Sabtu, Disember 19, 2009

Apabila Daie Berehat...

بسم الله الرحمن الرحيم

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

Tingkat empat dan lima Central Square, Sungai Petani dibanjiri anak-anak muda mentah untuk mengisi kekosongan jiwa. Mereka cuba mencari makna hidup disebalik budaya Punk, Skin Head, Black metal, Gothic dan Shuffle. Mereka mencari ketenangan dengan melalak dalam karaoke jamban, melanggah arak, main snooker, hidu gam dan bermadu kasih di sana.
Kata kita, "Ini kerja penguatkuasa!"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

"Islam tak pa, tak Islam pun tak pa...," ujar seorang warga Kg. Orang Asli di Kuala Mu. Masyarakat minoriti ini bukan sahaja jauh daripada pembangunan dan kemajuan teknologi maklumat, bahkan jauh dengan Islam. Ada dalam kalangan mereka mengaku sebagai Islam namun dalam masa yang sama tangan cekat mengusap anjing. Kata kita, "Nanti daie lain buat!"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

Penduduk Mukim Singkir, Yan berperang dengan K.S Chin Minerals Sdn. Bhd. dan Kemelong Engineering & Sankojaya Construction Sdn. Bhd. Isu pertelingkahan tentu sahaja tentang kuari Jerai. Keselamatan penduduk kampung berdekatan kuari terancam sejak kuari ini beroperasi. Antaranya, banjir lumpur, penyakit (akibat debu kuari) dan retakan rumah. Hasil kebun turut merosot akibat gegaran kuat dari kuari. Bukan itu sahaja, kuari ini sebenarnya beroperasi di kawasan hutan yang dilabel Kawasan Sensitif Alam Selitar (KSAS), kawasan yang sepatutnya dipelihara rapi.
Kata kita, Aik! Isu kuari Jerai ini pun kerja daiekah?"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

Penduduk Kampung Tanjung Tokong terkontang kanting dibiarkan tanpa pembelaan apabila tanah mereka sedikit demi sedikit direbut oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Alasan yang diberikan oleh pihak tersebut adalah tanah itu diambil untuk pembangunan. Namun pembangunan yang sepatutnya menjaga hak hakikatnya menodai hak.
Kata kita, " Ini bidang tugas orang politik!"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

"Ubat ini halal atau tidak?"
"Gelatin ini umat Islam boleh makankah?"
"Kasut ini dibuat daripada kulit apa?"
Isu halal haram terus dibagkitkan dari hari ke hari.
Kata kita, " CAP dan PPIM kan ada!"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

Chik Saaleh, 112 tahun terbongkok-bongkok menjiruskan air pada tubuh cucunya yang sudah berusia 52 tahun. Di gubuk yang sudah hampir roboh di tapak tanah rizab kerajaan Felda Bukit Tembaga Daerah Kuala Nerang, Kedah, Chik Salleh dan cucunya yang lumpuh sejak lahir itu tinggal. Hidupnya yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang tidak mendapat perhatian sewajarnya. Kata kita, "Orang miskin bukan dibawah tanggungjawab daie!"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

Kemusnahan hutan bakau di persisiran pantai semakin menjadi-jadi. Pengeksploitasian sumber biodiversiti yang tidak terkawal seperti penerokaan kawasan paya bakau untuk pembangunan, ternakan ikan dalam sangkar, ternakan udang, perindustrian, perbandaran dan pembuangan sisa kimia oleh kapal dan bot nelayan telah mengancam ekosistem paya bakau.
kata kita, " Sudahlah! Kerja Daiekah ini?"


Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

"Kami perlukan bantuan kamu," ujar seorang mujahidin dari Pattani kepada seorang mubaligh Kristian. Dalam terpaksa dia mohon bantuan dari mereka yang tidak seagama dengannya namun sudi turun membantu. Apa boleh buat tiada saudara seagama yang serius membantu.
Kata kita, " Iman tak cukup tinggi lagi hendak pergi berjuang di sana!"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan

Lambakan kes-kes di mahkamah syariah terutamanya yang melibatkan wanita tertangguh. Bukan sehari dua. Bukan sebulan dua. Tetapi setahun dua bahkan ada yang lebih lama. Muncul heroin yang menggelar diri mereka sebagai Sisters In Islam(SIS). Para daie mula gelabah.
Kata kita, "Haramkan SIS!"

Apabila Daie berehat...

*Gambar sekadar hiasan


"Tiada unsur ketuhanan dalam matematik," ujar seorang pelajar matematik. Tuhan itu hanya terdapat dalam subjek agama. Subjek-subjek sains ini kosong dari mengingatkan kita kepada tuhan. Fahaman sekular ini menjangkiti bidang pendidikan.

Malunya saya hendak mengakui diri sebagai daie sedang kerja dibuat bermusim. Ya Allah kuatkan diri ini di atas jalan yang telah daku pilih ini. Kerja kita masih banyak! Jangan berehat wahai daie!

Oleh : Siti Munira Abdul Rashid (Peserta Akademi Dakwah) http://wwwqamarmuneera.blogspot.com/

Editor: Muhammad Izzul Islam bin Hasni (Peserta Akademi Dakwah)
http://ibnuhasni.blogspot.com/

1 ulasan:

Awanama berkata...

setuju dengan artiel "apabila daie berehat.."isu di selatan thai sepatutnya dijuarai oleh umat Muslim khususnya dari Malaysia.namun ramai yang takut@ambil sikap acuh tak acuh mengenai apa yang berlaku di sana.semoga Allah membuka hati kita semua untuk menjadi Muslim yang lebih sensitif terhadap umat sekeliling.