Memaparkan catatan dengan label Kenyataan Media. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenyataan Media. Papar semua catatan

Khamis, April 08, 2010

ABABIL Mendesak Kaji Semula Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee)

Penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama (Inter-religious Understanding Committee) pada bulan Februari yang lalu di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya dikaji semula secara menyeluruh melibatkan tokoh-tokoh agamawan serta tokoh-tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama. Langkah ini bertujuan mencegah daripada berlakunya pertelingkahan yang melibatkan dasar agama terutamanya Islam yang memerlukan kefahaman kerangka asas Islam iaitu ‘aqidah dan syari‘ah serta kepakaran dalam pentafsiran al-Qur’an dan al-Hadith mengikut sumber kelimuan yang sahih lagi benar.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini ditubuhkan bertujuan mengenal pasti dan menyelesaikan pertikaian berkaitan dengan agama bagi mengelakkan perselisihan faham yang boleh menggugat keharmonian negara. Namun begitu, Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) berpendapat bahawa penglibatan ahli jawatankuasa serta matlamat utama penubuhan jawatankuasa ini seharusnya dikaji semula dengan lebih mendalam dan telus.


Jawatankuasa ini yang bernaung di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) seharusnya memfokuskan perpaduan kaum yang melibatkan kepelbagaian kebudayaan serta adat resam dalam masyarakat dalam mewujudkan keharmonian negara. Penglibatan JPNIN dalam mewujudkan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama sedikit sebanyak menyisih bidang kuasa autoriti agama yang lain secara tidak langsung seperti Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, dan lain-lain lagi.

Malah, penubuhan Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini dilihat tidak bertujuan membawa perpaduan antara agama tetapi lebih kepada toleransi antara agama. Perkara ini perlu dipandang serius kerana tujuan perpaduan antara agama sepatutnya melibatkan pendidikan yang intensif kepada masyarakat dan bukannya perbincangan setelah masalah antara agama terjadi. Dari perspektif Islam pula, perkara-perkara yang berkaitan ‘aqidah dan syari‘ah tidak wujud soal toleransi sehingga mengorbankan prinsip asas dalam Islam seperti yang terkandung di dalam surah al-Kāfirūn, surah ke-109 ayat ke-6 iaitu,

"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku"

Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, antara perkara yang akan dibincangkan di dalam jawatankuasa ini ialah isu kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh Herald Tribune. Di samping itu, menurut ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama, Datuk Ilani Datuk Isahak, pertikaian agama yang bakal diketengahkan juga termasuk pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah-rumah ibadat dan isu tanah perkuburan. Jika dilihat secara jujur, kesemua isu ini langsung melibatkan hubungan Islam dengan agama-agama lain. Situasi ini nampaknya begitu serius kerana perkara-perkara yang disentuh bukanlah perkara-perkara remeh dalam Islam, tetapi perkara yang melibatkan dasar Islam itu sendiri iaitu ‘aqidah dan syari‘ah. Kebimbangan ABABIL bertambah kerana dasar-dasar perbincangan ini seakan-akan mirip tujuan penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang menjadi kontroversi suatu ketika dahulu.

Bagi sesebuah jawatankuasa yang bertujuan menyelesaikan pertikaian agama, keahlian seharusnya diberikan kepada orang yang benar-benar pakar dalam bidang keagamaan. Islam terutamanya menekankan dasar keilmuan al-Qur’an dan al-Hadith dalam meletakkan prinsip hidup seseorang Muslim serta masyarakat di atas jalan yang benar. Kegagalan dalam menguasai bidang keilmuan sebegini boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat timbul sehingga menyebabkan kesesatan ‘aqidah yang menjadi pegangan asas seseorang Muslim.

Walaupun Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyatakan jawatankuasa ini tidak melibatkan ahli politik, tetapi Datuk Ilani Datuk Isahak merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu yang berlatarbelakangkan politik secara langsung. Ketelusan dalam pemilihan Ketua Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini sepatutnya dititikberatkan dengan memilih tokoh agamawan yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh politik dan diiktiraf oleh semua agama.

Penglibatan ulama’ yang diiktiraf bagi mewakili masyarakat Islam seharusnya di ambil kira sebagai langkah utama. Kepakaran ilmu golongan ulama’ sangat penting dalam menentukan sesuatu keputusan berkaitan masalah-masalah yang melibatkan Islam. Kesilapan tidak meletakkan ulama’ yang benar untuk membincangkan perkara dasar Islam dalam jawatankuasa ini menyebabkan ketegangan antara agama di Malaysia khususnya akan menjadi lebih parah seperti kata pepatah “tikus membaiki labu”.

Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) di bawah Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) mendesak kajian semula terhadap penglibatan ahli Jawatankuasa Persefahaman Antara Agama ini yang sepatutnya mengambil ulama’, tokoh agama dan tokoh intelektual yang diiktiraf oleh semua agama bagi mengelakkan kecelaruan dasar agama yang seterusnya menggugat keharmonian negara. Matlamat utama jawatankuasa ini juga sepatutnya dijelaskan secara telus supaya bidang kuasa mutlak Institusi Istana, Mahkamah Syari‘ah, Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan serta badan-badan autoriti agama yang lain tidak diketepikan secara langsung atau secara halus.

‘Izzat Anwari bin Hasni

Koordinator

Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL)

Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP)

Khamis, April 02, 2009

Bantahan Terhadap Penyiaran Drama Gay dan Lesbian di Malaysia

KENYATAAN MEDIA


M
erujuk kepada maklumat yang diterima daripada artikel-artikel di internet dan juga akhbar utama tempatan yang melaporkan keberanian produser Sheila Rusly bersama suami, Azman Yahya atau Jinggo menerbitkan dua drama terbaru yang dijangka bakal mengundang kontroversi di negara ini, kami mendesak agar penyiaran drama ini dan drama-drama lainnya termasuk filem-filem yang berkaitan disekat oleh pihak yang berwajib.

Menerusi drama Mabuk Estrogen, paparan adegan 'bercium' dua pelakon lelaki diketengahkan.

Begitu juga dengan drama Donut yang ingin mengangkat kisah homoseksual yang dibawa seorang pelakon lelaki melakonkan watak pondan yang lengkap berpakaian wanita.

Walaupun pihak produser menyatakan mereka hanya ingin memberi pengajaran kepada penonton, apa yang dikhuatiri adalah adegan yang tidak sepatutnya dipaparkan dalam drama ini yang berani menunjukkan penampilan menjolok mata atau aksi kurang sopan seperti berpelukan, melawan ibu bapa atau remaja yang terjebak dengan masalah sosial hingga tiadanya batas pergaulan antara lelaki dan wanita.

Hakikatnya penonton yang tidak berfikiran matang seperti remaja mudah terpengaruh atau terikut-ikut untuk mencontohi perlakuan sebegini. Lihat sahaja berapa banyak belia kita yang menjadi hantu rempit, kami dapati mat-mat rempit ini berbangga jika mereka sering diutarakan dalam drama-drama dan berita. Bilangan mereka juga semakin bertambah dengan penyiaran drama ‘Rempit vs Impak Maksima’ di televisyen tempatan. Sebenarnya, mesej nasihat boleh disampaikan dengan hanya menggunakan dialog yang berkesan tanpa perlu melakonkan adegan-adegan yang tidak bermoral.

Akhir-akhir ini, terlalu banyak drama dan filem melayu sama ada bersifat ‘mainstream’ ataupun ‘underground’ yang memaparkan watak pondan, lesbian dan gay. Perbuatan ini seolah-olah mengiktiraf gaya hidup pondan, lesbian dan gay sebagai satu norma masyarakat.

Sebelum ini pun, sudah banyak filem, drama dan teater yang mengangkat kegiatan tidak bermoral ini untuk diperkenalkan kepada masyarakat, setakat yang diingati, filem gay melayu pertama malaysia iaitu Comolut ( cium mulut ) yang ditayangkan di festival filem underground malaysia, teater Patung Kertas dan juga teater Vagina Monolog yang mempromosikan budaya pondan dan seks bebas. Mengapa perkara ini terus dibiarkan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia yang majoritinya adalah Melayu Islam.

Golongan-golongan yang berfahaman liberal dan sekular, sangat lantang mempertahankan cara hidup yang tidak bermoral ini atas alasan hak asasi manusia dan kebebasan individu. Perlu diingatkan, kebebasan yang dijamin oleh pemerintah tidak boleh disalah ertikan. Setiap orang bebas melakukan apa sahaja selagi tidak mengganggu dan merosakkan masyarakat. Perkara-perkara yang tidak bermoral ini, lambat laun akan merosakkan masyarakat dengan dahsyat sekali sepertimana yang telah berlaku di barat. Tiadalah erti kemajuan itu, jika nilai-nilai akhlak mulia terhapus. Nilai-nilai akhlak ini pula seharusnya tidak berubah-ubah dan seharusnya dilihat pada pandangan Allah dan bukan pada pandangan manusia.

Seseorang yang merosakkan orang lain, patut dihukum. Meskipun seseorang itu bebas dan merdeka, jika kemerdekaannya itu menyebabkan dia lalai daripada kewajipannya menjaga kemerdekaan orang lain bahkan merosakkan masyarakat, hukuman itu adalah memang sudah semestinya. Menghukumnya itu adalah kewajipan bagi pemerintah pula.

Kami ulangi saranan supaya pihak berwajib mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani permasalahan sosial yang membarah dalam masyarakat kita ini.

Nurfitri Amir b Mohammad
Timbalan Pengerusi API/Ketua Usrah Sosial API
Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)


(Surat bantahan juga telah dihantar kepada YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato' Wan Mohammad Dato' Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah JAKIM)

Isnin, Februari 16, 2009

PUMPP SELAR PENGANJURAN MUSAWAH MEMBAWA AGENDA ISLAM LIBERAL KE MALAYSIA DAN MEMPERTIKAIKAN PRINSIP-PRINSIP ASAS ISLAM

Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dengan ini menyelar sekeras-kerasnya program ‘Musawah’ iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS). Pertemuan Musawah dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulama’ muktabar.

Perjumpaan ini bakal dihadiri oleh pelbagai tokoh Liberal Muslim yang dipertikaikan oleh ulama’ Islam muktabar. Mereka yang hadir termasuklah Muhammad Khalid Masud iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain.

200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 40 buah negara dan berkumpul di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2009 bagi menghadiri mesyuarat 5 hari tersebut. Perjumpaan tertutup ini juga tidak membenarkan penyertaan dari pihak luar selain dari jemputan tertutup mereka. PUMPP melihat perjumpaan dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan barat dengan tujuan meliberalkan Islam dan mengharapkan pihak penguatkuasa dapat menyiasat punca sumber-sumber dana membiayai program terbabit.

Perjumpaan ini juga akan akan memberi persepsi dan negatif kepada Malaysia yang bakal digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita terutama apabila perjumpaan ini bakal dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang akan merasmikan perjumpaan tersebut.

PUMPP juga menyelar kehadiran pimpinan negara bagi merasmikan program tersebut seolah-oleh tidak merujuk terlebih dahulu kepada pihak autoriti agama dalam negara seperti JAKIM dan Majlis Mufti.

Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang bakal dibentangkan semasa perjumpaan dilihat berhajat untuk menginterpretasikan semula al-Qur’ān dan al-Hadīth dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga bakal mengenengahkan isu hak samarata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini bakal dipertikaikan dengan melanggar segala syari‘at yang dibawa oleh al-Qur’ān dan al-Sunnah.

PUMPP juga mengharapkan kumpulan-kumpulan dan masyarakat bukan Islam tidak terpengaruh dengan propaganda kumpulan Liberal Islam ini dan tidak campurtangan dalam urusan aqidah dan prinsip-prinsip ajaran Islam sepertimana Islam mengajar penganutnya untuk tidak campurtangan dan menghormati dalam ajaran agama-agama lain sepertimana penegasan al-Qur’ān:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ (109:6)

109:6 Unto you, your religous law, and unto me, mine!

Sehubungan dengan itu, PUMPP menyelar pelaksanaan program ini dan dilihat bakal merosakkan lagi aqidah umat Islam di Malaysia seterusnya membawa perpecahan kepada umat Islam dan member persepsi yang salah kepada Islam kepada semua pihak termasuk masyarakat dunia yang hadir dan melihat perkembangan di Malaysia.

Dr Wan Salim Wan Mohd Nor,

Yang Di Pertua,

Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP).

Rabu, Ogos 20, 2008

Sumpah harus dilaksanakan berdasarkan tuntutan Islam

Kenyataan Media

19 Ogos 2008

Sumpah Harus Dilaksanakan Berdasarkan Tuntutan Islam

Persatuan Ulamak Malaysia Pulau Pinang (PUM PP) merujuk kepada isu sumpah (mubahalah) yang telah dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan (pendakwa - mudda’i) berhubung pertuduhan liwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadapnya. PUM PP berpandangan adalah tidak wajar mempolitikkan isu sebegini dan pihak-pihak tertentu yang menggunakan nama Islam dan Syariah untuk kepentingan tertentu harus berhenti sama sekali dari berbuat demikian. PUM PP menyarankan agar isu ini diselesaikan mengikut peraturan dan Syariat Islam sepertimana yang digariskan dalam undang-undang Syariah Islam jika benar pihak terbabit ikhlas mahu menyelesaikannya mengikut lunas-lunas Islam.

PUM PP menyatakan pendirian bahawa bersumpah dengan memegang Al-Quran tidak ada dalam tradisi dan Syariat Islam dan tidak wajar dicampur-adukkan dalam sumpah yang dilakukan itu.

PUM PP juga menyatakan bahawa pendakwa (Saiful) tidak ada keperluan untuk melafazkan sumpah memandangkan beliau adalah di pihak yang membuat pertuduhan. Dalam Syariat Islam, kes ini diklasifikasikan sebagai kes Hudud (dalam bab zina) dan pendakwa wajar membawa bukti mengikut Syarak bahawa perlakuan liwat berlaku dan perkara ini akan dibicarakan di mahkamah selaras kaedah feqah “al bayyinah alal mudda’i wal yaminu ala man ankara” – pihak pendakwa perlu mengemukakan bukti (4 orang saksi) manakala yang menafikan dikehendaki bersumpah.

Pada asasnya, Islam meletakkan peraturan yang jelas bagi memungkinkan keadilan dicapai melalui proses kehakiman dan pembuktian terlebih dahulu sebelum sebarang sumpah dilafazkan. Sumpah sebegini tidak wajar dilaksanakan sebelum proses kehakiman diselesaikan.

Perkara yang berlaku ini akan memberi kesan buruk antara lain kepada perlaksanaan sistem kehakiman Syariah di Malaysia apabila pada masa akan datang pelbagai pihak boleh menggunakan ini sebagai “precedent” bagi mendahulukan sumpah terutama dalam kes li'an sebelum proses kehakiman dapat dilakukan. Proses pembuktian dan pengadilan akan diketepikan dan pihak yang bersalah boleh memilih untuk menggunakan sumpah (yang tidak memerlukan pembuktian) bagi menyelamatkan diri dari penghukuman.

PUM PP menyeru semua pihak agar tidak menggunakan nama Islam dan Syariah tanpa mengikuti peraturan Syariah yang sebenarnya bagi tujuan politik “Machiavelli” mahupun kepentingan peribadi. PUM PP juga menyeru agar beberapa ulamak dan agamawan untuk merujuk dan menerima pandangan ulamak dan pakar lain sebelum membuat apa-apa kenyataan yang bakal memburukkan keadaan dan tidak memungkinkan proses keadilan dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan sempurna di negara.

Dalam hal ini dan apa juga masalah semua pihak digesa untuk merujuk kepada prinsip ta’awun seperti mana yang ditekan oleh Al Quran.

Dr Wan Salim Wan Mohd Nor

Yang di Pertua

Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUM PP)