Isnin, November 10, 2008

Usah campur hak umat Islam: Jakim

"Tindakan kononnya atas dasar hak asisi"

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan pelaksanaan syariat Islam di negara ini, khususnya mempertikaikan kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa sebagai panduan kepada umat Islam bagi menyelamatkan generasi muda melakukan perkara dilarang agama.

“Kita minta pihak yang tidak berkenaan tidak mencampuri hak orang Islam dalam menganuti agama Islam, apatah lagi mempertikai pihak berkuasa agama negara ini dalam menegakkan syiar Islam.

“Tindakan segelintir mereka mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menuduh fatwa yang dikeluarkan sebagai tidak adil dan menindas juga melanggar hak asasi manusia kerana mempertikaikan hak orang Islam beragama,” katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan portal berita Jumaat lalu, mengenai tindakan NGO bukan Islam; Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini, yang mengeluarkan mengharamkan perlakuan ‘pengkid' atau wanita yang menyamai lelaki.

Portal berita itu turut menyiarkan temubual eksklusif dengan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mempertikaikan fatwa itu dan menyifatkannya tindakan lelaki yang mahu mengongkong kebebasan wanita negara ini di samping menjadikan negara dipandang serong serta ditertawakan negara luar.

Minggu lalu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dilaporkan berkata, tindakan pelbagai pihak lantang mencemuh serta memperlekehkan fatwa sebagai usaha menjatuhkan wibawa Majlis Fatwa walaupun Mahkamah Persekutuan sudah membuat penghakiman institusi fatwa sah di sisi Perlembagaan.

Wan Mohamad berkata, apa yang penting fatwa yang dikeluarkan itu mengambil kira kepentingan majoriti masyarakat Islam negara ini dan bukan mempertahankan kepentingan peribadi sesetengah golongan.

“Kita nasihatkan bukan Islam khususnya yang membantah fatwa merujuk tokoh agama masing-masing mengenai isu ‘pengkid’ atau isu lain dan tidak memperlekehkan ketetapan dibuat badan agama yang tidak dianuti mereka,” katanya.

Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Lagi ulasan : http://darahmerdeka.wordpress.com/2008/11/08/protes-turunkan-harga-diri/#more-351

Tiada ulasan: