Isnin, Jun 23, 2008

SUMBER ALAM YANG DISALAH GUNA

Tindakan kenyataan Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak ingin mengeluarkan tander untuk membolehkan pembalakan dijalankan di kawasan tadahan air adalah tidak berasas. Tindakannya bagaikan ‘meludah ke langit terkena muka sendiri’. Dahulunya beliau sangat menentang keras cadangan bekas Menteri Besar Kedah Dato Seri Syed Razak Syed Zin untuk pembalakan menggunakan helikopter di kawasan yang sama di kawasan tadahan air Muda, Pedu dan Ahning. Sekarang, beliau pula seperti menghalalkan semua aktiviti memusnahkan alam sekitar semata-mata isu kenaikan harga minyak yang melanda negara sekarang. Alasan yang dibuat semata-mata dan tidak boleh dijadikan hujah untuk mengganggu kestabilan alam di kawasan berkenaan.

Walaupun dari sudut undang-undang tiada sebarang bentuk bayaran yang akan diberikan kepada kerajaan negeri yang menjaga dan mewartakan kawasan hutan kepada kawasan tadahan air. Tapi Kerajaan Pusat harus mengubal undang-undang yang sedia ada untuk membayar primeum kepada Kerajaan Negeri yang telah bertanggungjawab menjaga kawasan tadahan air daripada sebarang gangguan aktiviti pembangunan dan pembalakan. Ini akan mengurangkan permasalahan kewangan yang sebenarnya turut dialami kebanyakkan negeri. Malah usaha ini bersesuaian dengan larangan mengeluarkan kayu balak dari kawasan tadahan air yang dipromosikan oleh Kerajaan Pusat untuk tujuan pengekalan dan menstabilkan suhu bumi yang tidak menentu sekarang ini. Semua ini akibat tiadanya perancangan berbentuk mapan yang banyak menjejaskan alam sekitar dan memberi manafaat kepada umat.

Kepentingan menjaga alam sekitar adalah lebih penting daripada melihat kepada keuntungan ekonomi jangka pendek dan memberikan impak yang buruk. Kebergantungan aktiviti pertanian seperti padi kepada sumber air dari kawasan tadahan air ini amat tinggi. Sebarang gangguan akan menyebabkan hampir 65 000 keluarga petani MADA terjejas malah lebih teruk negara kita kini sedang dilanda krisis makanan.

Punca air di Ulu Muda juga merupakan sumber utama air bagi kegunaan demostik dan industri bagi negeri Kedah dan Pulau Pinang. Khidmat yang menggunakan sumber semulajadi harus dikekalkan. Apa salahnya diadakan perbincangan dengan Kerajaan Pulau Pinang untuk mempertimbangkan bayaran sumber air yang telah disediakan.

Menjadi masalahnya adalah ketiga-tiga kawasan ini merupakan salah sebuah kawasan mega biodiversiti di Malaysia yang harus dipelihara. Sebarang aktiviti pembalakan di kawasan ini walau dengan apa jua kaedah sekalipun adalah berisiko tinggi dan akan menjejaskan masyarakat dan alam sekitar.

Seharusnya cadangan ini ditarik balik dengan melihat kepada kemaslahatan yang lebih besar. Tiada sebarang asas untuk membenarkan aktiviti ini dijalankan dalam kawasan yang banyak memberikan manafaat kepada ummat.

Tiada ulasan: