Jumaat, April 03, 2009

Pesta Arak - Jawi tegah sertai

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi amaran dan melarang umat Islam menyertai acara Speedzone Tour yang akan berlangsung esok di Menara Kuala Lumpur (KL) kerana didakwa membabitkan pesta arak.

Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar, berkata orang Islam yang menyertai acara itu boleh didenda sehingga sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, larangan ke acara yang sudah masuk tahun keempat itu dibuat berikutan aduan orang ramai mendakwa lebih 80 peratus pengunjung adalah remaja Islam yang pulang dalam keadaan mabuk serta tanpa segan silu berpakaian dan berkelakuan tidak senonoh.
“Orang Islam diminta supaya tidak terbabit, mengunjungi, menyertai atau apa saja keadaan yang menyebabkan mereka berada di lokasi acara berkenaan kerana ia bertentangan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Seksyen 19(1) yang menyatakan mereka yang minum minuman memabukkan di mana-mana kedai atau tempat awam adalah satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

“Seksyen 19(2), akta yang sama menyatakan sesiapa yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Berdasarkan laman web www.speedzonetour.com, acara itu dianjurkan Speedzone Entertainment dengan kerjasama beberapa syarikat termasuk syarikat arak terkemuka, Carlsberg sempena Perlumbaan Grand Prix F-1 Malaysia di Sepang, Ahad ini.

Ia dijadualkan berlangsung esok bermula jam 6.00 petang hingga 3.00 pagi dengan harga tiket RM48 atau RM68 dan hanya mereka yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan masuk.
Sementara itu, Pengurus Media dan Perhubungan Awam Menara KL, Afaf A Mubarak, menjelaskan acara itu bukan dianjurkan pihaknya dan Menara KL hanya dipilih sebagai tempat acara oleh penganjur.

“Speedzone Tour 2009 diwujudkan untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke negara ini dan mendapat kelulusan pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), Jabatan Imigresen dan pihak polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau menegaskan Menara KL tidak akan membenarkan penganjur menyedia dan menjual alkohol ketika acara berlangsung yang menyasarkan pelancong luar berumur 18 tahun ke atas.

“Menara KL dan penganjur akan memastikan acara ini bersih dari tingkah laku tidak bermoral,” katanya.

Sumber : Berita Harian - 2 April 2009

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

x boleh haramkan speedzone dgn cara macam ni..
orang ramai dah beli tiket semua.

Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API) berkata...

Meminum arak adalah haram dalam agama Islam, menurut firman Allah SWT.

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” (Al-Maidah 5:90)

Sebab musabab pengharaman itu adalah kerana ia boleh mengganggu fungsi otak dalam berfikir, bercakap dan bertindak. Kita sedia maklum seseorang yang mabuk boleh melakukan pelbagai perkara di luar batasan perilaku kemanusiaan seperti membunuh, memandu laju, membuat bising atau melakukan perkara yang memalukan seperti hadis Rasulullah SAW yang menyebut

“Arak adalah ibu segala maksiat dan ia adalah maksiat paling mengaibkan.” (Riwayat Ibnu Majah).

Shamsul berkata...

bukan masalah ramai atau tidak yang telah membeli tiket, tetapi mengapa program-program begini di anjurkan dan di buka kepada semua.

jangan lah alasan 'untuk menarik minat pelancong' digunakan. itu alasan lapuk dan tiada dalam kamus Islam. sedangnya mereka sebenarnya sedang menarik kita sama-sama masuk ke dalam neraka.

banyak lagi aturcara yang boleh digunakan untuk menarik minat pelancong datang ke malaysia.

seharusnya undang-undang Islam dijadikan garis panduan. Islam bukan agama yang mengongkong, tapi apa yang disyariatkan adalah untuk kebaikan ummatNya jua.Tidak ALLAH buat sesuatu dengan sia-sia.

harapannya, tiada muslim yang ke program yang dianjurkan.