Isnin, Mac 07, 2011

Ucapan Dasar Pengerusi, Muktamar API Pertama

MELAKAR PERUBAHAN

Nurfitri Amir Muhammad

Monolog

Tamat universiti. Hampir empat tahun telah berlalu sejak saya mula keluar masuk ke dalam lapangan gerakan sivil ini secara aktif. Sebelum terlibat dengan dunia ‘gila’ ini, sebagai seorang yang memilih untuk menceburkan diri dalam bidang sains, seperti juga rakan-rakan yang lain, agenda kemanusiaan paling besar yang ingin kami capai adalah menghasilkan sebuah penemuan termaju (cutting edge) yang selayaknya mendapat anugerah Nobel bidang sains. Daripada kajian bakteria Acinatobacter Baumanii yang boleh menjadi penyelamat membersihkan sisa-sisa tumpahan minyak akibat gelojoh manusia yang meminumnya, kemudian menjadi saintis di makmal neurologi elit serba lengkap dan seterusnya di makmal kajian penyakit veterinar memikirkan proposal-proposal baru bernilai jutaan ringgit demi meningkatkan industri ternakan. Akhirnya semua ini saya tinggalkan dengan menimbulkan beberapa soalan daripada teman-teman yang sering ditanya. “Mengapa memilih jalan yang tidak pasti?”, kemudian, “Dari mana kamu akan mendapatkan wang?” dan “Adakah kamu telah terpengaruh dengan doktrin kumpulan ekstremis?”. Kini saya sudah biasa dengan soalan-soalan itu, berbeza dengan soalan yang sering ditanya beberapa tahun sebelum ini. Pada ketika itu, topik perbualan tidak jauh daripada soal ‘pointer’ peperiksaan, kemana hendak lepak selepas kuliah, soal cinta, seterusnya berevolusi ke soalan berkaitan kenaikan gaji, pengkat dan rumah mewah.

Apa yang saya lihat, soalan-soalan awal di atas melambangkan sikap sinis yang ditujukan bukan sahaja terhadap aktivisma dan dakwah tetapi juga terhadap konsep kehidupan masyarakat itu sendiri, iaitu sikap sinis yang telah dipupuk sejak sekian lama akibat kecairan akidah, modenisma dan sekularisma yang ditaburkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Sebagai jawapan biasanya saya tersenyum sebagai memahami keraguan mereka. Kemudian saya akan katakan, “Memang benar, sains dan teknologi penting kepada pembangunan negara dalam kerangka ekonomi dan sosial kita pada masa ini. Namun, ada tradisi lain, selain tradisi masyarakat moden yang masih wujud hingga ke hari ini. Tradisi yang didasari dengan idea yang mudah iaitu kita bertanggungjawab antara satu sama lain. Jika kita percaya kepada kebenaran sesuatu hakikat dan bertindak sewajarnya, maka kita boleh berbuat sesuatu yang lebih bermakna walaupun kita tidak dapat menyelesaikan semua masalah”. Kata-kata ini saya olah daripada ucapan Presiden Barack Obama. Seorang pejuang dimata rakyat yang begitu yakin dengan perjuangannya untuk meraih kembali ’Impian Amerika’ (American Dream). Sama ada benar atau salah apa yang diperjuangkan, beliau tetap digelar sebagai ‘Pejuang Amerika’.

Memaknai Perjuangan

Seperti kata-kata Abu Saif Al Mahshari, “Perjuangan itu adalah fitrah kemanusiaan. Walaupun ia tidak berpeluang dirasai oleh semua manusia, namun manusia yang memilih untuk berjuang telah memilih untuk berada dalam lipatan sejarah sama ada ia terakam dalam teks sejarah mahupun tidak”. Namun, tidak sedikit juga mereka yang bergelar pejuang sebenarnya keliru dengan perjuangan mereka. Ketidakpastian atau kekeliruan ini, jika dibiarkan berlarutan, pada satu masa akan mengakibatkan kejatuhan yang menjunam dalam graf aktivisma seorang pejuang yang akhirnya akan membelenggu bekas aktivis tadi. Lalu jadilah dia dorman atau mandom kerana fobia yang berpanjangan terhadap pengalaman-pengalaman kegagalan yang mereka hadapi. Lebih malang lagi apabila rasa fobia itu cuba diwaraskan dengan alasan-alasan pesimis yang disandarkan kepada pengalaman kegagalan yang gagal dicerna menjadi ibroh. Jelas sekali, aktivisma perlu didasari dengan ilmu. Sekurang-kurangnya faham tujuan dan faedahnya kepada diri sendiri dan juga masyarakat umum. Jika kefahaman ini dapat dihayati dengan ikhlas, kegagalan dan tekanan hidup sekali-kali tidak akan menjadi halangan untuk kita terus berbuat. Imam Al-Ghazali mendefinisikan ilmu yang bermanfaat atau ilmu nafi’ itu adalah ilmu yang akan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t apabila dipelajari. Al-Qur’an menyebutnya sebagai al-hikmah, sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran, Al-Baqarah:26

Allah menganugerahkan al-hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi al-hikmah itu, maka ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah Swt.).”

Ilmu dan amal menurut Imam Al-Ghazali lagi merupakan dua sifat yang saling mengisi. Oleh sebab itu, ilmu tidak mencapai hakikat tanpa amal dan sebaliknya. Kefahaman bahawa segala amal Islami kita hanya boleh disandarkan kepada Allah s.w.t adalah sangat penting. Lalu, bagaimanakah hendak menilai ilmu? Mungkin satu kaedah mudah yang telah lama digunapakai oleh para ulamak boleh kita gunakan iaitu Mabadi Ilmu, semua ilmu pengetahuan sama ada bersifat dunia atau akhirat boleh dinilai dengan Mabadi (asas) ilmu ini untuk mencari kebenaran ilmu tersebut. Mabadi Ilmu ada sepuluh perkara seperti yang ditulis oleh Shaikh Zainal Abidin Bin Muhammad Al-Fathoni, pengarang kitab Aqidatul Najihin. Berikut adalah Mabadi Ilmu Tauhid yang ditulis beliau:

1) Nama ilmu : Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu 'Aqaid, Ilmu sifat dan Al-Iman.

2) Tempat ambilannya: Iaitu diterbitkan daripada Al-Quran dan Al-Hadith.

3)Kandungannya: Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada Allah dan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperolehi I'ktikad yang yakin.

4) Tempat bahasannya ( Maudhu'nya )kepada empat tempat :

Pertama : Pada zat Allah Ta'ala

Kedua : Pada zat Rasul-rasul

Ketiga : Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh.

Keempat : Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib.

5) Faedah Ilmu Tauhid : Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.

6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain: Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling utama sekali.

7) Yang menghantarkan: Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi.

8) Hukumnya: Iaitu fardhu A'in atas tiap-tiap orang mukallaf.

9) Kelebihannya: Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain.

10) Kesudahan ilmu ini: Iaitu dapat membezakan di antara 'aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.

Saya tidak pasti sama ada anda sedar atau tidak, 10 perkara ini tidaklah asing bagi seorang pelajar tahun akhir dalam apa bidang pun. Sebuah tesis sarjana muda mesti melengkapkan bahan kajian mereka dengan penilaian terhadap 10 perkara ini atau sebahagiannya untuk mendapatkan ijazah (melainkan anda tidak pernah buat tesis atau tesis anda gagal). Masalah yang timbul pada diri individu terpelajar sekarang bukan tidak ada asas-asas ilmu, tetapi gagal menterjemahkan ilmu yang ada ke dalam kancah kemasyarakatan dan kehidupan individu.

Menjadi Agen Perubahan

Ali Shariati merupakan seorang tokoh revolusioner yang harus dikaji idea-ideanya tentang reformasi masyarakat. Pada pandangan Shariati, bagi masyarakat tradisional amnya dan masyarakat Islam khususnya, tragedi yang paling tragik dalam sejarah umat adalah berlakunya pemisahan komunikasi yang berkesan dan perbezaan pandangan antara golongan massa dan golongan terdidik. Maka, permasalahan sebenar masyarakat tidak akan pernah dikaji dan difahami secara mendalam. Walaupun secara kasar, kelihatan golongan terdidik ini bergaul dengan orang lain, tetapi sebenarnya pergaulan mereka terbatas dalam lingkungan kelas sosial mereka. Reformasi masyarakat hanya boleh berlaku dengan wujudnya golongan-golongan ‘celik’ atau ‘enlighted’ yang menjadi jambatan untuk kedua kelas sosial ini bergabung. Menurut beliau, mereka yang ‘celik’ adalah mereka yang menyedari dan arif mengenai situasi sosial mereka pada masa kini dan masa lampau dan juga mempunyai kesedaran terhadap tenggungjawab sosial. Mempunyai pendidikan bukan jaminan untuk menjadi ‘celik’ tetapi dengan pendidikan tersebut memungkinkan gerak kerja mereka menjadi lebih efektif. Konsep ini selari dengan konsep Ulul Albab yang digariskan di dalam Al-Quran. Imam An-Nawawi menerangkan maksud Ulul Albab sebagai mereka yang berpengetahuan suci, tidak hanyut dalam derasnya arus dan mengerti, menguasai dan mengamalkan ajaran Islam dalam seluruh kehidupan. Firman Allah s.w.t;

“Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi Ulul Albab.”

Ali Imran :190

Juga Firman-Nya;

“Tidak sama yang buruk (jahat) dengan yang baik (benar), meskipun kuantiti (jumlah) yang jahat itu mengagumkan dirimu. Bertaqwalah hai Ulul Albab, agar kamu beruntung”

Al- Maidah:100

Dan,

“Yang mengikuti perkataan lalu mengikuti paling baik dan benar, mereka itulah yang diberi petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah Ulul Albab”

Az-Zumar:18

Ketiga-tiga ayat ini menceritakan sikap Ulul Albab yang bersungguh-sungguh mencari ilmu, sentiasa mampu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan walaupun seluruh manusia melilih kebatilan dan teliti lagi kritis dalam menerima maklumat, berita atau dalil. Sikap inilah yang perlu diwarisi oleh generasi pemuda kini untuk mencapai taraf ‘celik’.

Memahami Masyarakat

Soalan, “Dimana kita harus bermula?” harus ditanya dalam setiap diri aktivis, tanpa persoalan ini kita akan terperangkap dalam ritma penyesalan tanpa sudah meratapi nasib umat di pentas-pentas ceramah dan di coretan-coretan karya yang meruntun perasaan. Jawapan kepada persoalan ini adalah memahami situasi masyarakat, sedar akan kewujudan konflik sosial dan punca sebenarnya serta memikirkan apa keperluan generasinya untuk menjamin nasib generasi akan datang. Untuk memahami permasalahan masyarakat pada hari ini, kita harus bersedia mencungkil akarnya yang paling dalam. Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas, punca paling asas kepada segala permasalahan ini adalah Sekularisma dan kekeliruan faham ilmu iaitu keliru untuk mencari hakikat ilmu yang bermanfaat. Daripada akar permasalahan tersebut, timbul 1001 masalah lanjutan dalam pelbagai kerangka kehidupan;

1. Kerangka ekonomi: Kad kredit? Riba? FTA? Hipermarket? Kapitalisma? Noeliberalisma?

2. Kerangka Budaya: Hedonisma? Individualistik? Homoseksual? Kebebasan?

3. Kerangka Pendidikan: Komersialisasi ilmu? Orentasi peperiksaan? Dikotomi ilmu?

4. Kerangka Sains dan Teknologi: Modifikasi genetik? Modernisasi hidup? Internet?

5. Kerangka Politik : Sosialisma? Demokrasi? Korupsi? Nepotisma?

6. Kerangka Pembangunan: Perubahan iklim? Krisis alam? Pembandaran tak terancang?

7. Kerangka Dakwah Dan Jihad: Ritual Islam? Pengganas? Khurafat? Bid’ah?

(Generasi Al-Ghuraba’)

Dalam tujuh kerangka ini, belum cukup disenaraikan 1001 permasalahan tersebut namun sudah cukup untuk kita termenung panjang dan ramai pula yang menyerah diri sebulatnya tanpa mahu melawan arus lagi, sama ada secara zahir atau sekadar membenci di dalam hati, kata mereka “ Nak buat macam mana? Dah akhir zaman…”

Mengorak Langkah

Bagi mereka yang masih mahu menentang (resist), anda pasti bersetuju, pendidikan merupakan senjata yang paling ampuh untuk menghadapi segala ancaman ini. Menggunapakai falsafah dan metodologi pendidikan Al-Attas, matlamatnya hanya satu, ‘Islamisasi minda, jasad dan jiwa dan kesannya keatas diri sendiri dan kehidupan Muslim dan non-Muslim yang lain secara kolektif termasuk persekitaran alam yang bersifat spiritual dan fizikal.’ Idea ini dijelaskan dengan lebih lanjut dalam buku-buku beliau; Islam And Secularism, The Concept Of Education in Islam, Prolegomena To The Metaphysics of Islam dan sejumlah buku-buku yang lain. Namun, sangat sukar menterjemahkan proses Islamisasi ke dalam masyarakat sekarang yang sangat keliru hatta kepada konsep-konsep Islam yang dapat dilihat dalam pengamalan Islam ritual dan Islam Slogan juga kecenderungan umat Islam untuk mengadaptasi barat. Bagaimana pula mahu menterjemah konsep yang sama ke atas belia-belia lorong gelap yang sepanjang hidupnya tidak pernah solat, atau pakcik tua mangsa penindasan kapitalis yang siang malam bekerja membawa beca dan mengutip sampah lalu tidak sempat memikirkan apa itu Islamisasi. Idealisma dan semangat sahaja tidak cukup untuk membuat apa-apa perubahan seperti mudahnya menyebut “kembali kepada ajaran Islam yang sebenar”. Tidak-dapat tidak, perancangan dan tindakan yang jitu mesti dilaksanakan untuk menterjemah visi dan misi. Oleh itu, kecekapan organisasi dan individu mesti mencapai taraf yang sama dengan idelisma tersebut.

Dalam hal ini, API perlu terus teguh sebagai sebuah pelantar yang menyediakan ruang pembangunan diri yang menyeluruh dalam pelbagai aspek keilmuan, kebajikan dan gerakan. API juga perlu lebih tersusun menyelaras para pemuda untuk penglibatan dalam pelbagai medan-medan perubahan (Islah dan Dakwah) berdasarkan keutamaan dan mengisi kelompongan. Juga memainkan peranan yang aktif dalam proses pemajuan dan pematangan gerakan Islam dan masyarakat sivil dalam memenuhi keperluan perubahan umat. Alhamdulillah, sedikit semi sedikit, idea API untuk membentuk gerakan massa akar umbi yang membentuk masyarakat menjadi asas pergerakan untuk bersama membangunkan keilmuan, kesedaran, dan tindakan ke arah perubahan untuk kesedaran semakin diterima. Idea-idea ini terus dibawa oleh aktivis-aktivis yang mempunyai pengalaman bersama API dan gerakan-gerakan usrah lapangannya seperti AMANI, UNGGAS dan ABABIL ke dalam lingkungan mereka. Usaha ini mesti diteruskan dengan perancangan yang rapi. Kita mesti bersedia dengan visi yang jelas. Mereka yang mempunyai visi yang jelas, akan melaksanakan visi ini dengan penuh sabar, peringkat demi peringkat kerana mereka faham kepentingan untuk melaksanakan sesuatu dengan teratur dan kemas. Tetapi, mereka yang merancang misi tanpa mempunyai visi yang jelas akan mudah menyerah kalah apabila datang aral melintang.

Berdoa

Sesungguhnya, saya telah lihat satu halangan yang paling besar dalam dakwah. Mengimbau kenangan sewaktu mula-mula terlibat dalam pembinaan sebuah pusat pemulihan, segala-galanya bagaikan begitu teguh, ujian demi ujian yang datang bersimpang siur untuk membina ‘Taman Syurga’ ini saya lihat telah mengukuhkan azam kita, memperkemas gerak tari kita dan menggenggam kemas hubungan kita. ‘Kusangka nanas atas permatang, Rupanya durian tajam duri, Kusangkakan panas hingga ke petang, Rupanya hujan ditengah hari’. Perpecahan, sebuah senjata maha bahaya ciptaan syaitan dan nafsu jugalah yang akhirnya berjaya memecahkan tembok pertahanan itu. Saya semakin risau apabila mengingatkan API juga tidak terlepas daripada ujian ini. Berdoalah; ‘Terang bulan di pintu kurung, Cahayanya sampai ke daun kayu, Kalau Allah hendak menolong, Air pasang kapal pun lalu.’ Berlapang dadalah; ‘Kalau ada jarum yang patah, Jangan simpan di dalam peti, Kalau ada silap sepatah, Jangan simpan di dalam hati.’ Bersatulah, kerana perpecahan adalah kelemahan umat Islam yang paling bahaya maka perpaduan pula adalah kekuatan umat yang paling ampuh.

1 ulasan:

sisi_gelap berkata...

ok2...dasar yg baik untuk permulaan. bukhari