Sabtu, November 22, 2008

Penganut Islam di Malaysia tak boleh tukar agama, kata bekas hakim

PUTRAJAYA: Konsep kebebasan beragama tidak terpakai bagi umat Islam di negara ini, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi hari ini.

Datuk Faiza Tamby Chik berkata berdasarkan undang-undang di negara ini, tidak mudah bagi seorang penganut Islam untuk keluar daripada agama itu.

Sambil mengambil contoh kes murtad Lina Joy, Faiza berkata dalam penghakimannya, mahkamah tinggi memutuskan bahawa mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan terus kekal sebagai penganut Islam hingga akhir hayatnya.

“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ’Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan’ pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa (ISCOM 2008) yang berakhir hari ini.

Seminar dua hari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut disertai ilmuan dari universiti Sydney, Syria dan Filipina.

Kini, Faiza berkhidmat sebagai fellow di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Bekas hakim itu berkata mahkamah berkenaan juga memutuskan bahawa sekiranya seseorang bukan Melayu memeluk Islam dan kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada agama itu, dia perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri berkenaan, yang akan membuat keputusan tentang rancangannya itu

Tiada ulasan: