Isnin, Mac 10, 2008

Catatan Perjalanan: Masyarakat yang Sakit ( Siri 1) - LANDAS 1


“Kau nak ke mana cuti raya cina ni?”

“ Aku ada program dakwah lapangan”

“Ish ko ni, orang tengah sibuk prepare nak Pilihan Raya ko wat benda lain pulak”

“Entahlah, aku disillusion dengan politik kepartian. Alih-alih masalah Orang Melayu tak selesai jugak”

“ Eh, ko ni. Kau tolak politik ke pulak?”

“ Tak. Aku cuma lebih selesa dengan politik rakyat berbanding politik kepartian. Puas sudah aku cuba tenyeh isu-isu rakyat seperti FTA pada orang-orang penting BA tapi tak jadi jugak”

Ehtah. Aku juga seperti ramai daripada sahabat aku yang ‘berjuang’ menentang ‘taghut’ dalam politik Negara ni. Tapi akhir-akhir ni aku lebih kecewa daripada gembira. Melihat nasib rakyat, tak kiralah Melayu, India dan Cina, semuanya tersepit terutamanya golongan marhain. Terlampau banyak sangat politik akhirnya masalah asas rakyat terbiar. Bazir tenaga maki hamun, penyelesaiaan tidak ada juga.

Nasib baik dalam kekecewaan sebegini aku diberi peluang untuk menulis dalam akhbar alternatif yang tidak kurang hebatnya seperti Harakah. Sekurang-kurangnya, aku boleh sumbang buah fikiran dalam mempersiapkan minda para pembaca akan isu yang patut difokus dalam PRU akan datang.

Aku tidak berseorangan. Sahabat-sahabat di Pulau Pinang senantiasa terbuka dengan idealisme aku yang ganjil ini. Mana tidaknya, banyak daripada pemikiran aku dibentuk dalam sibghah gerakan rakyat dari Pulau Pinang terutamanya di bawah sekolah pemikiran S.M Idris.

Maka aku nekad cuti Raya Cina ini, aku akan menyertai Program LATIHAN AKTIVIS DAKWAH DALAM ISU-ISU SOSIAL (LANDAS) anjuran Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPPP) dan juga NGO Islam yang aku memegang Usrah Antarabangsa dalam Angkatan Pemuda-Pemudi Islam (API). Majoriti daripada mereka ini adalah bekas pelajar USM yang sudah sebati dengan gerak kerja dalam masyarakat sewaktu di kampus.

Tepat jam 6 pm aku bergerak keluar dari Ipoh menaiki bas Super Nice ke Sungai Petani, lokasi program kami. Sunyi jugakla pergi program dakwah lapangan seorang diri. Sahabat lain mungkin ada agenda PRU. Sepanjang perjalanan, aku sempat melihat pemandangan sawah padi yang menghijau. Sayu betul masa tu. Apa agaknya akan jadi kepada sawah ni kalau FTA dengan Amerika dimeterai. Tak sanggup aku lihat para petani kita meratap sebab tak dapat jual beras dek kerana beras Amerika jauh lebih murah kelak dengan FTA.

Tidak lama kemudian aku tertidur.

Aku tiba di Sungai Petani lebih kurang jam 9 pm. Gelap betul stesen bas buruk ni. Perut aku dahla kosong waktu tu. Nasib baik ada satu gerai Melayu yang tak tutup lagi. Makcik tu layan aku dengan penuh mesra walaupun aku tengok muka dia letih sangat. Kerja kuat makcik ni.

Lebih kurang sejam kemudian datanglah si Amir, salah seorang pengarah program LANDAS ni. Rasa cuak tu ada la jugak sebab dah malam sangat, Dahla geng-geng pendatang asing ni bersepah kat stesen bas.

Malam tu jugak, geng-geng Penang ni sampai dengan van lama. Disebabkan kami masih lapar, destinasi pertama kami ialah ke medan selera dekat dataran Sungai Petani. Ramai jugak manusia masa tu tengah makan. Tak lama kemudian, kapten kami, Ustaz Kamaruddin (nama manja Ustaz Din) dari PUMPP datang makan bersama kami. Beliaulah ‘taiko’ dakwah lapangan area Kedah ini. Sangat berpengalaman merawat masyarakat yang sakit terutamanya budak-budak muda status Mastika. Lesen penguatkuasa agama negeri yang dipegang oleh beliau menjadikan program kami ini ada autoriti sedikit.

“ Hang tau dak tadi ada sorang makcik tersadai di wakaf depan masjid tu” sapa Ustaz Din.

“ Awat?” Tanya Mesol, sahabat dari P.Pinang.


“ Itulah. Katanya, dia diceraikan oleh suami dia, sorang Tok Imam dekat Gombak. Katanya, dia tengah mengandung 2 bulan”

“Takut kami tengok ustaz kasar dengan dia tadi. Awat lagu tu?” Tanya si Amir yang dah lama berada di Sungai Petani sebelum kami datang.

“ Hang bila berhadapan dengan masalah macam ni, kena korek betul-betul. Kalau pakat berlembut, kesian memanglah dia selesa. Bila ustaz keras sikit, baru emosi dia terfokus balik. Mana boleh bagi muka. Baru dapat tau hal sebenaq”

“ Ish, kesiannya. Awat Tok Imam tu buat macam tu?” Tanya si Zul, budak lepasa SPM yang nak jugak join program kami.

“ Tak taula. Ustaz kena call suami dia ni. Tadi ustaz ada call tapi dia letak lepas tu. Nampak sangat macam takut-takut. Ni kes pertama kita kot”

Kami tersenyum. Baru sampai Allah dah bagi satu kes percuma. Hebat.

Selepas kenyang bantai burger ( tadi aku makan Nasi Goreng Ayam) kami pulang ke Masjid Sultan Mudzafar Shah yang terletak di tengah-tengah pusat Bandar Sungai Petani.

Macam biasa, program dakwah lapangan ni tak payah nak expect katil empuk. Tidur kat bilik mesyuarat dalam masjid je. Nasib baik Ustaz Din dikenali di kawasan ni. Senang sikit kerja kami urus program ni. Kami pun tidur atas karpet berselimutkan kain pelikat dan jaket.

Kejutan pertama di malam hari

“Tok! Tok!”

“ Bangun-bangun!”

“ Uish siapa tu?!” Tanya si Azrul.

Kami tersentak dari tidur dek kerana ketukan kuat dari luar bilik kami.

La, Ustaz Din rupanya. Ingatkan Mat Pit mana kacau kami tidur.

“ Pukul berapa ni Ustaz?”

“Cepat pakai seluaq. Kita ada kes”

Jam aku menunjukkan pukul 2 pagi. Kami tidur tak sampai sejam je dari tadi!

Dengan masing-masing masih sedikit mamai, kami naik van yang dibawa Mesol ke tempat yang Ustaz Din tunjuk.

“Kes apa ni ustaz?”

“ Kes khalwat. JKKK taman perumahan tu dok perhati lama dah. Depa syak malam nak raya cina ni, budak-budak tu tidur satu rumah”

Sampai di taman tersebut, kami mengambil kawan Ustaz yang turut mempunyai kuasa seperti Ustaz: pencegahan maksiat.

Setibanya kami di kawasan tersebut, terlihat ramai ahli JKKK yang terdiri daripada Pakcik-pakcik siap dengan kayu untuk sertai serbuan kami. Katanya, mereka dah lama perhati masalah budak lelaki masuk rumah perempuan tu. Tiap-tiap pagi mereka akan keluar dari rumah untuk elak dilihat. Tapi sudah tentu pakcik-pakcik yang bersubuh di Masjid nampak.

Ni lah pertama kali aku join kerja-kerja penguatkuasaan macam ni. Cuak jugak nak ketuk pintu rumah orang pagi-pagi buta macam ni. Ustaz Din dan sahabatnya menjadi leader kepada operasi ini. Kami sekadar lihat dari tepi. Begitu juga dengan pakcik-pakcik JKKK.

Nasib mereka baik pada malam tu. Budak-budak lelaki tu keluar naik motor budak perempuan tersebut dengan kereta mereka dibiar parking di luar rumah. Sewaktu soal siasat dijalankan, kami difahamkan pakcik-pakcik yang berjaga di luar rumah terlihat dua motor yang berpatah balik daripada menuju ke arah kami. Sahla budak-budak lelaki tu. Mereka nampak ramai berkumpul depan rumah perempuan mereka, terus cabut dari pandangan kami.

Budak-budak perempuan tu diberi warning untuk tidak membawa masuk lagi budak-budak lelaki tersebut untuk tidur di rumah. Ustaz Din menegaskan bahawa orang-orang taman perumahan ni bukan buta.

Perasaan hampa sedikit melingkari pakcik-pakcik JKKK. Selama ni, mereka memang pasti budak-budak lelaki tu selalu bermalam di rumah budak-budak perempuan tersebut. Kami tak boleh buat apa-apa sebab tak ada bukti kukuh. Cuma boleh ambil maklumat dan nasihat. Tapi kami yakin budak-budak lelaki tu akan datang balik pagi-pagi nanti sebab kereta mereka masih kat situ.

Baru sehari, sejam tidur kat Masjid, Allah dah bagi kami kes kedua. Kami sambung tidur jam 4.30 pagi. Program belum rasmi lagi Ustaz Din dah bawak kami ke tempat masalah. Hebat-hebat.

Hari yang mengubah hidup aku


Tak ramai pun yang join. Tapi lebih senang nak kawal kami sebab ni bukan program makan angin. Risiko banyak.

Hari pertama program kami dimulakan dengan sesi perkenalan dengan para pengarah program dan peserta lain. Ada seorang cikgu kaunselor dari Sungai Petani turut serta dengan kami. Yang lain, seramai 9 orang lagi merupakan sahabat-sahabat yang baru grad.

Kenapa program ni buat? Katanya target group program ni bukanlah untuk kami tetapi untuk Ustaz dan Ustazah yang tak pernah turun lapangan. Ustaz Din frust dengan banyak ustaz-ustaz ni terutamanya budak-budak Al Azhar yang jadi guru J-QAF. Masa belajar punya berapi-api atas pentas ceramah, balik Malaysia terkena habuan al-wahan (cinta dunia). Sama jugak seperti ustaz-ustaz ceramah ni. Mereka selama ni duk ceramah dalam zon selesa, dengan orang yang datang kuliah yang dah dapat hidayah. Nak turun ke masyarakat jauh sekali. Banyak alasan semua.

Tapi, syukur Alhamdulillah, Allah menggerakkan hati-hati kami untuk turut serta program yang kecil tetapi besar maknanya kepada kami sebagai aktivis dakwah masyarakat. Realiti di kampus tidak sama, malah bagai langit dan bumi kalau nak diikutkan dari segi cabaran dan ujiannya.


Ustaz Din memberi tips dan penerangan bagaimana nak berhadapan dengan 'pesakit-pesakit sosial'


Mujur ada Ustaz Din yang masih tidak jemu menunjuk ajar kami untuk menjadi aktivis dakwah yang bergelumang dengan penyakit-penyakit dalam masyarakat. Disinilah ujian sebenar seorang pendakwah. Bagaimana hendak menarik golongan yang sudah terjelus dalam lumpur untuk dibersihkan dengan iman dah ihsan.

Ustaz Din bersama Abang Nizam Mashar ( pengarah program ini) memberi kami taklimat teknikal berhubung dengan perjalanan program ini. Disamping itu turut disaji kepada kami gambar-gambar yang Ustaz Din peroleh daripada kerja-kerja lapangan yang terdahulu. Memang parah budak-budak Melayu kita.


Aku masih segar di hadapan masjid sebelum berhadapan dengan masalah di lokasi ekpedisi kami

Selepas makan tengah hari lebih kurang pukul 3.30 petang kami bergerak ke lokasi pertama: Stesen Bas dalam negeri yang buruk.


Ustaz memang tak peduli apa dah. Dia buat kerja je yang aku nampak.


Ustaz Din dengan gaya selamba terus duduk dekat sepasang merpati. Aku sebagai camera man perlu bertindak cermat untuk merekod proses interrogation yang Ustaz Din lakukan. Bila check IC rupanya baru habis sekolah. Ustaz Din bukan nak saman mereka tapi nak ‘takutkan’ mereka bahawa duduk berdekatan sebegitu di tepi sungai yang kotor tidak elok bagi orang Islam macam kita. Budak lelaki tu pucat jugakla bila Ustaz Din tunjuk kad kuasa Majlis Agama Islam. Ustaz Din boleh je saman.

Itu bukan kes kami yang sebenar. Hanya warm up sebelum berhadapan dengan kes yang lebih real. Kami bersepuluh berjalan di belakang Ustaz Din menempuh laluan belakang rumah kedai yang dinobatkan sebagai “Black Area” dekat Sungai Petani. Lokasi tersebut hanya berhadapan dengan Central Square Sungai Petani.

Ustaz Din memberi isyarat diam. Kelihatan dari jauh beberapa anak muda Melayu sedang syok berborak. Apabila mereka nampak Ustaz Din dan kami, 3 orang daripada mereka terus cabut lari. Yang lain tak sempat lari kerana kami dah kepung. Muka masing-masing mula kelat.

Bau busuk betul. Aku rasa pening lalat sikit. Rupa-rupanya, inilah lokasi yang Ustaz Din kata tempat lepak minum arak budak-budak Melayu Sungai Petani. Aku tengok ada sorang tu dah tersadai atas kanvas denga tidak sedarkan diri. Dua botol arak nampak kosong disebelah budak tu.

Ustaz Din isyaratkan kami untuk memulakan dakwah. Disebabkan kami tak pernah berhadapan dengan makhluk Allah yang sebegini, kekok jugak mula-mula. Kami mula berborak-borak dengan budak lelaki, Perserta Muslimat turut menarik budak-budak perempuan tu ke satu sudut untuk beramah mesra.

Aku dengan kamera Samsung menangkap gambar secara diam-diam.



Banyak maklumat yang kami dapat. Ramai diantara mereka ni baru keluar penjara atas beberapa kes mencuri. Memang jenis tahap bermasalah payah nak ubah dengan ceramah.



Ustaz Din menggayakan teknik ‘kasih sayang’ yang diajar kepada kami pada waktu pagi. Beliau mengusap tangan, budak-budak mabuk ni disamping bersoal jawab dengan mereka. Memang sah mamai budak-budak ni tonggak berbotol-botol arak murah berjenama Thai Sung yang berharga RM3.50 sebotol. Depa mana main minum Carlsberg, Anchor semua. Lagi murah arak (lebih tepat samsu) lebih kuat kesan dia. Mana taknya, kandungan alkohol cukup tinggi.



Aku dan Zul menyusun botol-botol arak untuk didokumenkan gambarnya. Vodka pun ada. Gila mabuk budak-budak Melayu ni (diulang budak-budak Melayu yang ada bin dan binti).

Mereka agak terkejut ada orang pakai tudung macam peserta Muslimat ni yang datang jumpa diorang. Selama ni, mereka kata tak ada sorang pun yang sudi jumpa. Mungkin inilah yang menjadi sindrom golongan pendakwah. Mereka lebih suka menghukum dari berdakwah. Manusia yang kotor dengan dosa tidak layak didekati oleh geng-geng dakwah berapi-api ni.


Pengsan sepengsan-pengsannya. Dibuai mimpi lepas tonggang Thai Sung.


Macam mana nak selesai masalah umat? Ni yang aku frust kadang-kadang tapi bila aku sendiri rasa, memang sangat-sangat perlu ustaz,ustazah, siswa siswi islamik ni rasa sendiri berhadapan dengan pesakit-pesakit sosial ni.

Macam-macam sakit budak-budak mabuk ni ada. Ada yang putus tunang, ada yang frust family problem. Mereka minum arak untuk lari dari semua masalah tersebut. Peserta Muslimat ada interview budak-budak perempuan tersebut. Mereka bengang dengan Ustaz Din sebab bawak masuk cerita mereka dalam rangancan 999 di TV3 disamping disumbatkan jugak dalam Mastika dan Harian Metro.



“ Kami tak buat seks bebas seperti yang depa lapor dalam tv tu”


“ Betui ke hang tak buat?” Tanya peserta Muslimat.

“ Betuila. Kami buat pun dengan pakwe kami”

Astaghafirullah. Aduih. Rupanya, mereka faham ‘seks bebas’ yang kami maksudkan tu adalah melakukan hubungan seks dengan banyak lelaki lain. Kalau dengan teman lelaki sendiri tak dikira seks bebas walaupun dah beberapa kali buat zina tu.

Kami terkejut beruk jugakla dengan pengakuan macam tu. Kadang-kadang mereka ambik marijuana dan syabu untuk meningkatkan tahap ‘high’ mereka ni. Nak lari dari masalah tunggang Thai Sung, syabu dan marijuana. Lepas habis mimpi indah masalah datang balik. Tunggang balik. Itulah kitaran hidup mereka.


Aku cuba meneliti cara dan pendekatan Ustaz Din. Kena banyak bersabar dalam buat kerja ni sebab budak-budak ni dahlah mabuk pastu melalut pulak.


Kenapa diorang lepak kat area tu? Sebabnya, sumber arak dekat. Mereka duk beli arak dari rumah Cina tepi tempat mereka lepak. Aku tak tau orang Cina tu ada lesen ke tidak jual arak tu, tapi yang nyata pelanggan mereka ni budak-budak Melayu ni.

Rata-ratanya tak habis sekolah dan pernah masuk penjara sekali. Disamping itu, majoritinya mempunyai keluarga yang bermasalah. Penceraian, miskin merupakan butiran norma bagi pesakit-pesakit masyarakat ni.

Kepala aku mula pening. Dahla tak tahan bau arak bila cakap dengan diorang. Bertambah pening bila mana aku cuba membuat analisa tentang masalah yang mereka hadapi.

Kenapa budak-budak ni jadi macam ni? Nak bagi alasan tak ada didikan agama sangat mudah sekali jawapan macam tu. Aku tengok mereka ni haru. Pening dan rumit. Kenapa budak Melayu yang jadi camni? Kenapa aku tak nampak budak India dan Cina yang jadi camni? Mungkin ada tetapi jarang sekali nak jumpa secara terbuka macam budak-budak Melayu ni.

Adui. Pening-pening…


Bersambung dalam siri ke-2. Panjang sangat…

diambil dari laman blog ahli API http://sosialiskanan.blogspot.com/

1 ulasan:

Unknown berkata...

Akm...kenapa anda sedih dengan guru2 j-QAF ni? adakah kerana guru2 j-QAF kerja di bawah kerajaan?
Ada rezeki tahun depan mintak j-QAF ye...