Selasa, Mac 31, 2009

Peningkatan jenayah libatkan pelajar fenomena membimbangkan - KPN

KUALA LUMPUR 31 Mac — Peningkatan kes jenayah melibatkan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini menjadi satu fenomena cukup membimbangkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata pada tahun 2007 sebanyak 1,836 kes dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan dan 3,241 daripadanya adalah pelajar berumur 13 hingga 18 tahun manakala pada 2008 meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan dan 3,629 dari jumlah berumur 13 hingga 18 tahun.

“Antara kes-kes tersebut termasuklah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri, pecah rumah dan lain-lain kesalahan jenayah,” katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-39 Pasukan Kor Kadet Polis yang disambut di seluruh negara hari ini.

Perutusan itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat sempena sambutan peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Musa berkata hasil kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia mendapati 87 peratus “Mat Rempit “ terdiri daripada golongan berusia 14 hingga 25 tahun.

Kajian itu menunjukkan 48.1 peratus Mat Rempit disebabkan oleh kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan.

“Berdasarkan perangkaan itu, jelas menunjukkan pembabitan pelajar dalam pelbagai kes jenayah sentiasa meningkat. Gejala tersebut boleh dibendung sekiranya pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas tentang kesan dan akibatnya jika terjerumus di dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Musa berkata anggota Kor Kadet Polis, yang kini mencecah 89,110 ahli di seluruh negara, boleh bertindak sebagai mata dan telinga Polis bagi memainkan peranan utama dalam mengurangkan masalah itu terutama gengsterism yang menjadi kegusaran ibu bapa, sekolah dan masyarakat.

Selain itu, katanya Kor Kadet Polis perlu memberi input dan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi satu kewajipan selari dengan tugas dan tanggungjawab polis.

“Sumbangan dan input maklumat dari warga Kor Kadet Polis kepada PDRM dipandang penting dan serius sekali kerana maklumat yang disalurkan mungkin dianggap penting dan berguna dalam menyelesaikan sesuatu kes,” katanya. - Bernama

Jumaat, Mac 27, 2009

Alam - La Nina


La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan, berlawanan El Nino yang membawa kemarau

DALAM tempoh seminggu bermula 3 Mac lalu, bandar raya Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor dilanda banjir kilat akibat hujan lebat antara tiga hingga tujuh jam menyebabkan lebih 300 kenderaan musnah dihanyutkan air manakala lebih 1,200 penduduk terpaksa berpindah.

Banjir kilat itu menyebabkan kira-kira 40 orang terperangkap dalam bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) manakala hampir semua jalan utama di ibu negara mengalami kesesakan teruk berikutan air naik mendadak.

Kebiasaannya, menjelang Mac, cuaca di Malaysia dikatakan mengalami musim panas tetapi situasi sebaliknya berlaku. Semua ini mempunyai kaitan dengan La Nina, iaitu fenomena yang mana suhu permukaan di Lautan Pasifik Tengah dan Timur menjadi lebih rendah daripada biasa.

Fenomena ini berlaku disebabkan tekanan atmosfera permukaan di khatulistiwa Pasifik Barat menurun menyebabkan pembentukan awan lebih banyak dan hujan lebat. Ringkasnya, La Nina ialah perubahan cuaca sejuk menyebabkan hujan dan ia berlawanan dengan fenomena El Nino yang membawa perubahan cuaca panas menyebabkan kemarau.

Di Malaysia, secara umumnya jumlah hujan melebihi purata dijangka berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara, namun, taburan hujan ini bergantung kepada pelbagai faktor lain selain faktor La Nina.

Perlu diketahui, kekuatan La Nina dan faktor masa juga memberi impak yang berbeza terhadap jumlah taburan hujan.

Hakikat sebenarnya, walaupun beberapa kawasan dilanda banjir kilat, negara ini masih selamat kerana ketika ini perubahan yang berlaku itu hanya disebabkan ‘La Nina lemah’ dan Pertubuhan Meteorologi Dunia belum pasti sama ada fenomena ini akan berterusan atau sebaliknya.

Ini kerana, perubahan data bacaan indeks suhu permukaan lautan hanya mencatatkan peningkatan yang sedikit iaitu -0.6 bagi November 2008 hingga Januari 2009 kepada -0.8 bagi Disember 2008 hingga Februari 2009.

Pengarah Bahagian Pembangunan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Wan Azli Wan Hassan ketika mengulas situasi terkini itu berkata, belum ada mana-mana pihak yang benar-benar yakin fenomena itu akan meningkat dan mereka perlu menunggu sehingga tamat Mac ini bagi bacaan perubahan seterusnya.

“Memang ada perubahan ketara jumlah taburan hujan di beberapa kawasan dan secara kebetulan ia berlaku di Kuala Lumpur dan Johor Bahru menyebabkan banjir kilat. Jika ia berlaku di Temerloh (Pahang), mungkin tidak memberi kesan apa-apa.

“Secara umumnya tempoh La Nina adalah antara sembilan hingga 12 bulan tetapi bagi sesetengah keadaan, mungkin boleh menjangkau sehingga dua tahun. Kajian saintis dunia menerusi pelbagai agensi meramalkan peningkatan tetapi belum ada pihak yang benar-benar pasti mengenainya,” katanya.

Berdasarkan rekod kajian, kali terakhir fenomena La Nina melanda dunia ialah pada April 2007 hingga Julai 2008 sebelum keadaan cuaca dikategorikan normal pada Mei hingga Disember 2008. Bagaimanapun, bacaan indeks menunjukkan peningkatan semula selepas itu hingga sekarang.

Dr Wan menjelaskan, fenomena La Nina dan El Nino memberi impak global kepada kehidupan seluruh dunia, corak iklim dan di kebanyakan lokasi terutama di kawasan tropika, La Nina menunjukkan variasi iklim yang berlawanan dengan El Nino.

Contohnya, sebahagian Australia dan Indonesia terdedah kepada keadaan kemarau ketika El Nino tetapi hujan lebat melebihi paras normal ketika La Nina melanda.

Sehubungan itu, katanya, ketepatan ramalan keadaan ini menjadi penting bagi memberi gambaran kemungkinan episod iklim melampau seperti banjir dan kemarau akan berlaku sekali gus dapat mengelakkan sesebuah negara daripada mengalami kerugian besar.

“Ramalan kedatangan fasa sejuk atau panas adalah amat kritikal terutama bagi sektor pengangkutan, pertanian, tenaga dan pelbagai lagi bagi mengelak kerugian. Kemajuan ramalan iklim ini dapat meningkatkan peluang ekonomi terutama dalam bidang pertanian, perikanan, perhutanan dan sektor tenaga dan faedah sosial.

“Jika ia dapat diramal awal, kerajaan dan orang ramai dapat bersedia lebih awal, misalnya banjir yang sering memusnahkan barang perniagaan, kenderaan dan kerosakan harta benda,” katanya.

Rabu, Mac 11, 2009

Jawab untuk Isu Tindakan MCA; Mahkamah Syariah selari kehendak Perlembagaan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Persetujuan ibu atau bapa bagi tukar agama anak bawah 18 tahun jelas ikut undang-undang

JABATAN Agama dan Mahkamah Syariah difitnah lagi. Ketua Biro Pendidikan Politik MCA, Gan Ping Sieu menempelak keputusan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang dikatakan membenarkan seorang bayi berusia 15 bulan, memeluk Islam.

Tindakan memeluk Islam itu dibuat secara berseorangan oleh ibu kandung bayi berkenaan Siti Zubaidah Chew Abdullah tanpa persetujuan bapa. Mahkamah Syariah Seremban juga sudah memberi hak penjagaan sementara kepada Siti Zubaidah bagi menjaga anaknya itu.

Maka pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah akibat ketidakpuasan hati mereka. Antaranya, seperti dilaporkan dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan dan laman web malaysiakini.com iaitu:

· Keputusan berkenaan adalah suatu penghinaan kepada mana-mana sistem keadilan;

· Mahkamah Syariah mengambil kesempatan atas masalah yang melanda pasangan dan keluarga itu, dan

· Hak penjagaan anak mesti diputuskan oleh Mahkamah Sivil kerana anak itu lahir daripada perkahwinan sivil dan Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Malah, MCA menyifatkan keputusan menukar agama kanak-kanak bukan Islam berusia 15 bulan sebagai 'keghairahan agama berlebihan' dan 'salah guna sewenang-wenangnya' tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Gan juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan mengambil kesempatan melalui proses perundangan syariah sehingga menjejaskan pasangannya dan anggota keluarga suami.

Tuduhan sebegini amat keterlaluan yang muncul daripada kejahilan mereka sendiri berkaitan Perlembagaan Persekutuan daripada sudut penafsiran, kerangka dan sejarahnya. Malah, ia juga meminggirkan keputusan Mahkamah Sivil sendiri.

Kenyataan Gan menyinggung perasaan orang Islam. Gan juga gagal memahami dwi sistem perundangan yang diamalkan di negara kita.

Perkara 12 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri."

Perkara 12 (4) pula menegaskan: "Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya."

Jelas peruntukan yang disebut itu membenarkan salah seorang ibu atau bapa menukar agama anaknya. Perlembagaan Persekutuan yang juga undang-undang tertinggi memperuntukkan sedemikian.

Jika kita menjunjung Perlembagaan itu sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Syariah adalah selari dengan kehendak Perlembagaan.

Sebenarnya ada beberapa kes Mahkamah Sivil iaitu Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun.

Namun, Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam kes Nenduchelian memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu bapa saja diperlukan. Dalam hal demikian ada perbezaan keputusan antara mahkamah berkenaan.

Namun, perbezaan keputusan sudah diselesaikan oleh keputusan mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan. Ini kerana, baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes Subahsini dan Saravanan bahawa salah seorang ibu bapa boleh menukar agama anak kecilnya itu.

Oleh demikian, kedudukan undang-undang ini sudah pun diselesaikan dan mahkamah bawahan tidak mempunyai pilihan lain selain mengikuti keputusan itu.

Jika Gan tidak menerima keputusan Mahkamah Syariah kenapa pula keputusan Mahkamah Sivil ini tidak diperlekehkan? Adakah Gan mempunyai agenda tertentu dalam komentarnya itu?

Tidak timbul soal mengambil kesempatan dalam sebarang situasi. Sebenarnya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak bertanding antara keduanya.

Masing-masing mempunyai bidang kuasa tertentu dan tidak melangkaui batasan yang digariskan itu. Hakikat ini amat dipertahankan oleh kedua-dua mahkamah namun pihak ketiga pula yang gagal mengamati hikmahnya, lantaran desakan emosi serta minda yang tertutup.

Lebih menghairankan, Gan langsung tidak menyentuh ketidakadilan yang berlaku kepada mualaf dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Apa yang ingin digambarkan oleh Gan ialah akta itu adalah akta terbaik yang tiada cacat celanya dan adil kepada semua pihak.

Penulis mengambil contoh seksyen 51 akta berkenaan hanya memberi kuasa kepada pihak yang tidak memeluk Islam saja memohon membubarkan perkahwinan mereka. Bagi mualaf yang memeluk Islam, hak mereka langsung tidak diberikan untuk membubarkan perkahwinan itu.

Mereka langsung tidak mempunyai pilihan di Mahkamah Sivil, sebaliknya terpaksa menunggu pasangan yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil barulah boleh memohon sesuatu di mahkamah sedangkan keIslaman mereka sudah diiktiraf dan dijamin Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 menganut dan mengamalkan agamanya.

Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menoleh ke Mahkamah Syariah untuk memutuskan kedudukan mereka di sisi hukum syarak. Tatkala berbuat demikian, mereka diterjah pelbagai tohmahan mengatakan mereka melakukan penindasan dan sebagainya.

Sebenarnya, mualaf inilah yang ditindas oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 itu. Mengapa Gan langsung tidak menyentuh hal demikian dan tidak menyarankan supaya seksyen 51 itu dipinda? Ini persoalan besar yang harus dijawab oleh Gan.

Memanglah diakui mencari jalan penyelesaian yang memuaskan hati semua orang adalah amat sukar. Oleh itu, kita mesti berbalik kepada asas dan kerangka perlembagaan itu sendiri. Malah, keputusan Mahkamah Sivil juga memihak kepada Mahkamah Syariah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan dan terimalah hakikat itu.

Mahkamah Syariah memutuskan pertikaian berdasarkan kepada nas agama. Amat keterlaluan jika dikatakan Mahkamah Syariah terlalu ghairah dalam agama. Agama adalah tunjang Mahkamah Syariah dan tiada istilah ghairah dalam perjalanan prosiding Mahkamah Syariah.

Segala-galanya sudah ditunjukkan oleh agama. Oleh demikian, orang bukan Islam perlu lebih sensitif dan memahami perasaan orang Islam. Orang Islam tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam tetapi apabila seseorang itu sudah Islam adalah menjadi tanggungjawab orang Islam membantu saudara seagamanya tanpa mengira sama ada mereka dilahirkan Islam atau baru memeluk agama Islam.

Hakikatnya ialah Gan dan MCA yang sebenarnya terlalu ghairah memperlekehkan institusi Islam tanpa membuat penyelidikan mengenai kedudukan undang-undang dan perlembagaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

MCA; Bermain API

MCA: Mahkamah syariah 'terlalu ghairah agama'

Malaysiakini

Mar 6, 09 3:12pm

MCA menyifatkan keputusan menukar agama kanak-kanak bukan Islam berusia 15 bulan sebagai "keghairahan agama berlebihan" dan "salah guna sewenang-wenangnya" tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

"Peluasan tidak sewajarnya bidang kuasa mahkamah syariah dalam kes seumpama ini memburukkan lagi keadaan," kata ketua biro pendidikan parti itu Gan Ping Sieu.

Beliau mengulas keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan baru-baru ini selepas dimohon oleh si ibu Chew Yin No, atau nama mualafnya Siti Zubaidah Chew Abdullah, tanpa persetujuan si bapa Hoo Ying Soon.

Kanak-kanak itu dilaporkan ditukarkan namanya kepada Nurul Syuhada Chew Abdullah pada 3 Februari selepas ibunya menganut Islam pada 28 Januari.

Manakala mahkamah syariah negeri itu memberikan hak penjagaan sementara Nurul Syuhada kepada Siti Zubaidah.

Gan menambah, bidang kuasa khusus mahkamah syariah untuk orang Islam seperti Perkara 121 (A) tidak bermakna Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sivil harus tunduk pada peraturan Islam.

"Perkahwinan pasangan itu dibuat dalam bidang kuasa sivil, maka perceraian dan isu-isu yang berbangkit mestilah diselesaikan menurut undang-undang sivil," katanya.

MCA berpendapat, keputusan menukar agama anak harus diputuskan bersama oleh kedua-dua ibu bapanya tetapi ia melibatkan penjelasan beberapa teks berkaitan perlembagaan.

Tambah Gan, pada 1980-an, perkataan "ibu bapa" yang membawa maksud jamak dalam Kamus Dewan digunakan dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan seperti diterbitkan oleh Percetakan Nasional.

"Bagaimanapun, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Percetakan Nasional secara misteri telah menukar 'ibu bapa' kepada 'ibu atau bapa' (maksud tunggal)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gan juga menyatakan kekecewaan dengan tindakan mengambil kesempatan melalui proses perundangan syariah sehingga menjejaskan pasangannya dan anggota keluarga suami.

Rabu, Februari 18, 2009

Hukum faraid ditetapkan al-Quran bersih daripada unsur diskriminasi

Ulama selar desakan NGO supaya hukum ditafsir semula

BEBERAPA akhbar tempatan minggu lalu, memaparkan perjuangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) wanita menuntut kesamarataan antara lelaki dan wanita. Ia termasuklah tuntutan mengkaji semula undang-undang Islam berkaitan faraid.

Ahli pengasas Musawah, Cassandra Balchin dilaporkan sebagai berkata, undang-undang faraid mestilah dikaji semula dan dipinda. Tambahnya, undang-undang faraid itu ketinggalan zaman kerana tafsiran yang diberikan kepadanya semata-mata berdasarkan faktor sejarah. Syariah juga dikatakan bukan sebagai undang-undang tetapi adalah dogma prinsip saja. Undang-undang ini hendaklah dipinda kerana mendiskriminasi wanita.

Balchin berada di negara ini yang mengadakan perjumpaan tertutup lima hari bermula 13 Februari lalu yang dianjurkan Sisters in Islam dan dihadiri lebih 200 peserta dari 40 negara.

Bagi undang-undang faraid, seharusnya kita merujuk kepada nas asal berkaitan dengannya.

Di dalam surah al Nisa' ayat 11-14 bermaksud:

"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pemberian pusaka untuk) anak-anakmu iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk kedua ibu bapa, masing-masing satu perenam daripada harta yang ditinggalkan; jika yang meninggal itu mempunyai anak, jika yang meninggal itu tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat satu pertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara ibunya mendapat satu perenam sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak tahu siapa di antara mereka yang lebih dekat manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Dan bagimu (suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak, Jika isterimu mempunyai anak maka kamu mendapat seperempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya.

Isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, maka isteri memperoleh seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah dibayar hutangmu. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing daripada kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.

Hukum itu adalah ketentuan Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan besar. Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya dan baginya seksa yang menghinakannya.


Perkara ini tidak memerlukan tafsiran kerana ia sudah jelas. Menyeru supaya hukum faraid ini ditafsirkan semula membawa erti meminda ayat hukum diturunkan Allah. Apatah lagi apabila kita mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Ia amat jelas mencabul kesucian al-Quran itu sendiri.

Pada masa ini, kita memperkatakan ketaatan kepada pemerintah, kita lupa ketaatan kepada Tuhan adalah ketaatan mutlak. Oleh itu tuntutan Musawah ini dilihat tidak selari dengan pandangan Islam. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang menyelar pandangan sebegini.

Apa yang merunsingkan ialah Penasihat Wanita kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil pula memberi sokongan kepada tindakan Musawah ini. Apapun, sepatutnya kita berbalik kepada al-Quran dan Sunnah, bukan lari daripadanya. Membelakangkan sumber hukum Islam hanya akan membawa kerosakan. Akal fikiran kita tidak boleh mengatasi hukum naqli ditentukan Allah.

Dalam ayat yang dinyatakan di atas jelas Allah memberi amaran terhadap ketentuan yang perlu dipatuhi. Tidak timbul isu mentafsir semula ataupun mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Sepatutnya falsafah perundangan Islam itu difahami dan insaf dan bukan hanya diambil secara sambil lewa.

Neraca Barat digunakan bagi mentafsir keadilan yang terbaik, malah dalam banyak keadaan ia lebih menyukarkan dan mendiskriminasi. Lensa Islam adalah lebih luas kerana keadilan bukan bermakna satu sama dengan satu. Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya. Oleh itu keadilan di dalam Islam membawa maksud lebih besar daripada apa yang difahami undang-undang lain.

Kita perlu melihat maksud ayat al-Quran di dalam Surah al-Nisa' seperti di atas, membacanya satu persatu dan memahami maksud jelas. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada kita.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sila layari laman web www.peguamsyarie.org

"Musawah" Sisters in Islam: muhasabah buat para pendakwah

Panas. Walaupun duduk dalam dewan persidangan berhawa dingin, rasa panas berunsurkan metafizika itu menjalar ke seluruh badan. Mungkin apa yang sedang saya alami pada waktu tersebut bertentangan dengan fitrah kefahaman Ad-Din yang kita anuti ini.

Persidangan yang bernama “Musawah: Global meeting for Equality and Justice in the Muslim Family” ini sememangnya menimbulkan rasa “panas” yang tidak patut tetapi mereka nekad perjuangan harus diteruskan!

Dengan semangat juang yang tinggi, kumpulan feminis liberalis Muslim, Sisters In Islam (SIS) terus memalu kuat gong “reform” dalam undang-undang keluarga Islam bagi “membela” golongan wanita Muslim yang terindas dibawah undang-undang Islam (syariah) yang patriarchy (utamakan lelaki) sifatnya.

Slogan seperti Equality, Justice, Fairness, Partiarchy, Fundamentalist, Extremist, Modern dan segala macam lagi kosa kata berbau falsafah dilontarkan semahu-mahunya oleh para delegasi dalam membincangkan bagaiamana caranya hendak mengubah undang-undang syariah mengikut acuan hak asasi manusia tajaan Tamadun Barat.

Memang panas. Bukan saya sahaja yang rasa begitu, Sahibus Samahah Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pun turut sama berkumat-kamit dengan saya di belakang dewan ketika melihat para delegasi feminis liberalis ini berpencak di atas pentas.

Jangan tanya saya bagaimana dapat masuk ke program tertutup ini.

3 jam saya duduk diam di belakang dewan persidangan mengamati satu per satu gerak geri bahasa, idea dan sentiment para delegasi yang memegang mikrofon. Dr. Juanda masih bising dalam diam mengkritik para feminis liberalis yang sudah naik “syeh” dalam agenda mereka “membela” nasib wanita Muslim yang “tertindas” oleh undang-undang syariah.

Saya tak sempat untuk mengajukan soalan-soalan “panas” kepada mereka kerana rasanya di situ bukan “playing field” kami kaum Adam. We were outnumbered – literally.

Tapi ada eloknya para feminis ini menjawab soalan-soalan di bawah yang digariskan oleh sahabat-sahabat NGO Islam saya:

1. Why is the Global Meeting not open to the public since the issues to be discussed are of public interest?

2. What is wrong with Muslim Family Law in Malaysia ?

3. Will the family law you advocate cover gay couples?

4. What is the "contemporary approach" in interpreting the Quran?

5. Are you opposed to the use of Islamic teachings as a source of law and policy?

6. Are you going to use the UN machinery to pressure the Malaysian government to bring Islamic Family Law in line with the secular Family Law?

7. Some of your critics say that you are being funded by foreigners to promote "liberalisation" of Islam in line with the foreign policy objectives of the US and certain Western countries. What's your comment?

8. Who is funding this conference? Foreign funding?

9. Do you want polygamy to be banned and criminalized? What about adultery?

10. What are your views on Islamic inheritance rules?


Kalau SIS dan para feminis yang beria-ria benar ingin melakukan “reform” itu dapat menjawab soalan ini dengan baik maka saya yakin dialog yang lebih bertamadun dan adil dapat dilakukan oleh pihak berwajib.

Melihat skala persidangan ini, disamping promosi di media massa yang meluas, SIS sekali lagi berjaya menunjukkan mereka mampu menjadi satu “force” dalam memporak perandakan kefahaman masyarakat Malaysia berkenaan undang-undang syariah dan juga kedudkan wanita dalam Islam.

Pada kali ini mereka benar-benar memberi impak ditambah pula ketidak pekaan majoriti gerakan Islam berkenaan isu ini.


Kekeliruan dan permasalahan yang timbul berkenaan isu ini harus dilihat secara objektif oleh semua pihak. Jangan kita tenggelam dalam emosi tanpa mencari di mana akar masalah itu sebenarnya.

Pada hemat saya, masalah yang diperjuangkan SIS dan para feminis liberalis ini perlu dilihat dari dua sudut:

1) Agenda hegemoni pemikiran liberalisme agama, dan hak asasi manusia tajaan Barat (ancaman luar)

2) Kelemahan komuniti Muslim dalam menangani permasalahan kekeluargaan dan kefahaman agama ( ancaman dalaman)

Memang kerja golongan kafir harbi memusuhi Islam secara sistematik melalui pelbagai cara yang sulit. Kantung kewangan yang banyak memudahkan lagi gerak kerja mereka di merata dunia Islam. Ini memang sudah jadi sunnatullah. Yang haq (kebenaran) pasti ditentang batil. Kalau tidak masakan akan berma’na haq itu.

Tetapi yang sulit dan rencamnya sebenarnya adalah KITA sendiri yang menjadi pemegang saham dalam isu ini. Kelemahan komuniti Muslim dalam negara kita telah membuka ruang dan peluang untuk para kafir harbi ini untuk menjustifikasikan agenda mereka untuk “reform” kerana BUKTI KEGAGALAN kita sebagai komuniti Muslim jelas terpampang dalam realiti kehidupan sehari-harian.


Kes tertunggak di makhamah, penceraian yang meningkat secara exponentially, tekanan kekeluargaan akibat desakan kehidupan etc.

Siapa yang memperjuangkan nasib kaum Hawa yang tertindas ini? Siapa yang membantu mereka secara konsisten? Siapa yang mendidik mereka?

Ternyata bukan kita para pendakwah tetapi mereka golongan feminis liberalis! Mereka komited membela mangsa-mangsa ini secara konsisten dan inilah hasilnya!

Semua ini menyumbang kepada kanser masalah institusi kekeluargaan Muslim. Penindasan yang dicanang oleh golongan ini memang benar berlaku cuma kadang kala diputar belitkan faktanya untuk memperlihatkan kelemahan kita secara lebih berkesan.


Sama macam cerita di Darfur-lah. Gembar-gembur je lebih tetapi benar-benar bermasalah.

Masalah ini sebenarnya adalah masalah dalaman umat Islam di Malaysia. Tetapi dalam era globalisasi maklumat yang pantas, rupa cita masalah itu telah diangkat ke malakut yang lebih tinggi-dengan saduran sandiwara dan rambu permasalah yang diperhias dengan cantik oleh golongan feminis liberalis ini. Maka jadilah ianya satu fenonema sosial yang mana Islam dikambing hitamkan secara efektif. Orang biasa yang tidak faham Islam, baik Muslim mahupun bukan Muslim terperdaya secara halus maka bersimpatilah mereka kepada perjuangan golongan feminis liberalis.

Ya, tidak semua yang menyokong dan mendokong isu ini sebenarnya “jahat”. Banyak yang keliru kerana KITA yang mendabik dada sebagai pejuang Islam TIDAK “ENGAGE” secara efektif dan berhikmah. Ini untuk yang tidak faham-lah - jahil murakkab – jahil2 (kuasa dua)

Golongan ini perlu dididik dengan berhikmah oleh umat Islam yang faham agar tidak terjerat dalam jaringan liberalis yang suka memutar belitkan fakta dan kefahaman berkenaan hukum hakam Islam. Ramai wanita muda, mahupun yang sudah berumur terperangkap dalam jaringan ini. Mugkin kerana kecetekkan ilmu agama Islam, maka mereka menjadi keliru dengan realiti tersebut.

Golongan ini masih boleh diselematkan jikalau kita benar-benar mengambil kisah akan masalah ini. Tetapi tertnyata perjuangan akar umbi sebegini kurang menarik perhatian para amilin amal Islami kerana politik kepartian yang sempit, parochial lebih digemari mereka.

Benar inilah realiti. Saya lihat, golongan yang terbaik untuk melakukan kerja-kerja de-feminisasi, dan de-liberalisasi ini adalah mahasiswa terutamanya golongan Muslimat. Dengan ilmu yang cukup, kita mampu berdialog, menerangkan kepada golongan ini baik Muslim dan bukan Muslim akan perihal sebenar isu ini.

Sekarang ini, imej political Islam itu lebih tebal berbanding kelembutan Islam itu sendiri. Masakan tidak, ramai orang sudah muak dengan pendokong Islam yang pandai beretorik tetapi masalah komuniti sendiri tidak selesai-selesai juga. Kita gagal mendidik ahli masyarakat kita dengan berkesan kerana kita sendiri yang meletakkan benteng pemisahan tersebut! Pemburuan kuasa secara melampau dan memabukkan telah menghakis kredibiliti kita sebagai pendakwah dan agen Islamisasi!

Pergilah ke kampus-kampus dan lihat apakah golongan Islamis ini berkawan dengan budak-budak yang kontemporari? Sangat minimum sekali. Bagaimana nak memerintah negara kalau satu tahap daripada prinsip sulbah –ya’ni masyarakat Islam pun tak settle lagi.

Melihat Musawah ini begitu rancak diusahakan, saya rasa inilah peluang gerakan Islam untuk bermuhasabah kembali manhaj dakwah kita. Benda ini tidak perlu dipolitikkan. Bodoh kalau kita politikkan perkara yang memerlukan kesatuan ummah. Ini masalah yang perlu diambil peduli oleh semua orang tetapi disebabkan golongan Islamis yang lebih bersedia maka amanah itu lebih berat di pundak mereka berbanding orang awam.

Nasihat saya, mahasiswa muslimat, persiapkanlah diri anda dengan kefahaman yang tajam. Janga asyik buat program “syok sendiri” sahaja. Event tak selesaikan masalah sebab antuna tak campur dengan yang free hair, dan macam-macam lagi!

Nasihat saya kepada gerakan Islam pula, kendurkanlah tali politik kepartian yang sempit. Tak ada ma’na menang pilihan raya kalau masyarakat tidak ditarbiyah dengan baik. Sunnatullah bukan tertegak atas prinsip revolusi tetapi evolusi. Sikit-sikit mengikut kemampuan masing-masing. Kalau terus langkah prinsip sulbah tu maka memanglah kelam kabut semuanya.

Masih belum terlambat.


http://rausyanfikir.com/2009/02/musawah-sisters-in-islam-muhasabah-buat.html

Isnin, Februari 16, 2009

95 penagih pelajar IPT


PASIR GUDANG: Seramai 95 orang atau kira-kira dua peratus daripada 12,352 penagih dadah yang ditahan pihak berkuasa di seluruh negara, tahun lalu, membabitkan pelajar kolej atau penuntut di universiti.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadak Kebangsaan (AADK), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed, berkata walaupun jumlah itu boleh dianggap kecil, ia tidak dipandang remeh kerana pihaknya mahu mendekati dan mendidik setiap lapisan masyarakat bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan dadah.

“Seramai 95 pelajar terbabit berasal dari kawasan bandar dan luar bandar dengan sebahagian besar daripada mereka mengambil dadah perangsang jenis amphetamine (ATS) atau dadah sintetik dan baru pada peringkat awal terbabit dalam penagihan dadah.

“Selain itu, terdapat kajian sebuah universiti, dua daripada setiap 1,000 pelajar terbabit dengan dadah.

“Kami akan berusaha mendekati dan mendidik warga universiti serta kolej supaya menjauhi dadah kerana mereka dianggap golongan berpotensi cemerlang dalam pelajaran dan membantu negara di masa depan,” katanya selepas Program Memperkasa Komuniti Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Pelancaran Rakan Anti Dadah (Rada) Peringkat Negeri Johor di Politeknik Johor Bahru, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Mohd Yusof Kasim, yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Dr Mahmood berkata, program Rada itu bertujuan menggalakkan bakal graduan menjadi mata dan telinga kepada agensi berkenaan dan ia hampir sama dengan Rakan Cop.


HARIAN METRO 16 FEB 09