Khamis, Julai 17, 2014

Uzlah Tazkiyah: "Mengutip mutiara ilmu sebagai pedoman hidup"

Alhamdulillah.. Berkat rahmat ALLAH s.w.t, Uzlah Tazkiyah kali ini yang membawa tema, "Penyucian Jiwa Menghadapi Fitnah Akhir Zaman" berjalan lancar selama 3 hari 2 malam di Teluk Nipah, Kedah.

Sedikit perkongsian ilmu buat tatapan sahabat-sahabat yang tidak berkesempatan untuk menyertai uzlah kali ini.


Mejar Zaidi mengetuai slot riadah: Survival dalam hutan

Tazkirah Subuh oleh Ustaz Afif Zuhdi

Mentadabbur ayat ALLAH dalam Surah Taha dan An-Nahl bersama Ustazah Mardziah Zakaria. 

 

Petikan dari ayat 124: Surah Taha
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan pertunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Petikan dari ayat 97: Surah An-Nahl
"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan".    
 
Berdasarkan kedua-dua ayat ALLAH ini, jelas bahawa ALLAH menunjukkan perbezaan hidup hamba-NYA yang ingar dan yang beramal soleh. 

Peringatan ini sangat jelas ditujukan kepada kita. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang akan menyuluh hidup kita dalam meniti kegelepan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh mengamalkannya, bahkan menyimpang pula darinya, maka bangkitlah kita dalam keadaan yang buta. Nauzubillah...

Moga kita sentiasa berusaha meningkatkan amal ibadah kita setiap hari.....

Info tambahan:
"Aku memohon agar Allah berikan Hidayah, tetapi aku lupa bahawa aku juga belum memliki Taufik"

Apa bezanya Hidayah dan Taufik?. Hidayah itu Petunjuk, manakala Taufik itu pula kekuatan untuk melaksanakan apa yang diilhamkan ALLAH.

Analogi yang mudah: "Aku sedar bahawa mendirikan solat itu indah, manisnya bersimpuh di hadapan Allah memohon keampunan, persoalannya, adakah aku berusaha untuk bangun mendirikan solat malam itu?" 

"Baru aku sedar selama ini jiwa aku subur dengan Hidayah, namun hati aku ketandusan Taufik"


Memantapkan niat bersama Ustaz Hafiz Mustafa Lubis


Dalam dunia dakwah, banyak ujiannya. Tambahan pula, menghadapi manusia akhir zaman ini amatlah mendesak jiwa seorang pendakwah itu untuk sentiasa berhati kental, tidak mudah berasa kalah dan berputus asa.

Peringatan dari Ustaz Hafiz, "Pendakwah yang betul-betul menginfakkan diri dalam masyarakat perlu sentiasa membetulkan niat sepanjang perlaksanaan usaha dakwah kerana khuatir hati berasa riak"

Info tambahan: "Sesiapa yang memelihara matanya dari melihat yang ALLAH haramkan, selamatlah dari api neraka". Mata yang akan menjadi penyuluh setiap diri dalam kehidupan seharian. 

Mata kadang-kadang melihat, tetapi tak nampak aya yang dilihat. Dan, kadang-kadang juga, mata tidak melihat tetapi dia nampak apa yang tidak dilihat. Justeru, kita perlu berhati-hati dengan mata. Sentiasa memohon ALLAH agar menampakkan apa yang tidak terlihat. Semua itu, perlu ada usaha. Usaha menambahkan ilmu di dada.

Analogi mudah, akhir zaman nanti, Dajjal dengan mudahnya boleh menipu kita dan dengan mudah kita terpedaya dengan Dajjal. Semuanya bermula dari pandangan mata kerana mata yang akan mempengaruhi pemikiran kita.


Menghayati Ramadhan bersama Ustaz Kamaruddin Kassim 

Dalam kita menempuhi Ramadhan, pernahkah kita meletakkan standard pencapaian sebelum dan selepas? Standard ini amat penting untuk mengukur kesan ibadah puasa dalam diri kita.

Nabi saw. bersabda, "Telah datang kepadamu Ramadan, bulan berkat, Allah mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup, syaitan diikat, dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. (HR Imam Ahmad dan Imam Nasa’i)

Ramadhan adalah bulan yang BERKAT. Keberkatan dalam diri dapat dirasai dalam 3 standard:-

Pertama: Az-Ziadah (Pertambahan)
Kedua: As-Sa a'dah (Bahagia)
Ketiga: Ad-Dawamah (Berterusan)

Dalam ketiga-tiga standard ini, tiga hal iaitu ILMU, AMAL dan REZEKI perlu ada. Setiap muslim perlu ada pertambahan, bahagia dan berterusan dalam tahap ilmu, amal dan rezeki. Sekiranya, ketiga-tiga standard ini tercapai, maka kita tergolong dalam orang-orang yang bertaqwa. Allah s.w.t meninggikan taraf seorang hamba-NYA sekiranya berjaya menjalani ibadah puasa dengan penuh penghayatan.

Ianya jelas dalam firman ALLAH:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa”(al-Baqarah: 183)