Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Malah, MCA menyifatkan keputusan menukar agama kanak-kanak bukan Islam berusia 15 bulan sebagai 'keghairahan agama berlebihan' dan 'salah guna sewenang-wenangnya' tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Gan juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan mengambil kesempatan melalui proses perundangan syariah sehingga menjejaskan pasangannya dan anggota keluarga suami.

Tuduhan sebegini amat keterlaluan yang muncul daripada kejahilan mereka sendiri berkaitan Perlembagaan Persekutuan daripada sudut penafsiran, kerangka dan sejarahnya. Malah, ia juga meminggirkan keputusan Mahkamah Sivil sendiri.

Kenyataan Gan menyinggung perasaan orang Islam. Gan juga gagal memahami dwi sistem perundangan yang diamalkan di negara kita.

Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri."

Perkara 12 (4) pula menegaskan: "Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya."

Jelas peruntukan yang disebut itu membenarkan salah seorang ibu atau bapa menukar agama anaknya. Perlembagaan Persekutuan yang juga undang-undang tertinggi memperuntukkan sedemikian.

Jika kita menjunjung Perlembagaan itu sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Syariah adalah selari dengan kehendak Perlembagaan.

Sebenarnya ada beberapa kes Mahkamah Sivil iaitu Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun.

Namun, Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam kes Nenduchelian memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu bapa saja diperlukan. Dalam hal demikian ada perbezaan keputusan antara mahkamah berkenaan.

Namun, perbezaan keputusan sudah diselesaikan oleh keputusan mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan. Ini kerana, baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes Subahsini dan Saravanan bahawa salah seorang ibu bapa boleh menukar agama anak kecilnya itu.

Oleh demikian, kedudukan undang-undang ini sudah pun diselesaikan dan mahkamah bawahan tidak mempunyai pilihan lain selain mengikuti keputusan itu.

Jika Gan tidak menerima keputusan Mahkamah Syariah kenapa pula keputusan Mahkamah Sivil ini tidak diperlekehkan? Adakah Gan mempunyai agenda tertentu dalam komentarnya itu?

Tidak timbul soal mengambil kesempatan dalam sebarang situasi. Sebenarnya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak bertanding antara keduanya.

Masing-masing mempunyai bidang kuasa tertentu dan tidak melangkaui batasan yang digariskan itu. Hakikat ini amat dipertahankan oleh kedua-dua mahkamah namun pihak ketiga pula yang gagal mengamati hikmahnya, lantaran desakan emosi serta minda yang tertutup.

Lebih menghairankan, Gan langsung tidak menyentuh ketidakadilan yang berlaku kepada mualaf dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Apa yang ingin digambarkan oleh Gan ialah akta itu adalah akta terbaik yang tiada cacat celanya dan adil kepada semua pihak.

Penulis mengambil contoh seksyen 51 akta berkenaan hanya memberi kuasa kepada pihak yang tidak memeluk Islam saja memohon membubarkan perkahwinan mereka. Bagi mualaf yang memeluk Islam, hak mereka langsung tidak diberikan untuk membubarkan perkahwinan itu.

Mereka langsung tidak mempunyai pilihan di Mahkamah Sivil, sebaliknya terpaksa menunggu pasangan yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil barulah boleh memohon sesuatu di mahkamah sedangkan keIslaman mereka sudah diiktiraf dan dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 menganut dan mengamalkan agamanya.

Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menoleh ke Mahkamah Syariah untuk memutuskan kedudukan mereka di sisi hukum syarak. Tatkala berbuat demikian, mereka diterjah pelbagai tohmahan mengatakan mereka melakukan penindasan dan sebagainya.

Sebenarnya, mualaf inilah yang ditindas oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 itu. Mengapa Gan langsung tidak menyentuh hal demikian dan tidak menyarankan supaya seksyen 51 itu dipinda? Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh Gan.

Memanglah diakui mencari jalan penyelesaian yang memuaskan hati semua orang adalah amat sukar. Oleh itu, kita mesti berbalik kepada asas dan kerangka perlembagaan itu sendiri. Malah, keputusan Mahkamah Sivil juga memihak kepada Mahkamah Syariah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan dan terimalah hakikat itu.

Mahkamah Syariah memutuskan pertikaian berdasarkan kepada nas agama. Amat keterlaluan jika dikatakan Mahkamah Syariah terlalu ghairah dalam agama. Agama adalah tunjang Mahkamah Syariah dan tiada istilah ghairah dalam perjalanan prosiding Mahkamah Syariah.

Segala-galanya sudah ditunjukkan oleh agama. Oleh demikian, orang bukan Islam perlu lebih sensitif dan memahami perasaan orang Islam. Orang Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam tetapi apabila seseorang itu sudah Islam adalah menjadi tanggungjawab orang Islam membantu saudara seagamanya tanpa mengira sama ada mereka dilahirkan Islam atau baru memeluk agama Islam.

Hakikatnya ialah Gan dan MCA yang sebenarnya terlalu ghairah memperlekehkan institusi Islam tanpa membuat penyelidikan mengenai kedudukan undang-undang dan perlembagaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

MCA; Bermain API

MCA: Mahkamah syariah 'terlalu ghairah agama'

Malaysiakini

Mar 6, 09 3:12pm

MCA menyifatkan keputusan menukar agama kanak-kanak bukan Islam berusia 15 bulan sebagai "keghairahan agama berlebihan" dan "salah guna sewenang-wenangnya" tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

"Peluasan tidak sewajarnya bidang kuasa mahkamah syariah dalam kes seumpama ini memburukkan lagi keadaan," kata ketua biro pendidikan parti itu Gan Ping Sieu.

Beliau mengulas keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan baru-baru ini selepas dimohon oleh si ibu Chew Yin No, atau nama mualafnya Siti Zubaidah Chew Abdullah, tanpa persetujuan si bapa Hoo Ying Soon.

Kanak-kanak itu dilaporkan ditukarkan namanya kepada Nurul Syuhada Chew Abdullah pada 3 Februari selepas ibunya menganut Islam pada 28 Januari.

Manakala mahkamah syariah negeri itu memberikan hak penjagaan sementara Nurul Syuhada kepada Siti Zubaidah.

Gan menambah, bidang kuasa khusus mahkamah syariah untuk orang Islam seperti Perkara 121 (A) tidak bermakna Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sivil harus tunduk pada peraturan Islam.

"Perkahwinan pasangan itu dibuat dalam bidang kuasa sivil, maka perceraian dan isu-isu yang berbangkit mestilah diselesaikan menurut undang-undang sivil," katanya.

MCA berpendapat, keputusan menukar agama anak harus diputuskan bersama oleh kedua-dua ibu bapanya tetapi ia melibatkan penjelasan beberapa teks berkaitan perlembagaan.

Tambah Gan, pada 1980-an, perkataan "ibu bapa" yang membawa maksud jamak dalam Kamus Dewan digunakan dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan seperti diterbitkan oleh Percetakan Nasional.

"Bagaimanapun, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Percetakan Nasional secara misteri telah menukar 'ibu bapa' kepada 'ibu atau bapa' (maksud tunggal)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gan juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan mengambil kesempatan melalui proses perundangan syariah sehingga menjejaskan pasangannya dan anggota keluarga suami.