Selasa, Januari 06, 2009
Rabu, Disember 03, 2008
PROGRAM KLINIK BINA INSAN

Jom pakat-pakat mai bersama-sama dengan abang dan kakak dari Universiti Sains Malaysia. Kita akan belajar pasai kehebatan al quran, kepentingan ilmu untuk masa depan dan camna nak jadi anak soleh dan solehah”
Jumpa nanti di
“ Pusat Tafaqquh al-Ghazali”
1003, Tingkat 1,
Jalan Kubang Semang
Permatang Pauh...
pada 14 & 15 & 28 Disember 2008
dari jam 8.30pg hingga 5ptg
Sabtu, November 22, 2008
Penganut Islam di Malaysia tak boleh tukar agama, kata bekas hakim
PUTRAJAYA: Konsep kebebasan beragama tidak terpakai bagi umat Islam di negara ini, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi hari ini.
Datuk Faiza Tamby Chik berkata berdasarkan undang-undang di negara ini, tidak mudah bagi seorang penganut Islam untuk keluar daripada agama itu.
Sambil mengambil contoh kes murtad Lina Joy, Faiza berkata dalam penghakimannya, mahkamah tinggi memutuskan bahawa mengikut Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan terus kekal sebagai penganut Islam hingga akhir hayatnya.
“Orang Melayu tidak boleh meninggalkan agamanya melalui surat ikatan pol dan mendapatkan perisytiharan berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ’Orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan’ pada Seminar Perbandingan Agama Antarabangsa (ISCOM 2008) yang berakhir hari ini.
Seminar dua hari anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut disertai ilmuan dari universiti Sydney, Syria dan Filipina.
Kini, Faiza berkhidmat sebagai fellow di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.
Bekas hakim itu berkata mahkamah berkenaan juga memutuskan bahawa sekiranya seseorang bukan Melayu memeluk Islam dan kemudian membuat keputusan untuk keluar daripada agama itu, dia perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri berkenaan, yang akan membuat keputusan tentang rancangannya itu
Isnin, November 10, 2008
Usah campur hak umat Islam: Jakim
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan pelaksanaan syariat Islam di negara ini, khususnya mempertikaikan kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa sebagai panduan kepada umat Islam bagi menyelamatkan generasi muda melakukan perkara dilarang agama.
“Kita minta pihak yang tidak berkenaan tidak mencampuri hak orang Islam dalam menganuti agama Islam, apatah lagi mempertikai pihak berkuasa agama negara ini dalam menegakkan syiar Islam.
“Tindakan segelintir mereka mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menuduh fatwa yang dikeluarkan sebagai tidak adil dan menindas juga melanggar hak asasi manusia kerana mempertikaikan hak orang Islam beragama,” katanya, semalam.
Beliau mengulas laporan portal berita Jumaat lalu, mengenai tindakan NGO bukan Islam; Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini, yang mengeluarkan mengharamkan perlakuan ‘pengkid' atau wanita yang menyamai lelaki.
Portal berita itu turut menyiarkan temubual eksklusif dengan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mempertikaikan fatwa itu dan menyifatkannya tindakan lelaki yang mahu mengongkong kebebasan wanita negara ini di samping menjadikan negara dipandang serong serta ditertawakan negara luar.
Minggu lalu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dilaporkan berkata, tindakan pelbagai pihak lantang mencemuh serta memperlekehkan fatwa sebagai usaha menjatuhkan wibawa Majlis Fatwa walaupun Mahkamah Persekutuan sudah membuat penghakiman institusi fatwa sah di sisi Perlembagaan.
Wan Mohamad berkata, apa yang penting fatwa yang dikeluarkan itu mengambil kira kepentingan majoriti masyarakat Islam negara ini dan bukan mempertahankan kepentingan peribadi sesetengah golongan.
“Kita nasihatkan bukan Islam khususnya yang membantah fatwa merujuk tokoh agama masing-masing mengenai isu ‘pengkid’ atau isu lain dan tidak memperlekehkan ketetapan dibuat badan agama yang tidak dianuti mereka,” katanya.
Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
Lagi ulasan : http://darahmerdeka.wordpress.com/2008/11/08/protes-turunkan-harga-diri/#more-351
Sabtu, November 08, 2008
Gay lebih ramai sebarkan HIV
Kesedaran perlu ditingkatkan elak wanita, kanak-kanak jadi mangsa
LELAKI yang mengamalkan seks sesama jenis didapati lebih cenderung menyebarkan HIV berbanding pengguna dadah suntikan (IDU). Sejak 2003 hingga 2006, carta dikeluarkan Pendaftar Rawatan HIV/Aids Kebangsaan (NHATR) menunjukkan penyebaran HIV semakin meningkat di kalangan golongan yang turut dikenali sebagai heteroseksual ini.
Jika sebelum ini golongan IDU adalah paling ramai positif HIV, carta berkenaan membuktikan terdapat aliran baru penyebaran HIV di negara ini apabila jumlah mereka semakin menurun sejak empat tahun lalu. Perbezaan ketara dapat dilihat pada 2003 apabila 85 peratus mereka yang positif HIV adalah heteroseksual berbanding tujuh peratus saja akibat IDU. Walaupun carta berkenaan menunjukkan penurunan pada 2004 hingga 2006, golongan heteroseksual masih tinggi berbanding IDU diikuti golongan gay, ibu kepada anak, pemindahan darah dan lain-lain sebab tidak diketahui.
Ketua dan Perunding Kanan Unit Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee, berkata perubahan ini agak membimbangkan kerana lebih banyak penyebaran baru akan berlaku khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak. Katanya jumlah ini akan terus meningkat seandainya tiada usaha untuk menyedarkan golongan berkenaan.
“Jangkitan HIV melalui seks akan terus meningkat berbanding IDU. Ini disebabkan terdapatnya kesedaran di kalangan IDU untuk tidak berkongsi jarum kerana bimbang dijangkiti HIV. Langkah yang sama perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menggunakan kondom serta pencegahan seperti perubahan sikap dengan menjauhkan diri daripada aktiviti kurang sihat berkenaan. Penggunaan kondom pula didapati amat berkesan dan berjaya mencegah penyebaran HIV di Thailand,” katanya.
Perangkaan 2007 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan, 80,938 orang diuji positif HIV sejak 1986 dan 10,334 meninggal dunia akibat Aids. Secara purata, 12 orang diuji positif HIV manakala tiga orang meninggal dunia setiap hari pada 2007. Pada 2007, 4,549 kes HIV baru dilaporkan manakala 1,179 meninggal dunia disebabkan Aids.
“Apa yang membimbangkan, terdapat jangkitan di kalangan wanita dan gadis menerusi hubungan heteroseksual. Pada 1998, hanya enam peratus daripada kes baru HIV yang dilaporkan adalah dikalangan wanita dan gadis. Pada 2007, kes baru yang dilaporkan dikalangan wanita meningkat kepada 16 peratus. Justeru, program kesedaran perlu disasarkan kepada golongan wanita,” katanya.
Dr Lee yang ditemui pada Bengkel Latihan HIV/Aids Media anjuran Salt Media Consultancy Sdn Bhd baru-baru ini, turut menggalakkan pasangan yang ingin berkahwin membuat ujian saringan HIV/Aids bagi membantu mereka membuat persediaan daripada segi mental dan fizikal. Ujian berkenaan amat berkesan bagi mencegah HIV/Aids tersebar khususnya kepada wanita dan bayi yang bakal dilahirkan.
“Ujian berkenaan amat penting bagi memastikan pasangan bebas daripada HIV/Aids. Ia bukan bermakna menghalang mereka berkahwin tetapi membantu mereka mengambil langkah persediaan. Pasangan ini boleh diberikan kaunseling mengenai bagaimana untuk meneruskan hajat untuk hidup sebagai suami isteri apabila salah seorang daripada mereka didapati positif HIV,” katanya.
Katanya walaupun HIV/Aids dapat dirawat dengan terapi ubat yang semakin canggih serta memanjangkan hayat pesakit, kehidupan mereka amat menyedihkan khususnya akibat stigma masyarakat serta kesan sampingan ubat yang dimakan. Mereka yang hidup dengan HIV berdepan risiko penyakit jantung akibat kesan sampingan ubat.
“Kos rawatan juga yang tinggi antara RM 100 hingga 300 sebulan untuk tahap pertama bukan saja membebankan mereka yang positif HIV tetapi juga ekonomi negara. Tahap kedua memerlukan perbelanjaan sehingga RM 1,200 sebulan. Mereka perlu menelan pil sehingga 17 biji sehari,” katanya.
Info:
Setiap minit, seorang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dijangkiti HIV
Setiap hari, lebih 6,000 belia berumur 15 hingga 24 tahun dijangkiti HIV
Setiap hari, 1,440 kanak-kanak meninggal dunia disebabkan Aids.
Setiap hari, 1,370 kanak-kanak kehilangan salah seorang atau kedua ibu bapa mereka disebabkan Aids.
Tidak semua ibu yang positif HIV akan menjangkiti HIV kepada bayi mereka. Daripada 100 ibu hanya 20 hingga 30 peratus bayi disahkan positif HIV.
Berita Harian Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
"Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka, Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-terbalik dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar." (al-Hijr: 71-74)
Nabi Muhammad bersabda, maksudnya: "Perkara yang paling aku takuti menimpa ke atasmu adalah perbuatan kaum Luth. Dilaknati mereka yang melakukan perbuatan seumpama kaum Luth." (Hadis riwayat Ibn Majah, at-Tirmidzi dan al-Hakim)
Khamis, November 06, 2008
Info: Tembakau
Tembakau
Razak Hj. Lajis & Adenan Jaafar
Tembakau atau Nicotia fabacum merupakan sejenis tumbuhan yang berbatang lembut dan tidak berkayu. Ia mudah tumbuh di kawasan yang beriklim tropika. Terdapat beberapa spesies dalam genus ini, antaranya ialah N. attenuata, N. glauca, N. longiflora, N. rustica dan N. trigophylla. Walau bagaimanapun N. tabacum merupakan spesies yang lebih dikenali kerana daunnya menjadi bahan utama produk tembakau terutamanya rokok dan cerut.
Nicotiana tabacum dan Nicotiana rustica berasal dari kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tumbuhan ini ditanam oleh kaum asli di sana yang menggunakan daunnya dalam berbagai acara keugamaan mereka sama ada dengan cara menghisap ataupun mengunyahnya.
Pada kurun keenambelas, N. rustica dibawa dari Amerika Utara ke Eropah untuk diperkenalkan sebagai sejenis ubat baru dengan cara kegunaan yang tersendiri iaitu dengan menghisap. Namun setelah didapati N. tabacum lebih sesuai untuk tujuan ini, tumbuhan tersebut dipilih sebagai spesies utama untuk ditanam secara besar-besaran bagi tujuan pemasaran. Ekstrak kedua-dua tumbuhan ini pernah digunakan untuk membunuh parasit. Nikotin iaitu bahan utama dalam tumbuhan ini pernah juga digunakan sebagai bahan pembunuh serengga.
Bahan toksik
Nikotin dan bahan yang menyerupai nikotin adalah sebatian utama dalam spesies Nikotiana. Daun tembakau mengandungi antara 3 hingga 4 peratus nikotin. Nicotana glauca pula dilaporkan mengandungi lebih kurang 0.2 peratus anabasin, iaitu sejenis alkaloid yang menyerupai nikotin. Beberapa kes keracunan N. glauca telah dilaporkan, akibat daripada pengambilan daunnya yang berlebihan. Ada diantaranya yang membawa maut.
Nikotin larut dalam air dan lemak. Ia boleh diserap secara terus dan cepat melalui kulit sama ada dalam bentuknya yang tulen atau daripada daun tembakau. Seperti yang diketahui umum, terdapat beberapa keluaran tembakau dirawat dengan bahan-bahan tertentu untuk meningkatkan daya penyerapannya. Tembakau yang digunakan dalam rokok telah dirawat bagi memudahkan nikotin yang berada dalam asap rokok itu merentasi lapisan-lapisan sel di dalam paru-paru.
Nikotin dalam tembakau bertindak sebagai perangsang dan bertanggungjawap menyebabkan ketagihan.
Gejala keracunan nikotin
Tanda dan gejala pendedahan terhadap nikotin boleh berlaku dengan cepat iaitu antara 15 minit hingga satu jam. Selain daripada mereka yang mengambil nikotin secara terus sama ada secara merokok ataupun mengunyah, mereka yang terlibat dalam pengambilan atau penuaian daun tembakau mungkin terdedah kepada bahaya nikotin ini. Mereka mungkin mengalami gejala-gejala seperti muntah-muntah, lemah-badan dan rasa mengantuk. Ini disebabkan oleh penyerapan nikotin melalui kulit. Turut dilaporkan ialah kerengsaan kulit yang berlaku apabila terdedah kepada daun tembakau.
Keadaan yang dikenali sebagai "Green tobacco sickness ini telah dilaporkan berlaku di kalangan pemunggut daun tembakau yang berusia muda dan tidak merokok. Nikotin dianggap menjadi punca kepada keadaan ini apabila didapati kabus yang menyeliputi para pekerja semasa proses pengumpulan dibuat mempunyai kandungan nikotin yang tinggi iaitu sebanyak 9 mg per 100ml. Para pekerja ini juga mempunyai kandungan kotinin (metabolit utama nikotin) yang tinggi.
Selain daripada kulit, nikotin boleh diserap melalui paru-paru dan usus malah ia lebih cepat diserap melalui rongga-rongga hidung. Selapas dihidu atau dihisap, nikotin dalam asap tembakau akan terus memasuki saluran darah. Nikotin yang dikunyah diserap dengan kadar yang agak perlahan berbanding yang dihidu. Apabila berada di dalam saluran darah, bahan tersebut akan bertindak terhadap sistem saraf sehingga ia diuraikan oleh hati dan dikeluarkan melalui air kencing.
Kesan nikotin terhadap seseorang bergantung kepada individu, dos dan sejarah penggunaannya di masa lampau. Pada individu yang tidak merokok, dos yang kecil boleh menyebabkan degupan jantung menjadi perlahan, rasa loya dan muntah-muntah. Berbanding dengan perokok, mereka akan mengalami pengecilan saluran darah dan merangsang sistem saraf pusat.
Diperingkat awal keracunan nikotin, ia boleh menyebabkan rangsangan sementara yang diikuti oleh tremor dan sawan. Selain daripada itu otot-otot akan menjadi lemah dan koma boleh terjadi sekiranya seseorang terdedah kepada kepekatan nikotin yang tinggi. Kegagalan sistem pernafasan adalah punca utama kematian haiwan yang mengalami keracunan disebabkan oleh anabasin sejenis alkaloid yang menyerupai nikotin.
Nikotin dan ketagihan
Pada awal tahun enam puluhan, para penyelidik telah mula menemui kaitan beberapa peningkatan jenis penyakit akibat tabiat merokok. Walaupun kandungan tar, karbon monoksida dan bebarapa bahan lain yang terdapat dalam rokok sering dikaitkan dengan penyakit barah dan sakit jantung di kalangan perokok, nikotin adalah bahan utama yang telah dikenalpasti yang menyebabkan ketagihan.
Penemuan ubat-ubatan jenis kloramfenikol dalam daging ayam yagn dilaporkan baru-baru ini telah menimbulkan banyak reaksi daripada berbagai pihak. Dalam hal ini, ada baiknya jika maklumat-maklumat yang lebih terperinci tentang ubat-ubatan tersebut diketahui umum supaya satu penilaian yang lebih objektif dapat dilakukan oleh para pengguna.
Kesan sampingan
Namun demikian, sepertimana semua ubat, kloramfenikol mempunyai kesan-kesan sampingannya tersendiri seperti rasa gatal-gatal ataupun ruam pada kulit, merasa kebas di bahagian kaki dan tangan, penglihatan mungkin terjejas dan rasa sakit pada bahagian mulut, lidah dan juga kerongkong. Pengguna ubat ini juga boleh merasa amat letih dan ini mungkin ada kaitannya dengan kesan ubat tesebut kepada sel-sel darah, yakni salah satu daripada kesan sampingan yang amat ketara bagi penggunaan ubat tersebut.
Memandangkan ini, kloramfenikol, khususnya secara suntikan dan juga sebagai ubat makan jarang diberi melainkan dalam jangkitan yang mengancam nyawa seperti meningitis ataupun apabila tiada ubat lain berkesan untuk mengatasi jangkitan berkenaan. Penggunaannya juga menghendaki beberapa bentuk pemantauan rapi kepada sel-sel darah dan juga ujian penglihatan sekirannya ubat ini digunakan dalam jangkamasa yang berlarutan. Dalam hal pesakit mengalami gangguan buah pinggang ataupun hati mahupun penyakit berkaitan dengan sel-sel darah, penggunaan ubat koramfenikol mesti mendapat perhatian khas sebelum ianya digunakan. Kloramfenikol juga boleh menjejaskan tindakan ubat-ubatan lain seperti ubat kencing manis, ubat sawan ataupun ubat TB apabila digunakan serentak. Ia juga boleh merencatkan kesan-kesan antibiotik lain seperti penisilin dan juga eritromisin.
Kesan kloramfenikol sebagai ubat sapu ataupun ubat titis kepada ibu yang mengandung mahupun kepada ibu yang menyusukan anak tidak menunjukkan apa-apa kesan yang memudaratkan. Namun kloramfenikol dikatakan boleh meningkatkan risiko bayi sekiranya ubat diberikan secara suntikan ataupun melalui mulut kepada ibu yang mengandung atau pun yang menyusukan. Oleh yang demikian, penggunaannya dalam keadaan seumpama ini sebaik-baiknya dielakkan.
Salahguna
Selain daripada kegunaan perubatan, kloramfenikol tidak seharusnya digunakan untuk tujuan lain. Ini adalah kerana penggunaan kloramfenikol sewenang-wenangnya bukan sahaja akan menyebabkan risiko yang tinggi, tetapi lebih penting juga ia boleh mengakibatkan rintangan ubat ini kepada kuman yang berkenaan. Maksudnya, kloramfenikol apabila diperlukan tidak akan lagi menjadi ubat yang berkesan untuk tujuan rawatan jangkitan tersebut. Jadual 2 dalam Peratusan-Peratusan Makan Tahun 1985 tidak membenarkan kloramfenikol digunakan dalam sebarang makanan.
Dioksin juga dibebaskan semasa merokok
Terdapat bukti yang jelas bahawa dioksin boleh dibebaskan apabila seseorang itu merokok. Ini memandangkan bahawa dalam rokok terdapat bahan-bahan kimia yang apabila dibakar dengan suhu yang begitu tinggi melalui tabiat merokok boleh menghasilkan dioksin. Walaupun jumlah dioksin yang dihasilkan mungkin kecil, tetapi oleh kerana bahan ini sudah terkumpul di dalam badan apabila dihidu ataupun dimakan akan lambat laun menghasilkan keracunan dan menjejaskan kesihatan mereka yang menghidunya. Namun begitu, jika satu perbandingan di buat di antara ciri dioksin dan ciri tembakau, cukup banyak persamaan yang dapat diperhatikan daripada segi aspek kesihatan dan keracunan terutamanya. Jadual berikut di bawah menekankan sebahagian daripada persamaan ini.
Sebagai kesimpulan, rokok sepatutnya tidak lagi mendapat tempat di dalam masyarakat kita sepertimana juga racun-racun dioksin dan bahan-bahan lain yang berkaitan. Sekiranya rakyat dapat disedarkan tentang hakikat ini, maka usaha untuk membasmi tabiat merokok di kalangan masyarakat kita akan menjadi lebih mudah.
| Ringkasan Bahaya Tembakau |
| Mengandungi anggaran 4000 jenis racun, sebahagiannya amat toksik seperti sianid, arsenik, racun-racun makhluk perosak. Dioksin juga boleh dihasilkan melalui penggunaan tembakau. |
| Mengandungi lebih daripada 10 bahan yang boleh menghasilkan kanser terutama sekali daripada jenis benzopiren yang terdapat di dalam tar rokok. |
| Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat mengkelaskan asap tembakau sebagai karsinogen Kelas A bersama-sama dengan bahan bahaya seperti asbestos, benzen dan gas radon. |
| Satu hasil pertanian yang sengaja ditanam untuk tujuan membuat rokok. Berbagai bahan kimia juga sengaja ditambah kepada bahan ini untuk tujuan citarasa, pengawetan mahupun menghasilkan ketagihan. |
| Apabila dihisap, asap yang terhasil di penghujung rokok mengandungi berbagai gas beracun seperti karbon monoksid dan hidrogen sianid |
| Bahan-bahan toksik dan partikel-partikel halus dibebabkan semasa merokok untuk menyebabkan fenomena merokok secara pasif. Tiada sebarang piawaian keselamatan dikenakan dalam hal ini. |
| Mengandungi bahan nikotin sebagai satu dadah yang boleh menyebabkan ketagihan sepertimana dadah kokain, amfetamin dan heroin. |
| Kajian menunjukkan bahawa tembakau adalah salah satu daripada faktor utama yang menyebabkan kelemahan tenaga batin ataupun mati pucuk bagi orang lelaki |
Sumber Maklumat : Pusat Racun USM
Dua kena kompaun kerana merokok
GEORGETOWN: Seorang nenek menangis teresak-esak dan merayu meminta dilepaskan manakala seorang lelaki sanggup menelan puntung rokok yang masih menyala bagi mengelak dikompaun kerana menghisap rokok di tempat awam di sini, semalam.
Kedua-duanya bagaimanapun tidak terlepas daripada dikenakan kompaun oleh pegawai Jabatan Kesihatan negeri yang menjalankan operasi melarang orang ramai merokok di tempat awam.
Mereka dikompaun kerana merokok di tempat awam iaitu di sekitar hentian bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Nenek 58 tahun bersama cucu lelakinya berusia lapan tahun, juga tergamam apabila tiba-tiba ditahan pasukan penguat kuasa itu.
Ketika itu, dia dan cucunya sedang menikmati sarapan di sebuah gerai makanan di tepi hentian bas serta tidak menyedari operasi dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri.
"Encik tolong lepaskan saya dan janganlah tahan atas kesalahan ini," rayunya sambil menangis teresak-esak apabila pasukan penguat kuasa menahannya.
Bagaimanapun, rayuannya itu tidak diendahkan pegawai kesihatan yang kemudian mengeluarkan notis kompaun kepadanya di atas kesalahan yang dilakukannya.
Sementara itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an nekad menelan puntung rokok yang masih bernyala apabila dihampiri pasukan itu dan meminta kad pengenalannya.
Lelaki itu bertindak demikian bagi mengelak dikenakan kompaun namun gagal.
Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri, Idris Mohamad, berkata operasi dikenali sebagai ‘Ops Rokok’ itu diadakan mulai jam 11.30 pagi hingga 5 petang membabitkan sepasukan 30 pegawai.
"Sebanyak 40 notis kompaun dikeluarkan dalam operasi itu dan mereka perlu menjelaskannya dalam tempoh 14 hari sebelum didakwa di mahkamah," katanya.
Nota : Pada tahun 1995, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam persidangannya yang ke-37 telah pun memutuskan rokok adalah haram berdasarkan hujah yang hampir sama dengan fatwa-fatwa seluruh dunia yang lain. Malah Majlis Fatwa Sedunia yang berpangkalan di Arab Saudi juga menghukum haram merokok atas maklumat terkini mengenai bahaya rokok.
Hadith Rasullullah s.a.w. :"Halal itu jelas, haram itu pun jelas, dan antara keduanya ada beberapa perkara yang syubhat (samar) yang banyak dari manusia tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa memelihara dirinya dari segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam haram,"