Memaparkan catatan dengan label Usrah Alam Sekitar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Usrah Alam Sekitar. Papar semua catatan

Khamis, April 09, 2009

Arak punca segala kejahatan, cetus permusuhan

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Minuman keras boleh pesongkan akidah umat Islam dan membawa kepada kekufuran

AKHIR-AKHIR ini, proses pembentukan akhlak sudah tidak begitu dipeduli, sehingga minuman keras menjadi kebiasaan muda-mudi, meneguknya di mana-mana tanpa malu dan segan lagi, halal dan haram dipandang sepi, asalkan nikmat sementara dirasa sesekali.

Jika arak dianggap najis, sudah tentu tiada siapa yang dekati, tapi jika ia menjadi lambang prestij dan identiti, berebutlah segelintir umat Islam yang kikir hati melawan hukum Ilahi, meredai punca segala kemaksiatan dan kezaliman ini menguasai diri.

Arak yang mudah didapati di mana-mana saja hari ini sejenis minuman kegemaran bangsa Arab jahiliah dan menjadi minuman pilihan sehingga sesudah kedatangan Islam, di mana sahabat Rasulullah SAW masih meminumnya kerana pada waktu itu larangan meminum arak masih belum berkuat kuasa walaupun Rasulullah SAW sendiri mengetahui kemudaratannya kepada pertimbangan akal dan fikiran.

Pernah terjadi satu peristiwa ketika Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang sahabat termasuk Saidina Ali bin Abi Talib. Semua tetamu dihidangkan arak, minuman utama tetamu pada majlis rasmi.

Apabila masuk Maghrib, Saidina Ali mengimamkan solat dan membaca surah al-Kafirun, ayat 1 hingga 3 dalam keadaan mabuk, sehingga mengubah makna ayat itu menjadi seperti berikut: "Katakan wahai orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami sudah pun menyembah apa yang kamu sembah."

Begitu juga kisah seorang lelaki Ansar bernama Utban bin Malik yang mengadakan jamuan dihadiri kaum Ansar dan Muhajirin. Jamuan menghidangkan arak sebagai minuman itu menyebabkan seorang lelaki Muhajirin, Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair memuji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya menyebabkan huru-hara.

Akibat kejadian itu, Allah menurunkan wahyu yang mengharamkan arak sepenuhnya seperti dirakamkan dalam firman bermaksud: "Wahai orang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil." (Surah al-Maaidah, ayat 90-91)

Bagai tidak dapat diterima adanya sebilangan umat Islam yang tidak segan silu meminum minuman keras dan menjadikannya hidangan biasa. Sudah dirakamkan Allah bahawa arak adalah kotor dan keji serta perbuatan syaitan, malah ia disamakan dengan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib.

Umat Islam juga dilaknat Allah jika memerah anggur untuk dijadikan arak, minta diperahkan, meminumnya, membawanya, minta dibawakan kepadanya, menuangnya, menjualnya, menggunakan wang jualannya, membelinya dan meminta dibelikan arak walaupun kepada bukan Muslim.



Ketegasan hukum digariskan jelas menunjukkan bahawa apa saja berkaitan arak adalah dilaknat Allah dan mempunyai sebab serta akibat yang tidak bagus.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Daripada Annas bin Malik katanya: Bahawasanya Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan berkaitan dengan arak iaitu yang memerahnya, minta diperahkan, meminumnya, membawanya dan minta dibawa kepadanya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya dan minta dibelikan." (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Arak berbahaya kepada akidah umat Islam apabila Allah menyamakannya dengan pemujaan berhala dan mengundi nasib sebagai perbuatan syaitan. Apa juga perbuatan syaitan adalah menyekutukan Allah dan menyebabkan kekufuran, sama sekali tidak dapat diterima dalam agama.

Arak memesongkan hamba Allah daripada mengingati-Nya kerana ia membuatkan seseorang Muslim itu meninggalkan sembahyang dan puasa serta ibadah lainnya kerana mabuk. Arak juga meruntuhkan akhlak, menimbulkan permusuhan dan kebencian, memusnahkan institusi kekeluargaan.

Iklan arak yang banyak sekali terpampang seperti menggamit pembeli untuk menikmati rasa kerana nafsu manusia bukan mudah dikekang tanpa usaha. Undang-undang termaktub kepada orang Islam di setiap negeri mengenai hukuman meminum arak tidak pula menghalang mereka yang ketagih daripada meneguknya kerana ia sudah menjadi amalan biasa.

Bukan itu saja, remaja hanya mampu membeli arak lebih murah tidak pula terasa payah melabur wang untuk kepuasan diri, kerana kemabukan itu kononnya menyeronokkan, menghilangkan kekusutan serta tekanan biarpun hanya sementara.

Hakikatnya arak adalah ibu kepada segala kejahatan dan dosa. Jika arak menjadi penenang kepada golongan kufur, kenapa pula umat Islam mudah dipengaruhi dengan cara mereka?

Sedangkan Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhakai kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah at-Tahriim, ayat 6)


Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Jumaat, Mac 27, 2009

Alam - La Nina


La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan, berlawanan El Nino yang membawa kemarau

DALAM tempoh seminggu bermula 3 Mac lalu, bandar raya Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor dilanda banjir kilat akibat hujan lebat antara tiga hingga tujuh jam menyebabkan lebih 300 kenderaan musnah dihanyutkan air manakala lebih 1,200 penduduk terpaksa berpindah.

Banjir kilat itu menyebabkan kira-kira 40 orang terperangkap dalam bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) manakala hampir semua jalan utama di ibu negara mengalami kesesakan teruk berikutan air naik mendadak.

Kebiasaannya, menjelang Mac, cuaca di Malaysia dikatakan mengalami musim panas tetapi situasi sebaliknya berlaku. Semua ini mempunyai kaitan dengan La Nina, iaitu fenomena yang mana suhu permukaan di Lautan Pasifik Tengah dan Timur menjadi lebih rendah daripada biasa.

Fenomena ini berlaku disebabkan tekanan atmosfera permukaan di khatulistiwa Pasifik Barat menurun menyebabkan pembentukan awan lebih banyak dan hujan lebat. Ringkasnya, La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan dan ia berlawanan dengan fenomena El Nino yang membawa perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau.

Di Malaysia, secara umumnya jumlah hujan melebihi purata dijangka berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara, namun, taburan hujan ini bergantung kepada pelbagai faktor lain selain faktor La Nina.

Perlu diketahui, kekuatan La Nina dan faktor masa juga memberi impak yang berbeza terhadap jumlah taburan hujan.

Hakikat sebenarnya, walaupun beberapa kawasan dilanda banjir kilat, negara ini masih selamat kerana ketika ini perubahan yang berlaku itu hanya disebabkan ‘La Nina lemah’ dan Pertubuhan Meteorologi Dunia belum pasti sama ada fenomena ini akan berterusan atau sebaliknya.

Ini kerana, perubahan data bacaan indeks suhu permukaan lautan hanya mencatatkan peningkatan yang sedikit iaitu -0.6 bagi November 2008 hingga Januari 2009 kepada -0.8 bagi Disember 2008 hingga Februari 2009.

Pengarah Bahagian Pembangunan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Wan Azli Wan Hassan ketika mengulas situasi terkini itu berkata, belum ada mana-mana pihak yang benar-benar yakin fenomena itu akan meningkat dan mereka perlu menunggu sehingga tamat Mac ini bagi bacaan perubahan seterusnya.

“Memang ada perubahan ketara jumlah taburan hujan di beberapa kawasan dan secara kebetulan ia berlaku di Kuala Lumpur dan Johor Bahru menyebabkan banjir kilat. Jika ia berlaku di Temerloh (Pahang), mungkin tidak memberi kesan apa-apa.

“Secara umumnya tempoh La Nina adalah antara sembilan hingga 12 bulan tetapi bagi sesetengah keadaan, mungkin boleh menjangkau sehingga dua tahun. Kajian saintis dunia menerusi pelbagai agensi meramalkan peningkatan tetapi belum ada pihak yang benar-benar pasti mengenainya,” katanya.

Berdasarkan rekod kajian, kali terakhir fenomena La Nina melanda dunia ialah pada April 2007 hingga Julai 2008 sebelum keadaan cuaca dikategorikan normal pada Mei hingga Disember 2008. Bagaimanapun, bacaan indeks menunjukkan peningkatan semula selepas itu hingga sekarang.

Dr Wan menjelaskan, fenomena La Nina dan El Nino memberi impak global kepada kehidupan seluruh dunia, corak iklim dan di kebanyakan lokasi terutama di kawasan tropika, La Nina menunjukkan variasi iklim yang berlawanan dengan El Nino.

Contohnya, sebahagian Australia dan Indonesia terdedah kepada keadaan kemarau ketika El Nino tetapi hujan lebat melebihi paras normal ketika La Nina melanda.

Sehubungan itu, katanya, ketepatan ramalan keadaan ini menjadi penting bagi memberi gambaran kemungkinan episod iklim melampau seperti banjir dan kemarau akan berlaku sekali gus dapat mengelakkan sesebuah negara daripada mengalami kerugian besar.

“Ramalan kedatangan fasa sejuk atau panas adalah amat kritikal terutama bagi sektor pengangkutan, pertanian, tenaga dan pelbagai lagi bagi mengelak kerugian. Kemajuan ramalan iklim ini dapat meningkatkan peluang ekonomi terutama dalam bidang pertanian, perikanan, perhutanan dan sektor tenaga dan faedah sosial.

“Jika ia dapat diramal awal, kerajaan dan orang ramai dapat bersedia lebih awal, misalnya banjir yang sering memusnahkan barang perniagaan, kenderaan dan kerosakan harta benda,” katanya.

Isnin, Jun 23, 2008

SUMBER ALAM YANG DISALAH GUNA

Tindakan kenyataan Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak ingin mengeluarkan tander untuk membolehkan pembalakan dijalankan di kawasan tadahan air adalah tidak berasas. Tindakannya bagaikan ‘meludah ke langit terkena muka sendiri’. Dahulunya beliau sangat menentang keras cadangan bekas Menteri Besar Kedah Dato Seri Syed Razak Syed Zin untuk pembalakan menggunakan helikopter di kawasan yang sama di kawasan tadahan air Muda, Pedu dan Ahning. Sekarang, beliau pula seperti menghalalkan semua aktiviti memusnahkan alam sekitar semata-mata isu kenaikan harga minyak yang melanda negara sekarang. Alasan yang dibuat semata-mata dan tidak boleh dijadikan hujah untuk mengganggu kestabilan alam di kawasan berkenaan.

Walaupun dari sudut undang-undang tiada sebarang bentuk bayaran yang akan diberikan kepada kerajaan negeri yang menjaga dan mewartakan kawasan hutan kepada kawasan tadahan air. Tapi Kerajaan Pusat harus mengubal undang-undang yang sedia ada untuk membayar primeum kepada Kerajaan Negeri yang telah bertanggungjawab menjaga kawasan tadahan air daripada sebarang gangguan aktiviti pembangunan dan pembalakan. Ini akan mengurangkan permasalahan kewangan yang sebenarnya turut dialami kebanyakkan negeri. Malah usaha ini bersesuaian dengan larangan mengeluarkan kayu balak dari kawasan tadahan air yang dipromosikan oleh Kerajaan Pusat untuk tujuan pengekalan dan menstabilkan suhu bumi yang tidak menentu sekarang ini. Semua ini akibat tiadanya perancangan berbentuk mapan yang banyak menjejaskan alam sekitar dan memberi manafaat kepada umat.

Kepentingan menjaga alam sekitar adalah lebih penting daripada melihat kepada keuntungan ekonomi jangka pendek dan memberikan impak yang buruk. Kebergantungan aktiviti pertanian seperti padi kepada sumber air dari kawasan tadahan air ini amat tinggi. Sebarang gangguan akan menyebabkan hampir 65 000 keluarga petani MADA terjejas malah lebih teruk negara kita kini sedang dilanda krisis makanan.

Punca air di Ulu Muda juga merupakan sumber utama air bagi kegunaan demostik dan industri bagi negeri Kedah dan Pulau Pinang. Khidmat yang menggunakan sumber semulajadi harus dikekalkan. Apa salahnya diadakan perbincangan dengan Kerajaan Pulau Pinang untuk mempertimbangkan bayaran sumber air yang telah disediakan.

Menjadi masalahnya adalah ketiga-tiga kawasan ini merupakan salah sebuah kawasan mega biodiversiti di Malaysia yang harus dipelihara. Sebarang aktiviti pembalakan di kawasan ini walau dengan apa jua kaedah sekalipun adalah berisiko tinggi dan akan menjejaskan masyarakat dan alam sekitar.

Seharusnya cadangan ini ditarik balik dengan melihat kepada kemaslahatan yang lebih besar. Tiada sebarang asas untuk membenarkan aktiviti ini dijalankan dalam kawasan yang banyak memberikan manafaat kepada ummat.

Khamis, April 10, 2008

Bila Bumi di Landa Banjir

Oleh; Usrah Alam Sekitar


Banjir merupakan satu fenomena alam yang berlaku secara semulajadi atupun kesan daripada aktiviti manusia. Jika tempoh banjir itu sekejap, dengan kenaikan paras air yang tidak mencecah paras bahaya, ia mungkin masih selamat kepada masyarakat dan tidak mendatangkan kerugian yang cukup besar akibat daripada kerosakan harta benda.

Tetapi jika banjir itu berlaku sehingga mencecah paras bahaya , ia mungkin menimbulkan seribu satu masalah yang tidak terjangka. Banjir yang melanda negara kita beberapa bulan yang lalu, sewajarnya menjadi pengajaran buat kita semua dalam menilai sejauh mana kita mengurus dan mentadbirkan alam ini dengan baik selaku khalifah di muka bumi Allah ini.

Baru - baru ini di dalam akhbar Utusan Malaysia ( 2 Januari 2008) bertajuk ” Formula Atasi Banjir Secara Muktamad” memaklumkan bahawa kerajaan telah merangka Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) yang menelan belanja RM 30 bilion untuk di laksanakan.

Belanja yang cukup besar. Namun sejauh manakah keberkesanannya dalam mengatasi masalah ini ? Pengurusan alam sekitar perlulah bersifat holistik dan mesra alam. Ia tidak boleh hanya memberi penekanan di peringkat pemulihan sahaja sesudah sesuatu bencana alam itu berlaku. Tetapi ia perlu mengkaji punca awal permasalahan tersebut .

Masalah banjir yang berlaku di Malaysia adalah di pengaruhi oleh beberapa faktor samada faktor semulajadi seperti kedudukan dan rupa bentuk geografi bumi dan kadar penerimaan taburan hujan tahunan. Jika ia melibatkan faktor semulajadi, mungkin tidak banyak penyelesaian atau masalah yang timbul akibat daripadanya.

Tetapi yang menjadi persoalan dan penekanan adalah kesan daripada aktiviti manusia ke atas muka bumi ini. Akibat daripada projek pembangunan yang tidak terancang dan aktiviti – aktiviti manusia terhadap alam sekitar yang bertentangan dengan keadaan semulajadi alam , melampau dan tidak terkawal.

Walaupun terdapat usaha – usaha pemeliharaan alam ini dari sudut polisi dan undang - undang seperti penyediaan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), Akta Kualiti Alam Sekilili 1974 (EQA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS), ISO 14,000 (Standard Pengurusan Alam Sekitar), Garispanduan Pembangunan Tanah Tinggi dan bermacam lagi skala lain yang di gunakan, tetapi masalah alam sekitar dan kepatuhan kepada perundangan sedia ada masih tidak membantu meningkatkan kualiti alam sekitar kita.

Sebagaimana firman ALLAH dalam Surah Ar- Rum Ayat 41 :
”telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.


Adalah penting untuk kita melihat isu dan permasalahan ini dari pelbagai sudut bagi mendapatkan kesan yang lebih baik dalam menanganinya. Tambahan pula PITB yang di rangka itu belum pasti benar – benar mampu mengatasi masalah ini sepenuhnya.

Perlu di fikirkan juga bahawa projek pembangunan mega ,sederhana mahupun kecil yang rancak di bangunkan di merata tempat di Malaysia hari ini menjadi faktor penting yang menyumbang kepada peningkatan masalah banjir di Negara ini. Selain daripada masalah pengairan dan saliran yang melibatkan longkang, parit dan sungai – sungai tersumbat.

Hari ini banyak bukit bukau yang telah di potong dan di gondolkan bagi menjayakan projek pembangunan yang di rancang. Juga pokok – pokok yang di tebang secara halal mahupun haram. Padahal kedua – dua elemen alam semulajadi ini sangat penting dalam proses mengatasi masalah banjir yang jarang di pandang oleh pembuat dasar.

Ini kerana bukit bukau yang berperanan sebagai pasak bumi seperti yang di sebutkan di dalam Al – Quran bagi memperteguhkan kedudukan bumi ini setelah di hamparkan segala macam perhiasan dari tanaman dan haiwan yang melata di muka bumi ciptaan Allah ini, telah di olah sesuka hati oleh tangan – tangan rakus manusia.

Bukit bukau ini menjadi kawasan tadahan dan simpanan air bagi sumber bekalan air unuk manusia dan seluruh makhluk. Ia juga bertindak sebagai span bumi yang mampu menyerap air hujan dengan di bantu pokok – pokok yang ada bagi melambatkan proses air larian permukaan . Dengan itu tanah mampu untuk menyerap dan meresap air hujan pada kadar yang lebih banyak.

Apa yang di tekankan di sini adalah elemen alam semulajadi yang mampu menjadi satu alat untuk membantu dalam usaha mengatasi masalah banjir. Fungsi dan peranannya dalam hal ini tidak boleh di ketepikan. Lantaran itu, ia perlu di pelihara dan di pulihara serta di kawal agar kawasan ini tidak terhakis oleh projek – projek pembangunan.

Aspek teknikal dan fizikal yang di tekankan seperti pembinaan empangan bukanlah satu langkah bijak dalam mengatasi masalah banjir. Lihat sahaja senario yang berlaku di China, ketika hujan lebat melanda Negara itu, semua pintu empangan di buka bagi mengeluarkan air yang tertakung di dalam empangan yang melebihi takat maksimum bagi mengelakkan empangan tersebut rosak dan pecah.

Akibatnya banjir yang berlaku semakin bertambah , mengancam nyawa penduduk dan kemusnahan harta benda . Ini mebuktikan bahawa kaedah ini tidak sesuai di gunapakai dalam usaha menangani masalah banjir. Tambahan pula Malaysia yang merupakan sebuah Negara khatulistiwa menerima kadar hujan tahunan yang tinggi.

Kini amat sukar untuk kita menduga musim dan waktu hujan yang berlaku. Fenomena alam luar biasa yang lain seperti tsunami,salji, hujan batu, gempa bumi, taufan dan lain – lain mungkin akan turut di alami di Negara kita . Inilah sebahagian daripada kesan perubahan cuaca dunia yang sedang kita alami akibat daripada kerosakan alam yang mempengaruhi sistem semulajadinya.

Justeru , adalah wajar untuk kita merancang dan merenca sesuatu pelan tindakan secara individu atau berkumpulan dalam mengatasi masalah alam sekitar secara yang berharmoni dengan alam. Merubah corak hidup juga penting dalam memastikan kita dapat mengurangkan masalah alam sekitar. Penglibatan semua pihak di setiap peringkat masyarakat bagi memastikan alam ini terus terpelihara menjadi faktor utama kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam.

Bersama Selamatkan Bumi Kita…!!

Rabu, April 09, 2008

Bahan Penulisan API

Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah, di panjangkan lagi usia kita pada hari ini, dan di pertemukan lagi dalam blog API.

Sedikit perkongsian buat sahabat sekalian, syukur kepada Allah, 2 artikal yang di tulis oleh Ketua Usrah Antarabangsa dan Ketua Usrah Alam Sekitar API, telahpun di siarkan di dalam Majalah Milenia Muslim Bulan Mac 2008 dan Bulan April 2008.

Maklumat ringkas bekenaan dengan artikal tersebut, seperti di bawah . Untuk maklumat lanjut dan terperinci sila layari ; www.mileniamuslim.com.my serta dapatkan Majalah Milinea Muslim ini sekarang.

Mudah - mudahan medan penulisan ini akan menjadi medan dakwah buat kita semua.


" Sekiranya kamu tidak mampu berjuang dengan mata pedang,
berjuanglah dengan mata pena".


Artikal 1 : “Lebah – Lebah Mati Akibat AIDS”.
Kolum : Sains & Teknologi
Majalah : Milinea Muslim ( Mac 2008)
Penulis : Wan Ahmad Fayhsal Bin Wan Ahmad Kamal
(Usrah Antarabangsa)


"....Saintis yang paling terkenal pada abad ke-20 iaitu Albert Enstein pernah berbicara berkenaan dengan Lebah.

“ Jikalau sang lebah lenyap daripada muka bumi ini, umat manusia hanya akan mampu bertahan selama 4 tahun untuk hidup. Tiada sang lebah, tiada pendebungaan, tiada tumbuhan, tiada binatang, dan tiadalah manusia”

Agak pelik seorang ahli fizik terkemuka berbicara mengenai subjek yang diluar bidangnya iaitu biologi. Walau bagaimanapun, peringatan yang diberi oleh Enstein ini telah memberi satu petanda yang cukup penting untuk kita yang sedang melangkah maju dalam abad ke-21 ini...."


Artikal 2 : “Makanan Ubah Suai Genetik Yang di Ragui”.
Kolum : Sains & Teknologi
Majalah : Milinea Muslim (April 2008)
Penulis : Wan Azilina Binti Wan Ahmad( Usrah Alam Sekitar)


"....Bioteknologi moden hari ini dengan kaedah Kejuruteraan Genetik adalah salah satu daripada cabang hasil penyelidikan bidang sains dan teknologi. Hari ini ia di gunapakai bagi banyak tujuan. Proses memanipulasi DNA organisma hidup seperti haiwan, tumbuhan dan mikroorganisma juga telah di kaji oleh saintis genetik.
Komitmen Malaysia dalam memanfaatkan hasil penyelidikan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Ini kerana penggunaan bidang ini perlu dilihat dari pelbagai sudut. Bukan sahaja sumbangan dan manfaatnya tetapi implikasi dan kesan jangka pendek dan jangka panjang dalam penerimaan bidang ini sebagai sebahagian daripada keperluan hidup yang perlu dikaji dengan lebih mendalam.".......


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya."-
(Surah Al – Imran: 104)

” Jika kamu melihat kemungkaran, cegahlah dengan tangan mu, jika tidak, cegah lah dengan lisanmu, jika tidak ,cegahlah dengan hati mu (membenci kemungkaran ) dan itulah selemah – lemah iman”- (HR:Muslim)

Dapatkan Majalah Milenia Muslim Hari Ini….!!!