Sabtu, Julai 17, 2010

Resolusi Konvensyen Pemikiran Islam: “Memartabatkan Kalimah Allah”

Resolusi Konvensyen Pemikiran Islam: “Memartabatkan Kalimah Allah

11 Julai 2010

Alhamdulillah, Konvensyen Pemikiran Islam bertajuk “Memartabatkan Kalimah Allah” anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) bersama-sama Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) dan Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang, berjaya dilaksanakan hari ini dengan penglibatan daripada golongan agamawan, intelektual, pendidik, pelajar dan masyarakat awam.

Konvensyen ini dilaksanakan bertujuan untuk menyalurkan faham aqidah Islam yang sahih dan benar kepada masyarakat tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam. Apabila isu ini terlalu dihangatkan oleh badan politik, kami tampil bagi memberi penjelasan yang kukuh berdasarkan konsep keilmuan Islam yang sebenar. Barisan alim ulama’ dan intelektual Islam yang diiktiraf menjadi pembentang jemputan untuk mengupas kertas kerja masing-masing dalam konvensyen ini.

Kalimah Allah merupakan satu kalimah yang sangat eksklusif dan agung dalam Islam sehingga kalimah tersebut digunakan dengan berhati-hati dan langsung tidak dipermainkan oleh masyarakat Islam. Tulisan khat kalimah Allah misalnya, digantung di rumah-rumah orang Islam dan diberikan penghormatan tertinggi. Pantang dalam kehidupan orang Islam meletakkan kalimah Allah tersebut di lantai atau di mana-mana tempat yang menunjukkan perbuatan menghina seperti di kasut, stokin, rantai, baju dan sebagainya.

Situasi ini memperlihatkan kepada kita betapa seriusnya umat Islam dalam mengamalkan ajaran wahyu serta mengagungkan Allah setiap masa dalam kehidupan seharian. Walaupun kalimah Allah sekadar tulisan, tetapi kalimah tersebut memberikan satu makna yang maha agung dalam diri masyarakat Islam. Pegangan makna kalimah inilah menjadikan masyarakat Islam begitu kuat prinsip ketuhanannya berbanding masyarakat agama lain.

Kami menyambut baik dan menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah hanyalah untuk masyarakat Islam sahaja. Keputusan ini menampakkan keseriusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menjaga kesucian aqidah masyarakat Islam di negara ini. Kami juga berharap setiap pihak terutama masyarakat Islam dapat menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bertanggungjawab merungkai permasalahan semasa masyarakat Islam di Malaysia dan tidak mempermainkan isu penggunaan kalimah Allah ini.

Justeru, antara resolusi yang digariskan dalam konvensyen kali ini ialah:

  1. Penguatkuasaan fatwa oleh badan-badan berkuasa terhadap penggunaan kalimah Allah SWT oleh golongan bukan Islam dalam bahan penerbitan, media massa, laman maya dan sebagainya.
  2. Penelitian dan penilaian semula silibus subjek Pendidikan Islam oleh badan-badan berkaitan dalam menekankan aspek aqidah khusus kepada konsep ketuhanan dan makna kalimah Allah SWT.
  3. Pemerkasaaan proses pendidikan masyarakat melalui sebaran am (radio, televisyen, akhbar, majalah, blog, dll) serta ceramah-ceramah oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan secara konsisten di setiap institusi kemasyarakatan setempat.
  4. Penglibatan serius pihak kerajaan dan bukan kerajaan terhadap polisi berkaitan agama secara langsung bagi memastikan pencegahan terhadap sesuatu isu yang sensitif dapat dibendung sejak dari awal lagi.
  5. Sekatan gelombang pluralisasi agama dan liberalisasi Islam dalam masyarakat secara serius dan telus oleh setiap badan yang bertanggungjawab.
  6. Pemantapan semula institusi ulama’ dan pertubuhan berkaitan Islam dalam pemahaman aqidah yang sahih bagi mengelakkan pertelagahan pendapat yang boleh membawa kepada kemudaratan iman dalam kalangan masyarakat.
  7. Mengingatkan intelektual Islam yang terlibat supaya tidak menjadikan isu kalimah Allah sebagai isu sensasi dan kontroversi secara populis semata-mata untuk kepentingan peribadi serta publisiti murahan mereka sendiri yang boleh mengakibatkan pecah belah dalam institusi kemasyarakatan.

Tiada ulasan: