Rabu, Ogos 18, 2010

Kempen Dimana Anak Anda Menjelang 12 Tengah Malam dan OPS Sayangi Remaja Malam Merdeka 2010

Kempen Dimana Anak Anda Menjelang 12 Tengah Malam?

Satu kempen kesedaran kepada ibu bapa akan dianjurkan oleh Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Pulau Pinang bermula pada 20 Ogos 2010.
Kempen yang bertemakan Dimana Anak Anda Menjelang 12 tgh mlm bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa supaya memantau pergerakan serta mengambil tahu dimana anak mereka berada selepas pukul 12 tengah malam terutamanya semasa ambang merdeka dan sambutan tahun baru

Dengan itu, pemplet-pemplet kesedaran akan diedarkan disekitar bazar-bazar Ramadhan dan di masjid-masjid sekitar Pulau Pinang bermula 20 Ogos ini



OPS Sayangi Remaja

Dijemput turun beramai-ramai mencegah isu sosial di Malam Merdeka dengan pendekatan dakwah kasih sayang dan kaunseling lapangan dalam program Ops Sayangi Remaja Malam Merdeka

Tarikh: 30 Ogos 2010

Lokasi 1: RnR Bagan Ajam, Butterworth
Berkumpul di Surau Taman Tun Dr Awang bermula jam 7.00 mlm bagi peserta di seberang

Lokasi 2: Queensbay
Berkumpul di Masjid Sg Nibong bermula jam 7.00 mlm bagi peserta di pulau

Juadah berbuka puasa akan disediakan dan taklimat akan diadakan selepas solat Maghrib

Dijemput beramai-ramai untuk hadir

SEBARKAN !!!

Nurfitri Amir Muhammad (013-7069506)
Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS)
Angkatan Pemuda Pemudi Islam (API)
Persatuan Ulama' Malaysia P.Pinang (PUMPP)




Khamis, Julai 29, 2010

Kempen Berkelah Di Pantai Tanjung Bunga

Kempen Berkelah Di Pantai Tanjung Bungah


Kempen Berkelah Di Pantai Tanjung Bungah

Tanda protes.
“Pantai Awam Untuk Semua Bukan Hanya Untuk Golongan Elit”
Banyak pokok-pokok telah ditebang seperti mahu dibuat binaan percutian.
...Seperti yang kita tahu, banyak pantai-pantai di P.Pinang sukar diekses orang awam kerana dilingkungi oleh hotel-hotel dan rumah mewah hingga jalan ke pantai sukar dicari. Ini adalah eksploitasi sistem Kapitalis. Mari kita beriadah dan mempopularkan pantai-pantai ini agar ia tidak lagi disalahguna oleh pihak-pihak tertentu...

Program ini juga akan disertai oleh NGO-NGO lain dan wakil media.

Tarikh: 1 Ogos 2010 (Ahad)
Tempat: Pantai Medan Tanjung Bungah (belakang Hotel Flaminggo)

*sila bawa tikar dan makanan
*akan diadakan juga aktiviti bedah buku
*jika berminat untuk pergi bersama-sama, berkumpul di Masjid USM jam 9 pg.

Sabtu, Julai 17, 2010

Laporan LANDAS MODUL 1

Susulan program LANDAS SIRI 1/10 yang baru sahaja melabuhkan tirainya, kami Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) mengucapkan ribuan terima kasih kepada para sukarela yang anggup turun untuk menyertai kami di lapangan.

program 3 hari 2 malam bermula 25 dan tamat pada 27 jun, telah mencapai objektif yang disasarkan dalam modul fasa pertama LANDAS.

program yang bermula dengan pembinaan kefahaman melalui pembentangan 'Kategori Utama Permasalahan Sosial' yang dimoderatorkan oleh koordinator UNGGAS Penang Saudara Amir pada 25hb malam. kemudian disebelah 26jun sebelah pagi, sekali lagi peserta dibawa untuk memahami 'sukarelawan dan kaedah Hemoi' secara teori yang dimoderatorkan oleh aktivis UNGGAS Saudari Asti Toba.

sejurus selepas selesai segala teori asas yang perlu difahami oleh sukarelawan, para sukarela di bawah turun ke lapangan untuk mempraktikkan segala bentuk teori yang telah dibentangkan.



antara kawasan-kawasan yang menjadi tempatan latihan adalah Billion (Telaga Air), Megamall (Bandar Perai Jaya). sebelah malamnya pula para sukarela di bawa ke Summit (Bukit Mertajam), Bandar Perda dan BORR (Butterworth Outter Ring Road). berikut gambar-gambar yang diambil menggunakan telefon bimbit semasa di lapangan.



antara jenis games yang ditawarkan dalam pusat Video Game yang ada dala Bilion



Bangunan Bilion





antara contengan lucah yang ada di dinding belakang Megamall



antara botol arak yang terdapat di Bangunan Kompleks Bukit Mertajam





tompokan yang dipercayai Air Mani juga di Bangunan Kompleks Bukit Mertajam (gambar-gambar tidak begitu memuaskan kerana diambil menggunakan telefon bimbit)


maklum balas yang diperolehi dari para sukarelawan yang mengikuti program LANDAS modul 1 ini amat memberansangkan dan menjadi satu kekutan buat UNGGAS untuk terus mengadakan program LANDAS bulanan setiap minggu pertama. terdekat bulan Julai akan diadakan pada minggu pertama bersamaan dengan 3 hingga 5 julai. program kali ini lebih fokus kepada kajian susulan program LANDAS MODUL 1. bagi sesiapa yang berminat boleh meghubungi Saudara Amir di 0137069509.

nantikan artikel mengenai LANDAS MODUL 1 hasil sumbangan aktivis UNGGAS.

Resolusi Konvensyen Pemikiran Islam: “Memartabatkan Kalimah Allah”

Resolusi Konvensyen Pemikiran Islam: “Memartabatkan Kalimah Allah

11 Julai 2010

Alhamdulillah, Konvensyen Pemikiran Islam bertajuk “Memartabatkan Kalimah Allah” anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) bersama-sama Angkatan Pemuda-pemudi Islam (API) dan Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) dengan kerjasama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang, berjaya dilaksanakan hari ini dengan penglibatan daripada golongan agamawan, intelektual, pendidik, pelajar dan masyarakat awam.

Konvensyen ini dilaksanakan bertujuan untuk menyalurkan faham aqidah Islam yang sahih dan benar kepada masyarakat tentang isu penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam. Apabila isu ini terlalu dihangatkan oleh badan politik, kami tampil bagi memberi penjelasan yang kukuh berdasarkan konsep keilmuan Islam yang sebenar. Barisan alim ulama’ dan intelektual Islam yang diiktiraf menjadi pembentang jemputan untuk mengupas kertas kerja masing-masing dalam konvensyen ini.

Kalimah Allah merupakan satu kalimah yang sangat eksklusif dan agung dalam Islam sehingga kalimah tersebut digunakan dengan berhati-hati dan langsung tidak dipermainkan oleh masyarakat Islam. Tulisan khat kalimah Allah misalnya, digantung di rumah-rumah orang Islam dan diberikan penghormatan tertinggi. Pantang dalam kehidupan orang Islam meletakkan kalimah Allah tersebut di lantai atau di mana-mana tempat yang menunjukkan perbuatan menghina seperti di kasut, stokin, rantai, baju dan sebagainya.

Situasi ini memperlihatkan kepada kita betapa seriusnya umat Islam dalam mengamalkan ajaran wahyu serta mengagungkan Allah setiap masa dalam kehidupan seharian. Walaupun kalimah Allah sekadar tulisan, tetapi kalimah tersebut memberikan satu makna yang maha agung dalam diri masyarakat Islam. Pegangan makna kalimah inilah menjadikan masyarakat Islam begitu kuat prinsip ketuhanannya berbanding masyarakat agama lain.

Kami menyambut baik dan menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah hanyalah untuk masyarakat Islam sahaja. Keputusan ini menampakkan keseriusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menjaga kesucian aqidah masyarakat Islam di negara ini. Kami juga berharap setiap pihak terutama masyarakat Islam dapat menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bertanggungjawab merungkai permasalahan semasa masyarakat Islam di Malaysia dan tidak mempermainkan isu penggunaan kalimah Allah ini.

Justeru, antara resolusi yang digariskan dalam konvensyen kali ini ialah:

  1. Penguatkuasaan fatwa oleh badan-badan berkuasa terhadap penggunaan kalimah Allah SWT oleh golongan bukan Islam dalam bahan penerbitan, media massa, laman maya dan sebagainya.
  2. Penelitian dan penilaian semula silibus subjek Pendidikan Islam oleh badan-badan berkaitan dalam menekankan aspek aqidah khusus kepada konsep ketuhanan dan makna kalimah Allah SWT.
  3. Pemerkasaaan proses pendidikan masyarakat melalui sebaran am (radio, televisyen, akhbar, majalah, blog, dll) serta ceramah-ceramah oleh badan kerajaan dan bukan kerajaan secara konsisten di setiap institusi kemasyarakatan setempat.
  4. Penglibatan serius pihak kerajaan dan bukan kerajaan terhadap polisi berkaitan agama secara langsung bagi memastikan pencegahan terhadap sesuatu isu yang sensitif dapat dibendung sejak dari awal lagi.
  5. Sekatan gelombang pluralisasi agama dan liberalisasi Islam dalam masyarakat secara serius dan telus oleh setiap badan yang bertanggungjawab.
  6. Pemantapan semula institusi ulama’ dan pertubuhan berkaitan Islam dalam pemahaman aqidah yang sahih bagi mengelakkan pertelagahan pendapat yang boleh membawa kepada kemudaratan iman dalam kalangan masyarakat.
  7. Mengingatkan intelektual Islam yang terlibat supaya tidak menjadikan isu kalimah Allah sebagai isu sensasi dan kontroversi secara populis semata-mata untuk kepentingan peribadi serta publisiti murahan mereka sendiri yang boleh mengakibatkan pecah belah dalam institusi kemasyarakatan.

Rabu, Jun 30, 2010

Cerpen: Sebelum Berkalang Tanah
Oleh Siti Munirah A Rashid

pix_gal0
TATKALA menyapa bumi yang sudah berdekad-dekad berantakan itu, satu papan tanda dengan tulisan jawi menerjah kornea mata Munsyirah. Spontan, gadis berjilbab merah hati itu tersenyum. Susah bahkan mungkin tiada papan tanda dengan tulisan seperti itu di bandar raya tempat maharaja Thailand bersemayam kini. Trak kecil yang ditumpanginya meluncur lancar di atas jalan berlekak-lekuk itu. Sesekali kepalanya terhantuk di bumbung pacuan empat roda berkenaan.

“Pemeriksaan lagi!” rungut Munsyirah. Baru lima belas minit lepas dari pos kawalan pertama, dia kembali dicerlung tajam oleh sebilangan askar di sebalik jeriji besi kecil di tengah jalan. Beberapa kenderaan tentera tersusun di pinggir kanan jalan tidak jauh dari pos kawalan terbabit. Trak kembali meluncur di atas jalan sebaik sahaja soal siasat ringkas selesai. Dada Munsyirah sebu. Bumi yang sedang dipijaknya ini tidak ubah seperti di tanah berdirinya Al-Aqsa kini.
“Daripada hidup dalam kehinaan, lebih baik pergi meninggalkan dunia. Murid-murid, inilah maksud peribahasa tadi. Sekarang cikgu mahu kamu semua salin peribahasa ini di dalam buku masing-masing,” jelas Munsyirah. Daripada bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah. Itu peribahasa yang tertera di papan hijau. Berdindingkan jaringan besi, kelas di bangunan setingkat itu sesak dengan puluhan pelajar hawa. Tiga pelajar berkongsi sebuah meja.

Dia kemudiannya melemparkan pandangan lewat jaring besi yang dijalin untuk membentuk dinding bilik darjah. Tepat bertentangan dengan bangunan di tempat dia berdiri, sebuah bangunan tiga tingkat menerjah indera lihat. Catnya sudah nanar. Menggelupas di sana sini. Matanya bergulir pula ke sebelah kiri. Satu-satunya bangunan kayu dua tingkat di kawasan Maahad Al-Bi That Ad-Diniah itu menarik perhatiannya.

“Bagaimana agaknya tujuh ribu pelajar dapat ditampung dengan hanya tiga bangunan usang ini?” Dahinya berkerut. Dia melarikan pula pandangan ke dataran di tengah-tengah madrasah. Sebilangan pelajar berkejar-kejaran mengelilingi dataran. Sebilangan lagi duduk-duduk di atas rumput dan sekitar kawasan itu sambil tangan cekat menyelak lembaran buku. Ada juga yang tekun menulis.
Seingat Munsyirah sebelum masuk ke kelas tadi, dia sudah melihat kumpulan anak-anak itu di situ. Mereka masih tetap di situ setelah setengah jam berlalu. Munsyirah sudah dapat mengagak sebabnya.

“Khaulah,” jawab kanak-kanak itu ringkas. Munsyirah menjungkitkan kedua-dua belah kening. Terbayang-bayang di benaknya seorang wanita berpakaian serba hitam. Hebat menunggang kuda dan menghayun pedang di medan juang.
“Kamu mahu jadi seperti Khaulah al-Azwar pada zaman Rasulullah?” tanya Munsyirah. Pantas Khaulah mengangguk. Matanya bersinar galak.

“Khaulah mahu belajar ilmu peperangan. Kemudian, Khaulah akan ajar pula kawan-kawan dan penduduk kampung Khaulah cara mengangkat senapang. Kelak kami tidak perlu lagi takut berhadapan dengan askar Siam. Khaulah akan membalas dendam atas pemergian orang kampung yang tidak terbela,” tegas Khaulah.

Ternganga Munsyirah mendengar bait-bait yang meluncur dari tubir bibir anak didiknya itu. Jujurnya, perkara itu tidak pelik. Khaulah membesar di daerah terjajah. Saat dia celik mata, dia sudah mengenal hanyirnya darah.

Munsyirah tahu Khaulah sahaja bercita-cita seperti itu. Anak-anak gadis lain pasti berkongsi semangat yang sama. Kaum hawa ini paling ramai mendiami kampung itu saat ini. Jarang-jarang dia berselisih dengan kaum Adam sejak hari pertama sampai ke kampung itu. Baik tua. Baik Muda. Mereka diburu sehingga ke lubang biawak. Suatu hari, tidak mustahil si ibu terpaksa menghanyutkan anak lelaki mereka di sungai bahkan laut demi menyelamatkan keturunan mereka. Laksana ibu Nabi Musa tatkala zaman prahara pemerintahan Firaun.

“Cikgu bangga dengan Khaulah. Namun pedang dan senapang bukannya satu-satu jalan penyelesaian yang ada.” Munsyirah terdiam sejeda. Wajah bening Khaulah diseluruhi.

“Ada benda yang jauh lebih tajam daripada pedang dan lebih hebat daripada letupan bom. Memilikinya bererti menguasai segala-galanya. Dia akan menatang kita apabila kita menghargai dan menggalinya. Tiada musuh yang tidak dapat ditangani melainkan dengan kuasa Ilahi. Benda itu adalah ilmu, Khaulah.” Penuh hikmah Munsyirah berbicara. Giliran Khaulah pula ternganga.

“Kau tentu tahu bukan, Pattani adalah sebahagian daripada Kerajaan Melayu Islam. Negeri ini pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Moghul melalui Ayutthaya sebelum tahun 1767. Akibat putar belit British, Siam menakluki Pattani. Bermula tahun 1909, derita dan sengketa mewarna hidup Muslim Pattani.” Munsyirah memeluk tubuh. Masih terbayang mata buntang Wajdi tadi tatkala dia mohon mereka tangguh majlis pertunangan mereka cuti sekolah yang bakal menjelang nanti. Dia mahu turut serta sebagai cikgu sukarela mengajar Bahasa Melayu di Pattani. Tepatnya di sebuah madrasah tua. Mendesah-desah nafas Wajdi saat itu.

“Mereka cuma dihalang berbicara dalam Bahasa Melayu dan ditegah mendalami sejarah Pattani di sana. Padaku, adat menumpang memang begitu. Mereka harus tunduk pada tuan yang memberi tumpang.” Wajdi tidak mahu kalah menganjur hujah. Munsyirah menjegilkan mata.

“Sedangkal itu fikiranmu, Wajdi! Kamu lupa barangkali, aku, kamu dan sebahagian besar daripada mereka sujud pada Tuhan yang satu dan bersuluh syariat yang diajar oleh nabi yang sama! Kulitnya, Siam kelihatan cuba meruntuhkan satu budaya, namun inti hakikatnya, mereka cuba menanggalkan Islam dari jiwa seluruh Muslim di sana, Wajdi!” Suara Munsyirah sedikit tinggi. Nafasnya berbunyi.

“Seribu satu macam lagi bentuk bantuan yang dapat kauhulurkan buat mereka. Untuk membatalkan majlis pertunangan kita kukira adalah keputusanmu yang keterlaluan.” Wajdi kelihatan mahu mengubah haluan bicara. Terlajak perahu boleh diundur. Barangkali dia terpukul dengan bicara buah hati pengarang jantungnya.

“Memang sejuta satu cara terbentang buat kita membantu mereka di sana. Namun dalam puluhan juta itu aku memilih jalan ini untuk membantu mereka.” Pemuda berjanggut pandak dan berkulit cerah itu dia lihat menggetap bibir. Tanpa bicara, dia langsung melangkah pergi. Sempat Munsyirah menjeling wajah cuka.
“Sebelum berkalang tanah, Khaulah mahu melihat negeri ini bebas mengecap nikmat merdeka. Khaulah mahu menjadi wira pada agama dan bangsa. Akan khaulah tuntut ilmu walau ke negeri China. Kemudian Khaulah pulang ke tanah air dan berjuang seperti Salahuddin Al-Ayyubi. Apa cita-cita Cikgu sebelum berkalang tanah?. ” Tanya Khaulah sambil tangan kanan menujal tanah mengukir aksara ‘Wira’.
Kepalanya ditoleh ke arah Munsyirah. Guru muda itu menjungkitkan kening.

“Cikgu bangga dengan cita-citamu, Khaulah,” puji Munsyirah. Wajah polos khaulah diseluruhi dengan pandangan sayu. “Cikgu mahu buat sebaik-baik amal sebelum berkalang tanah. Moga apa yang sedang Cikgu buat kini dikira Allah sebagai sebaik-baik amal Cikgu. Jom kita pulang,” ajak Munsyirah. Khaulah akur. Petang merangkak senja. Di kanvas langit, tiada riuh camar. Daun pepohon ketapang melambai malas. Munsyirah memimpin tangan Khaulah. Kejap digenggam tangan si kecil itu. Esok dia akan pulang ke tanah airnya. Seminggu sudah dia di daerah bergolak itu. Hari Isnin nanti persekolahan berjalan seperti biasa. Rasa baru semalam dia sampai. Namun, dia akui, cuti itu paling bermakna buatnya.

“Esok, Cikgu akan pulang ke Malaysia.” Langkah Khaulah terhenti tiba-tiba. Munsyirah terlajak ke hadapan. Dia terpaku di situ. Genggaman tangan terlerai. Musyirah menoleh. Khaulah dilihat menarik muka cemberut. Munsyirah menekur tanah sambil kepala ligat berkerja mencari bait-bait indah buat memujuk jiwa si kecil itu. Tidak sangka Khaulah tersinggung dengan berita itu. Suasana Khali.

Bang! Bang! Bang!

“Cikgu!” Jeritan itu semakin perlahan kemudian tenggelam bersama hilangnya sinar teja di kaki langit.

Pagi mendaki Dhuha. Dataran Masjid Jamek Pattani melimpah dengan lautan mahasiswa Islam seluruh Thailand. Tidak kalah juga golongan orang tua dan kanak-kanak. Mereka yang berdiri di dalam kawasan dataran terpaksa berhimpit-himpit. Sudah masuk hari ketiga, kenderaan tidak dapat lalu di kawasan masjid itu. Setiap lorong bahkan setiap inci ruang yang ada dipenuhi manusia. Sepanduk bersepah-sepah digantung dan dijulang. Menanti Perdana Menteri Thailand yang khabarnya mahu bersua muka.

Jika dahulu, setiap kali demonstrasi diadakan, mereka mengenakan penutup muka. Namun sepanjang tiga hari ini, tiada seorang pun yang mengenakan penutup wajah. Bilangan mereka bak ikan di lautan. Tidak terkira. Tidak tercam oleh pihak tentera. Serasa, itu perhimpunan paling besar dalam sejarah Pattani. Bilangan yang hadir jauh mengatasi demonstrasi bulan Jun 2007 lalu.

“Kami mahu kamu tarik semula pasukan tentera bersenjata di setiap kampung dan daerah!” jerkah mereka sebelum sempat Perdana Menteri Thailand mula berbicara.
Beliau terpaksa turun sendiri ke lapangan. Apatah lagi, peristiwa itu turut melibatkan seorang gadis dari Malaysia. Hubungan dengan Negara serantau perlu dijaga. Pihak tentera sendiri tidak berjaya meleraikan perhimpunan itu. Selagi tiada pembelaan sewajarnya.

“Baiklah. Saya berjanji akan menarik semula pasukan tentera dari kampung kalian,” Janji Abisit setelah beberapa waktu terbungkam. Kedengaran takbir bergema bak halilintar menggegarkan bumi. Awan waktu Dhuha bersimpul-simpul membentuk rupa bening Khaulah. Angin berpuput manja mengirim khabar gembira itu buat Khaulah.

“Alhamdulillah!” kalimah suci itu mercup bertubi-tubi dari tubir bibir Munsyirah. Saat itu juga dia sujud. Kelopak matanya bergenang.

“Akhirnya Cikgu berjaya menuntut bela atas pemergianmu, Khaulah,” bisik hati Munsyirah. Dia mengesat air mata dengan kura jubah hitamnya.

“Allah lebih menyayangimu. Cikgu berjanji, Khaulah, selagi tubuh belum berkalang tanah, Cikgu akan cuba menyempurnakan hajatmu. Cikgu akan terus menetap di negerimu ini. Cikgu akan didik anak bumi ini, sehingga mereka mampu menjadi seperti Al-Ayubbi,” rintih Munsyirah.

“Aku akan bersama-samamu mendidik mereka!” Saat itu, Munsyirah mendongakkan kepala. Imej pemuda berkulit cerah dan berjanggut pandak menerjah indera melihatnya. Peluh kelihatan berjujuhan di dahinya. Dadanya sedikit berombak. Munsyirah terkesima dalam bahagia.


PROFIL
SITI Munirah A Rashid, nama pena bagi Siti Munirah Abdul Rashid, anak sulung daripada empat adik-beradik yang dilahirkan pada 9 Jun 1988. Pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif tanah air ini ahli usrah penulisan Angkatan Pemuda Pemudi Islam(API), sayap kanan Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Pulau Pinang.

Bekas Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009 yang mengikuti program persijilan tahfiz Quran di Ma’ahad Tahfiz Darul Quran Kuala Kubu Bahru, Selangor, di bawah program Persijilan Tahfiz Darul Quran-UIAM. Mengambil asasi sains fizikal di Pusat Asasi UIAM, Petaling Jaya (2007-2009) dan novel sulungnya, Perindu Pelangi diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd diterbitkan pada 2010. Minat membaca, mengembara dan membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan boleh dihubungi di http://wwwqamarmuneera.blogspot.com

Khamis, Jun 10, 2010

LANDAS


Maaf, Bengkel Penulisan Terpaksa Ditangguh

Bengkel penulisan yang dicadangkan pada 19hb Jun ini,terpaksa ditangguhkan kerana ustaz Azizi sebagai pembimbing kurang sihat. Berdasarkan perbincangan, kita akan adakan program itu nanti bersama-sama program AD (Akademi Dakwah @ Madrasah Aktivis Umat) nanti. Usrah Penulisan akan cuba dapatkan ustaz azizi & saifulislam untuk bengkel tu. tolong inform pada kawan2 yang lain yang berhasrat datang. Salam Maaf...