Rabu, Jun 25, 2008

ZAID MAHU PINDA PERLEMBANGAAN PERSEKUTUAN

Nampaknya Zaid Ibrahim iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memulakan langkah awalnya dalam melakukan perubahan dalam Perlembangaan Persekutuaan negara. Walaupun dilihat pada satu sudut ianya membawa suatu kebaikan. Iaitu tiadanya penglibatan atau campurtangan sepenuhnya pihak eksekutif dalam bidang kehakiman. Dengan makna kata lain, bidang kehakiman akan bebas daripada ‘petunjuk atau pengaruh pihak luar.’

Namun kita harus berhati-hati kerana di bawah Artikel 121(1) ini juga terdapatnya Artikel 121 (1A) yang mana menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menurut Zaid, “kita mahu masukkan balik perkataan demi perkataan (mengikut artikel yang asal).” Maksudnya perubahan yang berlaku adalah merangkumi semua yang terdapat di bawah Artikel 121(1).

Harus diingat pertikaian artikel 121 (1A) yang digubal pada 1988 itu, telah mencetuskan isu pertukaran agama berikutan kematian pendaki Everest Sarjan M.Moorthy atau Muhammad Abdullah apabila balunya, S.Kaliammal, dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) terlibat dalam perebutan untuk mengebumikan jenazah beliau.

Moorthy yang meninggal dunia pada 20 Dis 2005, akhirnya dikebumikan oleh Jawi pada 28 Dis berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam, manakala Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campurtangan berikutan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan sesetengah pihak, sehinggakan mendorong 10 menteri kabinet bukan Islam menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri agar beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Usaha ini seakan menyokong kumpulan Artikel 11 yang telah juga cuba untuk mencabar undang-undang syariah dengan meminta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang termaktub di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda atau dihapuskan. Adakah kita sanggup mengsia-siakan usaha murni Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim dengan membenarkan Zaid Ibrahim mengubah segala-galanya.

Harus dingatkan juga bahawa Zaid Ibrahim adalah salah seorang ahli panel jemputan dalam forum Kumpulan Artikel 11 yang telah berjaya dipatahkan program itu di Hotel Cititel Pulau Pinang yang menyebabkan seramai 3 orang dituduh mengetuai perhimpunan aman menentang forum tersebut disabitkan ke mahkamah. Kes ini masih berlarutan sehingga kini dan ketiga-tiga akan dibicarakan di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 (Akta 344).

Secara umumnya API sangat menentang jika pindaan ini melibatkan Artikel 121(1A) kerana artikel ini sebenarnya tidak merangkumi semua urusan hal ehwal orang Islam tetapi hanya melibatkan beberapa perkara seperti perkahwinan, perceraian dan hal-ehwal yang berkaitannya serta perwarisan. Dan perlu di lihat dalam konteks sejarah, bidang kuasa dan kedudukan Mahkamah Syariah sebelum kedatangan Inggeris adalah lebih besar dan luas.

Tiada ulasan: